Sila masuk

Tuesday, March 30, 2010

Menyembunyikan doa


Seringkali kita terdengar dan diperdengarkan..
"Kami doakan awak bahagia hingga ke anak cucu".
"Saya doakan awak dapat dean's list semester nie".

"Awak tolong doakan saya ya..",
pinta A. "Awak jangan risau, saya selalu doakan awak", jawab B.

Kita terbiasa dengan ucapan memujuk sebegitu. Mungkin juga bagi menzahirkan keprihatinan kita di tahap tertinggi dan supaya sahabat tidak kecewa dengan kita. Tidak ada salahnya ungkapan sebegitu kalau dirasakan ia merupakan alternatif yang mengakrabkan hubungan sesama kita secara psikologi namun di sana ada suatu keutamaan yang menautkan keakraban melalui naluri yang dianjurkan oleh baginda Nabi S.A.W..

Sabda Nabi S.A.W :-
"Doa seorang muslim bagi saudaranya dengan cara zahrul ghaib adalah mustajab, di sisinya seorang malaikat yang mewakilinya, tatkala dia mendoakan saudaranya dengan suatu kebaikan, berkatalah malaikat tersebut: "Amin, bagimu juga sepertinya",".
(Riwayat Muslim)

Doa zahrul ghaib ialah mendoakan sesuatu yang baik tanpa pengetahuan orang yang didoakan atau menyembunyikan doa yang baik dari pengetahuan orang yang didoakan. Dalam ertikata mudah, sahabat kita tidak mengetahui bahawa kita sedang, sentiasa atau telah mendoakan untuk kebaikannya. Doa jenis ini merupakan salah satu doa yang mustajab (diperkenan Allah).

Mengetahui tanpa melalui sendiri pengalaman berkaitan kurang memberikan kesan. Mengetahui sesuatu disusuri pengalaman sebenar memberikan kesan yang berbekas.

Sebuah kisah yang diceritakan oleh seorang sahabat. Beberapa tahun dahulu, ketika dia dilemparkan Allah di bumi berkah- Misr-, ditempatkan serumah dengan seorang senior sekolah lama yang sudah 6 tahun di sana. Beliau merupakan seorang yang sangat bersemangat dalam hal agama namun dikurniakan kesederhanaan dalam kebolehan akademik. Diakui, walaupun pakar motivasi sering mengatakan yang membezakan kita hanya usaha, akal adalah sama. Namun hakikat sebenar yang tidak dinafikan akal kurniaan Allah pada setiap individu adalah tidak sama. Keadaan itulah yang menyebabkan kembaranya di bumi berkah berlanjutan agak panjang.

Beliau seorang yang baik hati dan bersifat mendidik. Kecekalan, istiqamah dan kegigihannya mengagumkan namun rezki untuk dia menghabiskan pengajian belum di hujung jalan. Tika itu beliau baru menaiki tahun 4. Mereka tinggal bersama menyebabkan pelbagai perkara dikongsi bersama seperti kekangan kewangan dan harapan menggunung orang tuanya untuk dia cepat menghabiskan pengajian. Perihal-perihal sebegitu amat menyentuh hati sang sahabat dan dititipkan doa tanpa pengetahuannya sedikit pun dengan pernyataan namanya disusuli frasa "berjaya dengan cemerlang pada tahun ini" berkekalan sehingga solat subuh pagi terakhir sebelum keluarnya keputusan peperiksaan akhir.

Dia berjaya memperolehi jayyid dan sofi (tanpa ada suatu subjek pun yang gagal). Pertama kali jayyid dan sofi amat mengejutkannya dan dalam nada yang insaf dia mengakui pasti ada rakan-rakan yang mendoakan keajaiban untuk dirinya.

Walaubagaimanapun, bukanlah menjadi suatu kesalahan meminta orang lain mendoakan kita bahkan amat digalakkan oleh baginda Nabi S.A.W. sebagai tanda rendah diri dan mengakui kelemahan. Namun sebagai orang yang dipinta mendoakan, perlu kita meraikannya dengan tutur yang berlapik agar tidak menzahirkan doa kita untuknya. Sekadar sebagai contoh: "InsyaAllah awak akan berjaya", "InsyaAllah moga Allah permudahkan awak" dan seumpamanya.

