Sila masuk

Thursday, October 13, 2011

Ukuran sebenar adalah pandangan Tuhanmu



Ketika sedang menikmati sarapan pagi seorang diri di Astaka, berhadapan dengan pelabuhan kapal-kapal persiaran mewah di Port Swettenham, hati diulit dengan perasaan ralat tatkala ungkapan seorang kawan masih terngiang-ngiang di corong telinga.


"Si A**** tu, gaji tak seberapa, tetapi pakai kereta macam gred 52...bila dah accident..kan dah pening nak repair"

Walaupun, ungkapan itu berbaur umpatan, namun sisi-sisi positif cuba ditelan oleh minda segar pada pagi itu sebagai muhasabah pada diri. Memikirkan bilamana baju diukur, kenapa ia tidak diukur pada badan sendiri. Bahkan ia diukur pada susuk lain. Apakah ukurannya itu sehingga sesuatu yang dilihat mencengkam kehidupan, masih dan sanggup diharungi sekalipun terpaksa mengikat perut dan menjerut leher. Ukuran itu juga seakan ukuran yang menatijahkan kepuasan diri. Kemungkinan si dia itu mampu, namun hakikat sebenar kemampuan hariannya sudah dihidu oleh rakan-rakan. Kelompongan asas dalam menentukan pilihan hidup, menatijahkan sengsara dan perit pada kemudian hari.

Kita juga biasa mendengar, ramai yang melakukan pinjaman kewangan peribadi bagi melangsungkan perkahwinan. Pinjaman yang berjumlah 30k, mengambil masa 10-15 tahun untuk dilangsaikan. Maka ungkapan sinis dilemparkan "kalau short 3 4 bulan tak bayar, kalau kereta.. bank mai tarik kereta, kalau kahwin, bank mai tarik bini kah?'. Satu lagi, budaya dan cara kehidupan masa kini yang tidak lagi menggunapakai perumpamaan "ukur baju di badan sendiri". Boleh jadi, ada yang berhujah, kemampuan membayar secara bulanan pada jumlah yang dipersetujui adalah salah satu mekanisme kemampuan. Boleh jadi benar.

Namun, sekalipun ia benar, ada sisi lain yang perlu dilihat.Sisi itu ialah sisi berkat. Apakah perkara ibadat yang boleh jadi wajib atau sunnat yang mana redha dan keberkatan Tuhan menjadi matlamat perlu sehingga berhutang piutang semata-mata untuk kelihatan mewah dan hebat. Sudah pasti ia kelihatan sudah tergelincir dari landasan sebenar melaksanakan syariat Tuhan kerana dalam ibadat khusus pun dituntut bersederhana, apatah lagi ibadat am, inikan pula untuk memperlihatkannya kepada manusia.

Fikiran terbang menerawang mencari individu-individu yang dilihat hidupnya penuh dengan keberkatan. Terbang dan singgah di kampung berdekatan kampung sendiri rupanya. Seorang pencen kerajaan yang kehidupannya adalah sederhana dan tidak pernah ketinggalan dari solat berjamaah di masjid. Memiliki anak yang ramai, yang kesemuanya dibiayai pengajian secara sendiri hingga ke luar negara. Tiada dari kalangan anak-anaknya yang mendapat pembiayaan kerajaan atau seumpamanya.Bahkan, perkahwinan hampir kesemua anaknya juga ditaja dengan biayanya sendiri secara ala kadar dan sederhana. Bertuah anak-anaknya,terus dilangsungkan perkahwinan sekalipun kantung belum berisi lantaran baru tamat pengajian. Alasannya mudah, membantu anak-anak untuk suatu ibadah juga merupakan ibadah. Halobanya dia dengan pahala. Walhal ketika perkhidmatannya dalam kerajaan, aku andaikan gajinya tidak lah seberapa bahkan gred 27 pada ketika ini pun lebih besar gajinya. Sudah pastilah juga, bayaran pencennya hanya separuh dari itu, dan dia mampu dengan izin Allah meneruskan kelangsungan dan mengasaskan beberapa kehidupan sehingga ke hari ini. Bahkan anak-anaknya dengan izin Tuhan menjadi manusia. "Moga Allah terus memberkatinya".

Jelas ia adalah petanda keberkatan yang berpunca dari mana sesuatu tindakan ukuran baju itu diambil. Kalau ukurannya adalah pandangan manusia, pasti ia hanya akan memperoleh pandangan, pujian dan sanjungan manusia dan ia bukanlah kejayaan yang sebenar. Namun sekiranya ukurannya ialah pandangan Allah, pasti ia memperoleh pandangan, pujian dan sanjungan Allah dan manusia bersama yang mana ia adalah hakikat kejayaan yang sebenar-benarnya.

Susah bukan untuk mengabaikan rasa tidak perlu pada pujian, sanjungan dan pandangan manusia? Namun ia adalah persimpangan untuk berjaya atau gagal.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...