Sila masuk

Friday, September 3, 2010

Bersyukur kita ada segalanya..

Gambar hiasan

"Sreeeehhh srehhh srehhh srehhhh...!!", bunyi yang sudah biasa didengari pada saat dan ketika yang sama. Bunyi yang diselangi dengan seretan kasut itu makin menghampiri bilikku.

Kelihatan susuk tubuh makcik
janitor berbaju kurung kusam dan tudung lusuh sedang asyik menyapu sambil pandangannya terpaku ke bawah, tidak dipanggung menggambarkan ketekunannya menjalankan tugas, perlahan geraknya membayangkan tenaga yang dimilikinya sudah tidak seberapa. Seorang wanita lebih separuh abad yang ku kira seusia ibuku itu baru memulakan tugasnya di jabatanku pada awal Ramadhan ini selepas syarikat pencuci lama tamat tempoh perkhidmatan mereka.

Pintu yang sudah sedia terbuka diketuk...

"Ustaz...ada apa nak sapu dak?", pertanyaan biasa setiap kali pintu bilikku dikuak sekitar jam 8.45 pagi. "Takpalah makcik..tak payah lah hari ini", balasku menyahut pertanyaannya.

"Tiap-tiap hari tarik..sampai tak dak apa nak sapu noo", dia mengiyakan apa yang di dalam hatiku bahawa lantai bilik masih seperti semalam.

"Makcik raya di mana?", aku memulakan sapaan mesra bersifat peribadi.
"Perak..rumah anak makcik,", jawabnya tersenyum.
"Ohh..cuti banyak hari lah kot makcik dah raya di Perak".
"Hari Rabu makcik dah cuti, depa bagi 2 hari",
merujuk kepada pentadbiran syarikatnya.

Diam seketika..dan dia masih menyapu di hadapan bilikku dengan pintu yang terbuka luas. Aku bingkas bangun mendekati dan memerhatinya yang masih tekun.

"Makcik nama apa?,"
satu soalan yang menzahirkan keinginanku untuk mengenali dirinya dengan lebih dekat. Sudah beberapa minggu, itulah kesempatan yang aku ada untuk berkenalan dengannya, kebetulan tiada siapa-siapa di sekitar. Sekadar bertegur sapa di laluan tidak mendekatkan diriku dengan apa yang ada disebalik susuk tubuhnya. Aku ada dengar-dengar dihujung telinga tentang kehidupannya yang serba kekurangan.

"Jamilah", jawabnya dengan lemparan senyuman sambil menghentikan seketika sapuan.
"Dah lama ka makcik keja?".


"Ehh..dah 15 tahun...lama dah makcik keja..dulu dekat CIMB Komtar..la depa hantaq mai sini pulak..makcik jenis tak leh dok umah..kalau dok rumah tak tau nak buat apa",
jawabnya meleret.

"Oooo..lama dah tuh..umoq makcik berapa?", soalku lagi.

"59..".

Tepat sangkaanku wanita ini usianya sudah melebihi setengah abad. Terbayang beberapa individu yang ku kenali seusia begitu yang kehidupan mereka sekarang adalah di rumah, surau, berehat, melakukan kerja-kerja ringan di rumah, sakit-sakit badan dan kadang-kadang melayan kegembiraan anak-anak dan cucu-cucu. Namun wanita ini masih bekerja, membanting tulang seawal jam 8 pagi hingga 4 petang.

"Makcik tak sakit badan ka?", soalan bodoh namun sengaja diajukan bagi mendapatkan butiran sendiri dari mulutnya. Pernah sekali aku melihat dia mengangkat dua plastik sampah yang sarat terisi sehingga berkeriut mukanya. Gigih sekali..segigih dia menunggu bas seawal 6 pagi dan menukar bas lain untuk sampai ke Lebuh Pantai dari Bukit Gedong, Bayan Lepas.

"Memanglah sakit..lengan..bahu..paha..kaki..", sambil menepuk-nepuk anggota badannya itu.. tapi kalau makcik tak keja makcik nak makan apa..anak-anak pun semua perempuan..sorang ja laki..yang laki tu pulak x lah gaji besaq..tapi dia dok bagi jugak lah", semakin panjang perkongsian Makcik Jamilah namun bersyukur kerana anak yang ada masih peduli dengan dirinya walaupun tidak seberapa.

"Makcik ada 6 anak..4 perempuan 2 lelaki..lelaki yang bongsu bagi dekat orang..sebab suami makcik masa tu susah..dia janji dengan orang tanpa pengetahuan makcik..bila anak dah keluar anak tu pejam mata macam tak mau tengok muka makcik..macam dia tau yang makcik nak bagi dia dekat orang..tapi bila dok kat riba orang tu..dia celik luas sangat..",
katanya mengimbau saat-saat tersebut. Agaknya imbauan itu pasti selalu bermain di kotak fikirannya.

"Sampai la dah lama tak jumpa..kalau ada pun umoq dia dah 14..besaq dah..teringattt..."
, perlahan nadanya berkongsi bagi melepaskan sesak yang mungkin telah lama membuku di dada.

"Last makcik jumpa pun masa dia umoq 3 tahun..depa dok di Kuala Lumpo..lepas tu keluarga tu tak bagi makcik pi jumpa dah..depa kata nak bagi dia tumpu pada pelajaran..,tapi makcik habaq jugak lah..bawalah mai sekali sebelum makcik tutup mata", sambungnya berkongsi tanpa dipinta sambil mengakui anak tersebut adalah milik dan hak mereka sepenuhnya.

Hasrat untuk sekadar mengenali bertukar menjadi satu sesi yang menghadiahkanku simpati berganda terhadapnya. Kekurangan bertambah lagi selepas kematian suami 8 tahun lalu. Hidup tanpa keceriaan dan keseronokan.

Kehidupan dijalani dengan serba kekurangan bukan hanya material namun ingatan terhadap anak kandung yang mungkin tidak tertunai merupakan penderitaan dalaman seorang ibu yang melahirkan menginsafkanku betapa ku miliki segala-galanya..ibu..ayah..abang..kakak..adik..saudara mara dan kehidupan. Namun sejauh mana semua itu disyukuri mendorong untuk melakukan satu perhitungan buat diri.

Kehidupannya segala-galanya kurang namun tidak bagi kita.

Makcik Jamilah berlalu meminta diri untuk bergerak ke tempat lain risau kerjanya tidak siap dalam tempoh sepatutnya dengan senyuman yang terbungkam duka dalam riak ketabahan.

Moga Aidilfitri yang bakal menjelma..sedikit sebanyak dapat mengembirakannya.

2 comments:

Emy Ahmad said...

like!

kat berlin pun banyak jugak orang orang tua yang masih bekerja,ada yang bermain alat muzik di dalam train, menjual surat khabar di jalanan etc..sedih melihat orang yang sebegini yang nasibnya hanya tidur di kaki kaki lima jalanan bertemankan cuaca yang sejuk..

nasib kita yang jauh lebih bertuah ini pun terkadang kita terlupa untuk bersyukur bila masalah datang menguji..

tayartubelss said...

syukurkan..syukur dengan cara buat baik dkt mak ayah kita..,sepatutnya bila dah tua depa patut rehat..tapi depa x dak pilihan lain kan..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...