Samada berdoa secara zahril ghaib atau tidak ia adalah pilihan bukanlah suatu kewajipan. Satu point terakhir dari kalam Baginda S.A.W. di atas, seandainya kita menitikan doa secara zahril ghaib..dijanjikan oleh Nabi S.A.W. kita juga akan akan memperoleh seumpamanya sebagai satu reward atas suatu keikhlasan.

p/s: Sekadar satu perkongsian pengalaman dan amat pasti dia tidak akan membaca blog ini kerana tiada connection maya dengannya samada fb atau ym atau dengan rakan-rakan terdekatnya yang lain.




Thursday, March 25, 2010

Pelajaran untuk hari ini..


Salah satu contoh yang boleh membuatkan orang bawah feel down

"Terbakar..", terbakar hati kena sound free dengan big bos.

"Huh..kalau yer pun..panggil la masuk bilik..ni free2 kena sound trouble depan-depan orang", merungut hatiku.

"Boleh tahan juga mulut orang tua nie..macam dah tak waras..kalau dikutkan akal bodoh mahu sahaja aku menjawab..nasib baik hormat tu ada lagi..", memberontak hatiku.

"Kalau iya pun aku silap..control la words tu skit..ni intonasi je pun boleh buat orang terbakar", meluap-luap rasa di dada.


Satu refleksi biasa seorang dewasa apabila dimarahi. Bengang..terbakar..angin dan sewaktu dengannya.


Tuntutan bayaran untuk fasilitator Program Pembangunan Keluarga Islam (PPKI) dan Program Pembangunan Sosial (PPS) mempunyai dua version jadual. Aku pun keliru..kesilapannya berpunca di mana. Kebiasaannya ketika tuntutan bayaran diajukan kepada MAINPP pada hujung bulan, jadual yang telah disediakan pada awal bulan lah yang akan dihantar yang telah disemak keabsahannya pada awal bulan juga. Bayaran adalah berdasarkan jadual yang dihantar kepada MAINPP. Bergantung kepada semakan yang telah dilakukan pada awal bulan, letterhead yang ditandatangani aku terus proceed melainkan aku hanya menyemak jumlah tuntutan yang patut dibayar oleh pihak bank. Rupa-rupanya pembantu telah terdelete beberapa columm dalam jadual yang sememangnya telah disemak. Maka bermulalah kekeliruan dan kesalahan.

Sebagai pegawai yang bertangunggjawab aku la yang kena.Sobs3.. :(

Btw..belajar dari kesilapan..perlu check detail detail detail and again and again and again..dan jangan bergantung pada pembantu sepenuhnya. Perlu check lagi walaupun untuk kali kedua dan ketiga.

p/s: Terpikir jugak..kalau jd bos boleh ke kalau marah control emosi and jgn letak andaian yg negatif pada org bawah. Such kind of negative assumption make us down..


Monday, March 22, 2010

Tujuan perkahwinan Nabi S.A.W.

Beberapa minggu lalu kita dikejutkan dengan laporan perkahwinan seorang lelaki berumur dengan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun. Mengejutkan bukan?? Seperti dilaporkan, dakwaan lelaki itu tindakan sedemikian adalah untuk menuruti sunnah.
"Kelu, tergamak seseorang mendakwa tindakannya itu adalah sebagai sunnah".
"Persis bagaikan orang 'lapar' sunnah, apakah sunnah-sunnah lain yang jumlahnya ialah ribuan sudah dilakukan kesemuanya".

Sekarang apa yang perlu kita jawab?? Nabi S.A.W. sendiri mengahwini Saidatina Aisyah ketika umurnya baru berusia 10 tahun. Sememangnya terdapat pelbagai cercaan oleh orientalis barat terhadap Baginda S.A.W. seperti gila seks dan gilakan kanak-kanak.

Aku sendiri sememangnya tercari-cari hujah akademik yang patut dijawab terhadap soalan sedemikian walaupun isu itu bukanlah isu baru. Ingat-ingat tapi macam tak ingat. Namun apa yang berlaku di Kelantan itu menggerakkan aku untuk mencari satu hujah akademik yang betul-betul meyakinkan untuk dijawab bila diajukan soalan sedemikian.

