Sila masuk

Tuesday, September 7, 2010

Hari itu hari raya...



Beberapa hari lagi hari lebaran bakal menjelma. Tanpa mengira usia, semuanya girang. Meraikan kemenangan di dunia selepas berjaya menunaikan kewajipan berpuasa.

Menjelang 1 syawal sekitar 20 tahun dahulu..

Meriahnya bermain bunga api di halaman sehingga terbakar lalang. Cepat-cepat adik beradik ambil air untuk dipadamkan api yang sedang terbakar..takut nanti arwah Ustaz Salleh tau. Bunga api sebagai rewards dari mak dibeli dari pekan Khamis Parit Panjang. Mercun tak dibenarkan sama sekali. 10 hari menjelang hari raya..semua ada tugas masing-masing.Tolong mak buat kuih raya. Selepas berbuka masing-masing menyelinap ke dapur menggonggong kuih semut. Bila raya tiba kuih semut tinggal sedikit. Nak kuih siput..masing-masing kena gentel sejak pukul 10 pagi. Menjelang petang baru siap..perit terasa.

10 hari menjelang raya..baju raya diambil dari rumah Cik Pah. Sepesen kaler dan jenis aku dan abang. Seingat aku sehingga habis sekolah rendah..baju raya kami masih sama. Kasut raya juga sama..kadang-kadang dibeli di Pekan Baling..dan kadang-kadang dibeli di pekan sehari Kuala Ketil..tidak pernah menyoal berapa harganya..mahal atau murah yang tahu hanya pilih, nak dan dapat..

10 hari menjelang raya..kad-kad raya makin banyak..ada untuk ayah..ada untuk mak..ada untuk abang dan kak tapi tiada untuk aku kerana aku masih kanak-kanak. Saat itu, girang sekali melihat kad-kad raya yang pelbagai dan gaya kreatif penulisan si penghantar..kad-kad mereka dicuri baca. Kini tinggal 2 hari lagi hari raya..tiada langsung kad raya bertandang.

Beberapa hari menjelang raya.. arwah Paksu pulang dari pekan Khamis membawa bersama daun palas. Dia pandai memilih daun palas yang elok.

Esok hari raya..turut kalut menyibuk di dapur. Menjaga api kayu merebus ketupat. Arwah Cu bertandang..berkongsi modal dan tenaga membuat ketupat. Indahnya akrab kejiranan. Kini Paksu dan Cu tiada lagi.

Esok pagi hari raya..malam mengikut ayah ke Pondok Lanai. Mencari si penerima beras fitrah. Sudah sayup jam 11..namun laungan takbir mengagungkan ilahi masih berkumandang di corong pembesar suara oleh penuntut pondok. Menunggu ayah berbual..lena bertandang. Sedar-sedar sudah di rumah.

Pagi ini pagi raya...bangun dari tidur girang sekali..baju baru..kasut baru..kopek baru. Girang kanak-kanak menanti raya setahun sekali. Dimandikan ayah mandi sunat aidilfitri..diajar niat dan dijirus. Mak didapur masih sibuk menyiapkan mee kuah..hidangan wajib ketika itu pada setiap hari raya.

Berjalan beriringan dengan abang ke masjid..sekali sekali berlari anak tidak sabar melihat kemeriahan orang ramai di sana. Khutbah terlalu lama..hingga tertidur..sedar-sedar orang sudah bangun hendak bersurai. Terpinga-pinga bangun mencari barisan rakan sebaya berbaris. Menanti duit raya dari orang masjid. 20 sen diterima..suka sekali.



Berkumpulan menjelajah kampung..sehujung rumah Pakcik Awang hingga sampai keluar rumah Haji Rasyid..ke bawah rumah Paklong 'Id hingga ke atas rumah Kak Milah memungut kemestian pemberian setiap kali raya. Kumpulan lain memberitahu rumah arwah Pakcik Ali bagi 5 kupang..bila sampai yang dapat hanya 2 kupang. Mendengus hati "kedekut betul dia ni ..dah la kaya". Ada yang bagi sekupang ada yang bagi 2 kupang. 5 kupang jarang sekali apatah lagi seringgit..5 ringgit jauh sekali.

Baju menjerut peluh..matahari terpacak namun tenaga masih seperti tidak susut demi kegembiraan duit raya. Menjelang pukul 3 baru pulang ke rumah. Poket memberat dengan syiling-syiling. Kopek baru tidak lagi muat diisi. Dikira..sekitar 40 ringgit..jumlah lazim yang dipungut. Mula berkira-kira apa yang boleh dibeli dengan jumlah itu. Puas teramat sangat.

Namun kini..tiada lagi erti memungut pada hari raya..satu rasa baru menyelinap di setiap inci hati..erti tanggungjawab dan berkongsi. Namun hari itu hari raya pasti menjadi kenangan yang mengundang senyum di kala sendirian.

p/s: Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin. Moga Ramdhan yang bakal berlalu..memadam dosa yang pernah dilakukan. Amin..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...