Sila masuk

Friday, December 11, 2009

Tak perlu jijik dengan orang yang melakukan dosa dan kesalahan

"Terkilan", itulah detik hatiku tatkala membaca kenyataan Mufti Kerajaan Negeri Selangor SS Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid mengulas hasrat Dr. Mohd Asri untuk melakukan kerja dakwah di tempat hiburan. Satu kenyataan yang akan menjauhkan lagi jurang yang sedia ada antara agamawan dan non-agamawan . Beliau menyatakan," ibarat hendak membersihkan tong najis, pastinya kita akan bersihkan tong itu dari luar, sekiranya kita bersihkan dari dalam tentu kita pun akan terkena najis itu".

Saya pasti, orang yang jauh dirinya dari Islam pasti merasakan, mereka disamakan dengan najis oleh seorang mufti. Satu persepsi peribadi yang sepatutnya perlu dielakkan oleh seorang yang memiliki autoriti dalam agama. Kalau kenyataan itu datang dari Pak Mat seorang penoreh getah,pasti tidak mencerminkan apa-apa melainkan kurangnya pengetahuan, pendedahan dan penelitiannya dari aspek uslub dakwah. Dari sisi lain, kenyataan sebegitu menggambarkan beliau Datuk Mufti merasakan betapa eksklusifnya beliau, "tak boleh dekati orang macam tu sebab kita orang agama".

Sememangnya diakui, bukanlah menjadi kesalahan untuk memandang rendah orang yang melakukan dosa kerana kerap kali dalam al-Quran Allah mencerca mereka disebabkan keadaan mereka yang berimamkan nafsu dan kehendak dunia. Namun di sana terdapat satu pandang sisi lain yang boleh diaplikasikan dalam usaha kita untuk mengembalikan mereka kepada jalan yang benar.

Bukankah terdapat hadis Nabi S.A.W. yang menyatakan muslim sesama muslim adalah seperti satu tubuh badan yang satu, yang mana apabila terdapat satu anggota sakit pasti tidak senang satu badan untuk menjalani kehidupan seperti biasa. Walaupun yang sakit itu hanya melibatkan tidak sampai 1 % dari keluasan keseluruhan permukaan kulit seperti nanah atau bisul kecil. Namun mengapakah kesakitan yang teramat sikit itu mampu membantukan urusan kehidupan kita. Tidak lain tidak bukan adalah kerana keakraban disebabkan perkongsian satu tubuh yang sama. Keakraban itulah menyebabkan hati yang menjadi pusat maklumat tubuh badan membisikkan agar bahagian yang yang sakit itu cepat sembuh. "Senang nak hidup".

Keadaan yang sama jugak perlu kita sebagai seorang Muslim harus fahami dengan orang Islam yang suka melakukan dosa. Malam minggunya dihabiskan dengan mengunjungi disco dan kelab malam.Hanya dengan melangkahkan kaki ke dalamnya, pelbagai keseronokan dunia boleh dinikmati. Dari perempuan atau lelaki yang sudah tiada lagi malu yang membatasi pergerakan, kepada pembunuhan yang boleh berpunca dari dalamnya. Semuanya adalah kerana mereka tiada keimanan dan jauh dari Allah. Jadi ke mana harus kita letakkan sifat ihsan, kesian, simpati dan sakit kepada mereka.

Tidak bolehkah kita memahami mafhum hadis tadi dan mengamalkannya dalam situasi seperti ini?

Tidak hanya memahami hadis Nabi S.A.W. tadi dalam konteks kesakitan fizikal bahkan keupayaan memahaminya dalam aspek penderitaan dan kesakitan spritual sesama Muslim merupakan satu bentuk pengenyahan exclusivity yang dinikmati oleh Datuk Mufti Selangar.