Nabi S.A.W. mengahwini 11 orang wanita. Kesemua perkahwinan ini bukanlah atas kehendak atau keinginan peribadi Nabi S.A.W. , namun kesemua perkahwinan ini adalah kerana ia merupakan perintah Allah S.W.T.. Namun apakah rahsia dan hikmah atau tujuan perkahwinan Nabi S.A.W. dengan kesebelas wanita-wanita ini? Secara umumnya, perkahwinan-perkahwinan ini adalah demi kepentingan gerakan dakwah yang dipacu oleh Nabi S.A.W. untuk menegakkan agama Allah S.W.T..

Perlu dijelaskan disini, dalam 11 orang isteri Baginda S.A.W. itu hanya Aisyah seorang yang anak dara. 10 orang yang lain ialah merupakan janda-janda. Bahkan terdapat di kalangan mereka yang sudah monopaus iaitu Ummu Saudah. Secara relatifnya, apakah tujuan mengahwini seorang yang sudah putus haid jika matlamat perkahwinan ialah untuk memenuhi tuntutan batin sedangkan sudah pasti ia tidak akan dipenuhi. Ternyata perkahwinan itu mempunyai sesuatu tujuan yang menjadi perintah Allah S.W.T..

Ummu Saudah isteri Baginda S.A.W. yang kedua selepas Saidatina Khadijah. Perkahwinan yang berlangsung sebelum peristiwa hijrah ini adalah disebabkan kerana Ummu Saudah kehilangan tempat bergantung selepas kematian suaminya. Hidup tanpa suami tersayang dalam lingkaran saudara mara yang masih musyrik menjadi cabaran yang besar bagi Ummu Saudah. Setiap hari ajakan-ajakan agar kembali kepada anutan asal bertandang ke telinganya. Sesudah menjadi pengetahuan Rasulullah S.A.W., baginda menghantar Khaulah binti Hakim untuk melamarnya bagi pihak baginda. Perkahwinan Baginda S.A.W. dengan Ummu Saudah adalah demi menjaga iman dan akidahnya.

Perdebatan hangat oleh orientalis barat adalah mengenai perkahwinan Rasulullah S.A.W. dengan Saidatina Aisyah. Bapanya Saidina Abu Bakar menerima lamaran untuk puterinya itu untuk Rasulullah S.A.W. ketika usianya ialah 6 tahun. Ia adalah sebelum peristiwa hijrah waktu yang sama ketika baginda melamar untuk Ummu Saudah. Namun pernikahan mereka ialah ketika usia Aisyah ialah 9 tahun, ketika peristiwa hijrah sudah berlaku dalam ertikata lain pernikahan tersebut berlaku di Madinah. Persoalannya mengapa Aisyah yang baru berusia 9 tahun?

Dua jawapan yang dititipkan disini dikira menjadi suatu jawapan yang amat menyakinkan insyaAllah.

Pertamanya ialah kerana demi memperkukuh erat hubungan baginda dengan sahabat yang utama yang paling dipercayai iaitu Saidina Abu Bakar. Perlu diingatkan, dalam sesuatu gerakan atau perjuangan kepercayaan ialah suatu asas utama. Abu Bakar merupakan orang yang paling dipercayai baginda. Beliaulah yang menjadi teman saat sukar dan genting penghijrahan dari Mekah ke Madinah. Tiada rahsia antara mereka berdua. Bahkan Abu Bakar jualah yang menggantikan Baginda S.A.W. mengimami solat ketika baginda sakit. Bahkan Abu Bakar jualah yang dilantik meneruskan legasi Rasulullah selepas kewafatan baginda. Semua ini adalah disebabkan keakraban dan saling percaya-mempercayai sesama mereka terutamanya selepas terjalinnya hubungan kekeluargaan antara mereka. Keadaan yang sama juga terjadi bagi Khalifah Islam yang kedua, ketiga dan keempat. Umar mengahwini anaknya Hafsah dengan baginda S.A.W., Saidina Usman mengahwini dua puteri Rasulullah manakala Saidina Ali juga mengahwini puteri Rasulullah S.A.W.

