Sila masuk

Friday, December 11, 2009

Tak perlu jijik dengan orang yang melakukan dosa dan kesalahan

"Terkilan", itulah detik hatiku tatkala membaca kenyataan Mufti Kerajaan Negeri Selangor SS Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid mengulas hasrat Dr. Mohd Asri untuk melakukan kerja dakwah di tempat hiburan. Satu kenyataan yang akan menjauhkan lagi jurang yang sedia ada antara agamawan dan non-agamawan . Beliau menyatakan," ibarat hendak membersihkan tong najis, pastinya kita akan bersihkan tong itu dari luar, sekiranya kita bersihkan dari dalam tentu kita pun akan terkena najis itu".

Saya pasti, orang yang jauh dirinya dari Islam pasti merasakan, mereka disamakan dengan najis oleh seorang mufti. Satu persepsi peribadi yang sepatutnya perlu dielakkan oleh seorang yang memiliki autoriti dalam agama. Kalau kenyataan itu datang dari Pak Mat seorang penoreh getah,pasti tidak mencerminkan apa-apa melainkan kurangnya pengetahuan, pendedahan dan penelitiannya dari aspek uslub dakwah. Dari sisi lain, kenyataan sebegitu menggambarkan beliau Datuk Mufti merasakan betapa eksklusifnya beliau, "tak boleh dekati orang macam tu sebab kita orang agama".

Sememangnya diakui, bukanlah menjadi kesalahan untuk memandang rendah orang yang melakukan dosa kerana kerap kali dalam al-Quran Allah mencerca mereka disebabkan keadaan mereka yang berimamkan nafsu dan kehendak dunia. Namun di sana terdapat satu pandang sisi lain yang boleh diaplikasikan dalam usaha kita untuk mengembalikan mereka kepada jalan yang benar.

Bukankah terdapat hadis Nabi S.A.W. yang menyatakan muslim sesama muslim adalah seperti satu tubuh badan yang satu, yang mana apabila terdapat satu anggota sakit pasti tidak senang satu badan untuk menjalani kehidupan seperti biasa. Walaupun yang sakit itu hanya melibatkan tidak sampai 1 % dari keluasan keseluruhan permukaan kulit seperti nanah atau bisul kecil. Namun mengapakah kesakitan yang teramat sikit itu mampu membantukan urusan kehidupan kita. Tidak lain tidak bukan adalah kerana keakraban disebabkan perkongsian satu tubuh yang sama. Keakraban itulah menyebabkan hati yang menjadi pusat maklumat tubuh badan membisikkan agar bahagian yang yang sakit itu cepat sembuh. "Senang nak hidup".

Keadaan yang sama jugak perlu kita sebagai seorang Muslim harus fahami dengan orang Islam yang suka melakukan dosa. Malam minggunya dihabiskan dengan mengunjungi disco dan kelab malam.Hanya dengan melangkahkan kaki ke dalamnya, pelbagai keseronokan dunia boleh dinikmati. Dari perempuan atau lelaki yang sudah tiada lagi malu yang membatasi pergerakan, kepada pembunuhan yang boleh berpunca dari dalamnya. Semuanya adalah kerana mereka tiada keimanan dan jauh dari Allah. Jadi ke mana harus kita letakkan sifat ihsan, kesian, simpati dan sakit kepada mereka.

Tidak bolehkah kita memahami mafhum hadis tadi dan mengamalkannya dalam situasi seperti ini?

Tidak hanya memahami hadis Nabi S.A.W. tadi dalam konteks kesakitan fizikal bahkan keupayaan memahaminya dalam aspek penderitaan dan kesakitan spritual sesama Muslim merupakan satu bentuk pengenyahan exclusivity yang dinikmati oleh Datuk Mufti Selangar.

Seorang Islam yang beriman dan menghayati hadis Baginda S.A.W. tadi pasti bersimpati dan kasihan akan nasib sesetengah orang yang jauh dari agama kerana mereka ada satu persamaan dan perkongsian iaitu akidah dan iktikad. Ibarat sakit yang terpendam di dalam hati. Sudah pasti inisiatif yang diambil ialah ingin mendekati golongan ini bagi memulihkan mereka kerana kalau hendak tunggu mereka datang ke masjid entah bila kerana kita sendiri tidak menjadi asbab untuk mereka datang masjid.

Kalau kita masih ingat, kewujudan Ikhwanul Muslimin di Mesir pada awal 1920-an adalah hasil usaha dakwah al-Imam Hasan al-Banna di kelab-kelab malam di pinggir Sungai Nil yang dapat menginsafkan ratusan pemuda yang bergelumang dosa dan menggerakkan mereka menjadi perintis kewujudan Ikhwanul Muslimin. Benarlah orang yang tidak pernah merasai iman, akan terasa manisnya iman berbanding kita yang semenjak awal lahir ialah beriman.

Sekilas memahami, menjalankan kerja dakwah di kelab malam dan pusat hiburan bukanlah kerja mudah berbanding berceramah dan berforum di masjid. Pelbagai bentuk kemungkinan penerimaan pasti diterima berbanding di masjid yang tiada cabaran yang pelbagai. Oleh itu, orang yang mampu melakukan kerja dakwah di kelab-kelab malam atau pusat-pusat hiburan ialah mereka yang betul-betul memiliki jiwa dan semangat yang kental.

Oleh yang demikian, pendekatan yang diambil oleh Dr. Asri dan ahli kumpulan yang dilatihnya untuk turun berdakwah di kelab-kelab malam harus disokong dan golongan-golongan autoriti Agama Islam harus memikirkan pendekatan baru untuk memahamkan Umat dengan agama Allah ini.

Tuesday, December 1, 2009

Masih bernyawa

"Hampir setahun..", getus hati kecilku.
Inilah rupa-rupanya yang disebut pasang surut dalam kehidupan.
1 Januari adalah kali terakhir aku postkan sesuatu ke blog ini, kini usia 2009 tinggal 30 hari sahaja lagi. Aku ternyata mengulangi sesuatu kekurangan yang pernah dilakukan. Blogging dan kemudian mengabaikan. Seakan rumah usang yang bilamana ditinggalkan manusia,blog ini dihuni oleh syaitan kebosanan yang menyampahkan si empunya.

Kini, Hutan Batu telah hampir 3 bulan ku tinggalkan. Mendiami suatu kawasan baru, mengajar ku erti permulaan untuk hidup. Tempoh 5 tahun menjadi antara duri-duri dan madu-madu di Hutan Madu ternyata memberiku pelajaran bangun dan jatuh, suka dan duka, gelak dan tanggis serta leka dan insaf.

Kini kehidupan tidak lagi dilingkari batu-batu konkrit, debu-debu jalan dan hadaman jiwa kesesakan traffic, yang ada sekarang ialah hirupan udara masin dari Lautan Selat Melaka di sebuah The City of The World Heritage Building, Pulau Pinang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...