Seorang Islam yang beriman dan menghayati hadis Baginda S.A.W. tadi pasti bersimpati dan kasihan akan nasib sesetengah orang yang jauh dari agama kerana mereka ada satu persamaan dan perkongsian iaitu akidah dan iktikad. Ibarat sakit yang terpendam di dalam hati. Sudah pasti inisiatif yang diambil ialah ingin mendekati golongan ini bagi memulihkan mereka kerana kalau hendak tunggu mereka datang ke masjid entah bila kerana kita sendiri tidak menjadi asbab untuk mereka datang masjid.

Kalau kita masih ingat, kewujudan Ikhwanul Muslimin di Mesir pada awal 1920-an adalah hasil usaha dakwah al-Imam Hasan al-Banna di kelab-kelab malam di pinggir Sungai Nil yang dapat menginsafkan ratusan pemuda yang bergelumang dosa dan menggerakkan mereka menjadi perintis kewujudan Ikhwanul Muslimin. Benarlah orang yang tidak pernah merasai iman, akan terasa manisnya iman berbanding kita yang semenjak awal lahir ialah beriman.

Sekilas memahami, menjalankan kerja dakwah di kelab malam dan pusat hiburan bukanlah kerja mudah berbanding berceramah dan berforum di masjid. Pelbagai bentuk kemungkinan penerimaan pasti diterima berbanding di masjid yang tiada cabaran yang pelbagai. Oleh itu, orang yang mampu melakukan kerja dakwah di kelab-kelab malam atau pusat-pusat hiburan ialah mereka yang betul-betul memiliki jiwa dan semangat yang kental.

Oleh yang demikian, pendekatan yang diambil oleh Dr. Asri dan ahli kumpulan yang dilatihnya untuk turun berdakwah di kelab-kelab malam harus disokong dan golongan-golongan autoriti Agama Islam harus memikirkan pendekatan baru untuk memahamkan Umat dengan agama Allah ini.

Tuesday, December 1, 2009

Masih bernyawa

"Hampir setahun..", getus hati kecilku.
Inilah rupa-rupanya yang disebut pasang surut dalam kehidupan.
1 Januari adalah kali terakhir aku postkan sesuatu ke blog ini, kini usia 2009 tinggal 30 hari sahaja lagi. Aku ternyata mengulangi sesuatu kekurangan yang pernah dilakukan. Blogging dan kemudian mengabaikan. Seakan rumah usang yang bilamana ditinggalkan manusia,blog ini dihuni oleh syaitan kebosanan yang menyampahkan si empunya.

Kini, Hutan Batu telah hampir 3 bulan ku tinggalkan. Mendiami suatu kawasan baru, mengajar ku erti permulaan untuk hidup. Tempoh 5 tahun menjadi antara duri-duri dan madu-madu di Hutan Madu ternyata memberiku pelajaran bangun dan jatuh, suka dan duka, gelak dan tanggis serta leka dan insaf.

Kini kehidupan tidak lagi dilingkari batu-batu konkrit, debu-debu jalan dan hadaman jiwa kesesakan traffic, yang ada sekarang ialah hirupan udara masin dari Lautan Selat Melaka di sebuah The City of The World Heritage Building, Pulau Pinang.

Friday, January 2, 2009

Keresahan kematian mengejut...

Jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi hari kedua 2009. Mataku masih tidak dapat melelapkan mata. Sudah satu jam setengah berpusing ke kiri dan ke kanan, entah berapa darjah pusingan-pusingan itu namun sang mata belum lagi mahu menggelapkan pandangan. Mungkin kerana siangnya sudah puas ia bergelap, lalu terlalu awal untuk dia berehat kembali. Tetapi aku perlu tidur awal kerana keesokannya aku perlu pergi ke sekolah kerana membuat persiapan untuk penggal persekolahan baru. 8.30 pagi dikehendaki semua berada di sana bermakna 7.30 pagi aku sudah bertolak dan bermakna juga sebelum 6.30 pagi juga aku terpaksa bangun. Iron baju, memanaskan enjin kereta dan sarapan di warung sahaja mengambil masa 1 jam. Nak iron awal tapi malas.