Keduanya, perkahwinan dengan Saidatina Aisyah adalah demi satu legasi keilmuan. Umum mengetahui bahawa Saidatina Aisyah telah mewarisi dari Nabi S.A.W. satu lautan ilmu yang tidak terdapat pada orang lain. Walaupun beliau ialah wanita, sahabat-sahabat lelaki tidak kekok untuk bertanya tentang perihal agama dari beliau sepertimana diriwayatkan dari Abu Musa al-Asy`ari :

"Alangkah rumitnya kami sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. sesuatu perkara, maka kami bertanya Aisyah melainkan kami dapati darinya suatu ilmu".
Dari Masruq beliau berkata:

" Kami bersumpah dengan nama Allah, sesungguhnya kami melihat sahabat-sahabat besar Rasulullah S.A.W. bertanyakan Aisyah tentang faraid".
Saidatina Aisyah meninggal dunia 40 tahun selepas kewafatan Nabi S.A.W.. Usianya yang remaja ketika berkahwin dengan Rasulullah S.A.W. merupakan tempoh umur yang sangat ideal untuk seseorang mempelajari atau merakamkan sesuatu dengan akal yang segar dan kemudianya menjadi penyelesai sesuatu masalah pula selepas kewafatan Rasulullah S.A.W..Sekiranya semua isteri-isteri baginda seusia baginda atau tua dari baginda, sudah pasti legasi keilmuan tidak berlaku dengan sempurna. Tambahan pula terdapat isu-isu "dalam selimut" yang hanya diketahui oleh Aisyah dan isteri-isteri Baginda S.A.W..Beliaulah rujukan para sahabat besar.
Ternyata perkahwinan Baginda S.A.W. mempunyai tujuan tertentu demi khidmat terhadap penegakkan syariat Allah. Amatlah tidak wajar seseorang beralasankan sunnah dengan mengahwini kanak-kanak kerana tiada apa kelebihan dirinya untuk kanak-kanak tersebut mewarisi darinya.
p/s: Antara contoh orang lapar sunnah ialah beralasankan Nabi mengamalkan poligami untuk dia juga berkahwin lagi. Nak amalkan sunnah?? Banyak lagi sunnah-sunnah lain..dah habis amalkan ke?


Wednesday, March 10, 2010

Membudayakan nilai-nilai murni- Gem

Barisan panelis dari kiri: Tan Sri Dato' Mohd Yusuf Hitam, Pak Wan Khair (Usm), Dr Azlinda (Usm), Ustaz Elyas Zakaria (Mainpp) dan Dr. Mohd Ghazali Abdul Ghaib (Presiden Gem)

Dr Azlinda Azman


Semalam aku sempat hadir ke Seminar Kebangsaan Ke-2 yang bertemakan "Kasih Sayang Antara Generasi Membanteras Penganiayaan Sesama Insan" yang dianjur oleh Persatuan Gerontologi Malaysia (GEM) dengan kerjasama JKM dan KPWM yang bertempaty di Hotel Cititel, Penang Road.

Suatu usaha murni yang dilakukan oleh GEM selepas kebelakangan ini masyarakat dihambat dengan pelbagai bentuk penganiayaan generasi tua kepada kanak-kanak. 3 pembentang telah dijemput hadir iaitu Dr. Azlinda Azman dari USm, En. Wan Khair Wan Chik seorang kaunselor dan Ustaz Elyas Zakaria dari MAIPP.

Pembentangan oleh Dr. Azlinda Azman amat menarik perhatianku kerana pembentangannya yang bersifat akademik dan problem solution. Tajuk kertas kerja ialah "Membudayakan nilai-nilai murni dan keutuhan keluarga".

Beberapa point yang ingin dikongsi disini ialah penekanan Dr. Azlinda kepada beberapa perkara

Pertamanya konsep nilai merujuk kepada pegangan individu akan sesuatu perkara mengikut pengalaman, pemahaman dan pemerhatian yang telah dilalui. Ini bermakna (sebagai contoh) individu yang tabiat dirinya ialah menghormati orang tua pasti ia membesar dalam persekitaran yang menitikberatkan sikap hormat-menghormati. Sebaliknya seseorang yang ringan mulutnya menuturkan kata-kata lucah, dalam tempoh tumbesarannya, telinganya selalu dihadapkan dengan ungkapan-ungkapan sedemikian oleh orang sekelilingnya.

