Sila masuk

Saturday, August 28, 2010

Hukum bukan Islam masuk masjid dan fleksibiliti Agama Islam


Pagi yang hening sejurus menunaikan solat Subuh pada pagi cuti umum sempena Nuzul Quran.. Mata yang tidak seperti kebiasaan..segar..tidak meminta bantal sebagai teman, lantas dicapai Sang Toshiba bagi meninjau apa perkembangan negara untuk hari ini. Seperti biasa portal berita online yang paling digemari-Utusan Online- dilayari. Membelek-belek berita utamanya...kejutan dirasai.."Tindakan tegas jemput bukan Islam-JAIS". Dengan penuh minat..paparan laporan itu dihabiskan.

Rupa-rupanya ia berkaitan seorang ahli parliman bukan Islam wanita memasuki sebuah surau di Serdang dan menyampaikan ucapan di ruang solat utama. Dalam pada masa sama, laporan itu juga menyebut beberapa blog yang melaporkan perkara tersebut. Habis semua ku jelajahi. Menariknya pada salah satu blog tersebut ada memetik sebuah ayat al-Quran yang dikatakan sebagai larangan orang bukan Islam memasuki masjid. Sekadar memetik dan penjelasan simple yang teramat kabur, kepuasan untuk diri sendiri demi kefahaman yang sebenar ku dapatkan melalui Maktabah Syamilah yang sedia ada pada Sang Toshiba.

Ayat 28 dari Surah at-Taubah berbunyi:
Wahai orang yang beriman, sesungguhnya orang musyrik itu adalah najis, maka janganlah mereka itu menghampiri Masjidil Haram..

Terdapat beberapa tafsiran apakah yang dimaksudkan oleh Allah sebagai najis. Antaranya ialah kerana

1-mereka tidak pernah melakukan penyucian hadas besar.
2- kekufuran. Kufur disifatkan sebagai antara najis terbesar yang hanya dapat disucikan dengan kalimah tauhid.

Walaubagaimanapun hukum mereka memasuki masjid adalah berbeza sama sekali berbanding muslim yang berhadas besar.Berikut ialah kesimpulan hukum bukan Islam memasuki masjid yang diperolehi dari tafsir ayat tersebut dalam Tafsir Zadul Masir oleh Imam Ibnu Jauzi (seorang ulamak syafie yang muktabar)


1- Ulamak sepakat bahawa individu bukan Islam haram memasuki Masjidil Haram di Mekah.

2-Walaubagaimanapun, para ulamak berbagai-bagai pendapat terhadap individu bukan Islam memasuki masjid selain Masjidil Haram:

a) Ditegah melainkan ada hajat (Imam Malik)
b)Harus (Imam Syafie)
c)Harus bagi mereka masuk Masjidil Haram dan masjid-masjid lain. (Imam Abu Hanifah)

Walaubagaimanapun, pendapat Imam Abu Hanifah adalah tertolak sama sekali kerana bercanggah dengan zahir ayat di atas. Begitu juga, selepas dirujuk pada Tafsir ar-Razi oleh Imam Fakhrurazi (juga merupakan ulamak muktabar dalam mazhab Syafie) menemukan penemuan yang serupa.

Oleh yang demikan, ia memperlihatkan kepada kita betapa ulamak-ulamak silam pun tidak rigid pemikiran mereka dan menunjukkan keanjalan dalam pemahaman hukum tersebut. Berbanding kita khususnya melihat ia suatu perkara yang perlu ditentang habis-habisan
.

Adalah sesuatu yang amat malang, keterbukaan Agama Islam dari disukai oleh bukan Islam di Malaysia terhalang kerana dua faktor: a) Penganut Islam dan b) Pentadbiran Agama. Penganut Islam amat tidak menunjukkan roh Islam yang sebenar dan terbawa-bawa dengan emosi buta. Manakala faktor pentadbiran adalah kerana ia telah ditetapkan oleh pihak atasan sebagaimana apa yang telah berlaku dalam isu penggunaan kalimah Allah dan doa untuk bukan Islam.

Adalah amat penting pentadbiran Agama Islam di Malaysia menzahirkan keanjalan dan fleksibiliti Islam demi kepentingan dakwah dalam melunakkan hati dan jiwa mereka. Janganlah kita bersikap atau mengeluarkan pendapat dengan pendapat atau sikap yang "ala-ala taliban", nescaya Agama Islam pasti dijauhi dan tidak akan dilihat sebagai sebuah agama yang rahmat.

p/s: Wallahua'alam .. ..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...