Sedang aku mengelamun, tiba-tiba..!! satu rasa yang tak pernah dirasai mengejutkan hati dan perasaanku. Langsung dengan segera terus ku catatkan dalam handphoneku nilai hutang dan kepada siapa aku berhutang yang belum dilangsaikan dengan harapan sekiranya keesokan harinya jika aku sedar dan sudah berada di alam lain, akan ada sesiapa yang menemui catitanku itu. Sayup-sayup aku merasai penyesalan yang teramat sangat, amalanku tergantung tidak diangkat kepada Tuhan kerana hutang yang tidak dilangsaikan walhal tiada lagi perantara untuk aku memberitahu mereka yang berada di atas muka bumi.

Terus aku merasai ketakutan dan keresahan yang amat sangat sekiranya aku tidak lagi dapat menyedup udara pagi hari kedua 2009. "Ya Allah..menakutkan..aku belum bersedia..dosa-dosa lalu pun belum disesali sepenuhnya..permohonan keampunanku terlalu sedikit..aku tidak mahu mati dalam keadaan mengejut", dititipkan dalam hasrat berdoa kepada Yang Maha Memati dan Menghidupkan. Resah dan gelisah.

Lalu teringat semasa di Kusza, Ustazah Syarifah Hamadiah pernah memberiku doa agar Allah tidak mematikan kita dengan mengejut kerana kebiasaannya orang-orang soleh kematian mereka bukan dengan cara mengejut. Mereka diberikan tempoh sakit beberapa ketika sebelum dimatikan kerana ketika sakit itulah mereka sempat bertaubat dan berbanyak memohon keampunan dari Allah. Puas direfresh..namun matan doa tersebut tidak juga aku ingat. Kalau sahaja aku ingat..mahu sahaja dibacanya beratus-ratus kali sebelum terlelap agar fajar yang menyinsing keesokan hari masih dapat ku nikmati. Matan doa tersebut tidak juga muncul dalam kepalaku. Lalu dionkan kembali komputer meja untuk mencarinya di internet. Namun hampa kerana yang ku temui adalah satu doa yang disandarkan kepada Nabi tetapi batil dan palsu. Rekaan orang yang tidak bertanggungjawab. Doa yang aku maksudkan itu tidak juga ku temui. Seingat aku ia adalah terlalu ringkas mengandungi sekitar 5 perkataan sahaja.

Hampir 1 jam mencarinya di internet namun hampa jua yang datang. Dioffkan komputer meja memandangkan aku mesti juga tidur agar keesokan harinya aku tidak kelesuan. Satu ketika aku mengambil keputusan untuk tidak mahu tidur. Takut punya pasal. Namun itu bukan jalan terbaik kerana kalau ajal..tiada jalan untuk lari darinya.

Akhirnya aku hanyut selepas mengelumitkan beberapa doa lain dan penyaksian Allah sebagai Tuhanku serta Muhammad sebagai pesuruh-Nya dengan penuh kesungguhan.

"Zzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzz......................".

"Bayang sesuatu..!! Ah..Jaid rupanya..", getus hatiku separuh sedar. Dia seperti biasa memasuki bilikku untuk iron baju. Rupa-rupanya kegelisahan semalam sudah menyelimuti hatiku sehingga terbawa-bawa rasa sebegitu. Melihat jam di handhone menunjukkan pukul 6.27 pagi. "Alhamdulillahillazi ahyaa na wa amaatana wa ilaihin nusyur", ku titipkannya selepas terlalu lama aku cuai untuk bersyukur dengan nikmat kehidupan selepas tidur.