Keduanya nilai yang dipegang individu selalunya diwarisi dan ditanam oleh ahli-ahli keluarga dan melalui persekitaran yang mempengaruhi kehidupan individu tersebut.
Ketiganya halatuju, pandangan dan kelakuan individu banyak bergantung kepada pegangan nilai tertentu. Oleh kerana pengaruh nilai yang kuat ini, maka penting individu diterapkan dengan nilai-nilai yang boleh meningkatkan lagi pengalaman yang lebih positif.
Kesimpulan ringkas yang ingin dinukilkan disini untuk membudayakan nilai-nilai murni perlu datang dari keluarga yang cemerlang, keluarga yang cemerlang pula pasti datang dari individu yang cemerlang, individu cemerlang pula dari keluarga cemerlang, keluarga cemerlang pula pulak dari individu cemerlang..hah..!! pi mai pi mai...bagaikan ayam dan telur..yang manakah jadi dulu..????

p/s: Kalau kita seorang yang bertanggungjawab pasti kita akan memecahkan kebuntuan kejadian ayam dan telur dan menjadi seorang revolusioner sekurang-kurangnya demi kebaikan zuriat kita sendiri. Sah ia tidak lagi buntu..ia adalah peranan dan kesedaran individu itu sendiri..!!!
p/s: Masih mencari dan mencari untuk sebuah legasi..
ربنا هب لنا من أزواجنا وذرياتنا قرة أعين واجعلنا للمتقين إماما

Tuesday, March 9, 2010

Jemputan ke Ceramah Mawlid Rasul SAW

Habib Adnan bersama potret datuknya , Habib Ahmad Masyhur bin Toha Al-Haddad

* Habib Ahmad Masyhur Toha al-Haddad (gambar di dalam frame) adalah pendakwah terkenal yang mengislam kan ratusan ribu rakyat benua Afrika ; khususnya negara Tanzania dan sekitarnya... Habib Adnan adalah cucu nya akan hadir bersama di Masjid Bandar Bahru Farlin, Ayer Itam, P.Pinang.... insya Allah

CERAMAH MAWLID RASUL SAW

Oleh : Habib Adnan bin Ali bin Habib Ahmad Mahsyur bin Toha Al-Haddad (dari Jeddah)
Pada : 10 Mac 2010 (Rabu)
Tempat : Masjid Bandar Bahru Farlim, Ayer Itam, Pulau Pinang.

Wednesday, March 3, 2010

Satu nikmat pada suatu malam


Haba panas bermaharajalela menguasai seluruh ruang rumah. Kipas dengan kelajuan di tahap 5 pun tidak mampu mengusirnya. Liat bagaikan melekat dengan ruang-ruang udara yang berkisar. Malam-malam sepanjang Februari di kediaman di sepanjang pesisir pantai Macallum bukan lagi menyamankan bahkan memeritkan. Manaka tidak, seusai matahari berlabuh, haba meneruskan legasi penguasaan matahari. Sehinggakan titisan embun di luaran tidak berpengaruh menempiaskan dingin ke dalam. Malam di Pulau Pinang bagaikan kemarau embun.

Namun semalam..

"Penatnya aku, nasib baiklah baju sudah iron", mengeluh mengenangkan bebanan kerja di pejabat selepas 2 minggu tidak berada di pejabat.

Jam menunjukkan 12.15 malam sejurus aku offlinekan facebook dan ym. Dilanda kepenatan yang amat sangat menyebabkan aku diruntun untuk melabuhkan kelopak mata awal. Aku terus hanyut. Tidur dalam haba ditemani angin dari kipas yang berbahang.

"Sssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssss...!!!", bunyi bising kedengaran.

Sayup-sayup kedengaran housemate menjerit-jeritkan alhamdulillah berkali-kali.

"Ahhhhhhhhhh..hujan..!!! lebat...!!!", aku terjaga dan bingkas bangun untuk menikmati pandangan hujan menimpa bumi selepas beberapa lama ia kegersangan.

"Alhamdulillah..", terbit kalimat pujian mensyukuri atas nikmat itu selepas beberapa lama tidak menikmatinya.

Hujan merupakan suatu aturan yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T. tatkala mengaturkan perjalanan bumi. kadang-kadang ada ribut, ada panas, ada kemarau dan ada hujan. Semuanya ini ialah aturan Allah (sunnatullah) bagi menyempurnakan kehidupan hamba dan makhluk ciptaannya. Bagi sesetengah orang, tempat dan keadaan, kejadian hujan kadang-kadang diingini dan kadang-kadang tidak.

Namun apakah pendirian al-Quran dalam hal ini. Apakah hujan itu dikira sebagai musibah atau nikmat? Jika musibah apa ciri-cirinya? Jika nikmat pula apa ciri-cirinya?

Dalam Bahada Arab, al-mator (dengan kata dasarnya ialah mim to' dan ro') ialah hujan. Terdapat sekitar sedozen tempat dalam al-Quran menggunakaan perkataan dari kata dasar ini.