Tatkala memandu selepas menjamah sarapan di warung Kak Ros satu-satunya warung melayu di kawasan Bukit Teratai, fikiranku menerawang memikirkan apa yang terjadi semalam. Tidak pernah ku rasa begini. Teringat beberapa orang-orang baik yang ku kenali yang kematian mereka adalah selepas beberapa ketika jatuh sakit. Tuan Guru Haji Omar Zuhdi pengasas Pondok Lanai pondok tersohor di Daerah Baling, jatuh sakit selepas menjalani pembedahan mata. Kemudian meninggal dunia. Ustaz Saleh Hj Ahmad, seorang ustaz di kampungku yang mana taburan ilmunya bermula semenjak jalan-jalan utama di Daerah Baling masih lagi belum berturap juga meninggal dunia selepas berbulan-bulan jatuh sakit. Ustaz Fadhil Nor pun kematiannya selepas jatuh sakit. Nabi Muhammad pun..!!! wafatnya adalah selepas jatuh sakit selama satu bulan.

Nyatalah, kematian dengan sebab jatuh sakit adalah merupakan anugerah Allah kepada orang-orang yang soleh kerana tatkala sakit tenat mereka menggunakan peluang itu untuk banyak beristighfar kepada Allah S.W.T. Namun orang-orang yang fasik mereka mengabaikan peluang itu untuk banyak beristighfar lalu kesudahan kematian mereka hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui.

p/s: Semoga kesudahan ajal kita bukan bukan dengan mengejut..Aminnn Ya Rabb...

Thursday, January 1, 2009

Pakcik Garang dan aku yang cool

Selepas sahaja diselamatkan dalam kelemasan warna..aku bertekad untuk terus pergi ke pusat servis Perodua di Au Keramat. Tension jugak..nak buat appoinment servis..taliannya asyik sibuk..puas di hubungi sejak sebelum cuti Krismas lagi..namun hampa.

Aku bernasib baik kerana ketika sampai di situ..servis keretaku masih boleh diterima walaupun hadir tanpa appoinment. "Pukul 5.30 baru siap encik", respon kerani pendaftaran. "Huh..lamenyer..takpelah saya tunggu", alang-alang dah datang baik aku tunggu je walaupun ketika itu jam baru menunjukkan pukul 2.45 ptg.

Aku melabuhkan punggung di salah satu kerusi ruang menunggu. Beberapa naskah akhbar berselerak di atas meja. Seorang pakcik lingkungan 50-an kusyuk membaca sebuah majalah dan menempatkan majalah tersebut di atas meja yang sama. Aku mengambil Utusan Malaysia diselak helaiannya dan tanpa ku sedari..."Sory..!!! Excuse me..!!", tinggi suara lelaki tua itu sambil menghadiahkanku satu raut wajah yang begitu menyentak perasaanku. Baru aku tersedar helaian akhbarku menutup majalah yang sedang dibacanya. Aku cuai lantas bermulut "Maaf", sambil memandang wajahnya yang mencuka garang itu. Terdetik hatiku "Kenapa pakcik ni tunjuk muka sampai macam tu sekali..bukannya aku sengaja pun".

Keadaan itu menginsafkanku bahawa kita sebagai manusia perlukan pertimbangan yang wajar dan patut sebelum menunjukkan sebarang eksperesi muka kerana itu mencerminkan penilaian orang lain terhadap diri kita. Seperti terdapat dalam satu kaedah fiqhiyyah " Nahkumu bizzawahir wa natrukus sarair lillahi Taala". Kita menilai sesuatu dengan wajah luaran, adapun yang bersifat dalaman atau tersirat diserahkan pada Allah.

Apa-apa pun persepsi spontan aku terhadap pakcik itu ialah dia seorang yang bengis dan pemarah. Orang bengis dan pemarah kurang disukai oleh orang sekelilingnya mereka kelihatan seakan-akan kurang bijak. Namun beberapa ketika aku terfikir, mungkin pakcik ini angin sebab menunggu keretanya terlalu lama. "Kesian dia".



p/s: Aku nak jadi orang yang cool but sometimes my tongue faster than my mind.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...