Antaranya ketika Allah membicarakan perihal balasan bagi kaum Lut:


وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِمْ مَطَرًا فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُجْرِمِيْنَ

Dan kami telah hujankan mereka dengan hujan batu, maka lihatlah bagaimanakah balasan bagi orang-orang yang melakukan dosa.
Al-'Araf ayat 83


Antaralain perihal perkampungan kaum Lut yang ditimpa musibah:

وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهَا حِجَارَةً مِنْ سِجِّيْلٍ مَنْضُوْضٍ

Dan Kami telah hujankan ke atas perkampungan itu dengan batu-batu yang berlapis-lapis.
Hud ayat 82

Antara lain perihal kedegilan kaum musyrikin Mekah:

وَإِذْ قَالُوا اللَّهُمَّ إِنْ كَانَ مِنْ هَذَا هُوَا الْحَقُّ مِنْ عِنْدِكَ فَأَمْطِرْ عَلَيْنَا حِجَارَةً مِنَ السَّمَاءِ

أَوِ ائْتِنَا بِعَذَابٍ أَلِيْمٍ

Dan ketika mereka (kaum musyrikin) berkata: Ya Allah sekiranya apa yang dibawa oleh Muhammad ini adalah benar darimu, hujanilah kami dengan batu-batu dari langit atau datangkan kami dengan azab yang pedih.
Al'Anfal ayat 32

Ironinya kesemua sedozen ayan yang menggunakan perkataan mim to' dan ro' itu mengisyaratkan kepada hujan-hujan yang berbentuk seksaan, ancaman dan balasan daripada Allah kepada kaum-kaum terdahulu yang ingkar dan ia bukan ayat yang berbentuk nikmat, berkat dan rahmat.


Dalam merujuk kepada hujan yang bersifat rahmat, Allah S.W.T. menggunakan perkataan air iaitu mim alif dan hamzah ( ماء) yang digabungkan dengan perkataan turun. Seperti dalam firman Allah:

اَلَّذِيْ جَعَلَ لَكُمُ الأًرْضَ فِرَاشًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِزْقًا لَكُمْ

Dia yang menjadikan untuk kamu bumi sebagai hamparan dan langit sebagai binaan dan langit sebagai binaan dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, maka Dia mengeluarkan darinya tumbuh-tumbuhan sebagai rezki untuk kamu.
Al-Baqarah ayat 22


وَهُوَ الَّذِيْ أَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجْنَا بِهِ نَبَاتَ كُلِّ شَيْئ

Dialah yang telah menurunkan air (hujan) dari langit maka Kami keluarkan tumbuh-tumbuhan yang pelbagai.
Al-An'am ayat 99


إِذْ يُغَشِّيْكُمُ النُّعَاسَ أَمَنَةً مِنْهُ وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُمُ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً لِيُطهِّرُكُمْ بِهِ

Ketika Dia menyelubungi kamu dengan mengantuk untuk merehatkan kamu dengan aman dan menurunkan daripada langit air (hujan) agar kamu dapat menyucikan diri dengannya.
Al-Anfal ayat 11

Terdapat puluhan ayat yang kesemuanya menggunakan perkataan air bagi merujuk kepada kejadian hujan tanpa ada satu pun yang menggunakan perkataan hujan itu sendiri bagi merujuk kepada kejadian hujan yang bersifat nikmat, rahmat dan berkat. Ta'bir disebalik hikmah kebijaksanaan Allah itu ialah kerana hujan secara umumnya merujuk kepada kepelbagaian jenis kejadian hujan seperti hujan batu, hujan panas, hujan yang membawa angin ribut dan seumpamanya. Namun penggunaan kalimah menurunkan air dari langit sebagai ta'biran hujan adalah untuk memcerminkan tiadanya andaian lain melainkan hujan yang mengembirakan, menenangkan dan mendamaikan kerana air itu sendiri pada zatnya merupakan suatu yang mendamaikan dan mendinginkan.

Bagiku, turunnya hujan malam semalam selepas beberapa lama diselubungi hawa panas merupakan satu nikmat yang amat berharga yang mana akhirnya ia dapat melampiaskan kedinginan malam ke dalam 1-11-17 Desa Pinang 7, Jelutong.


p/s: Alhamdulillah semalam dapt tidur dengan nyaman sekali :-)



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...