Sila masuk

Monday, September 6, 2010

Selfish a.k.a. self-interest


Senangnya hati tatkala kelihatan dari jauh satu ruang kosong. Namun apabila didekati ternyata ruangnya tinggal 3/4 sahaja lantaran Toyota Vios Grey itu telah melebihi border line petak parking bersebelahannya. Sakitnya hati bukan kepalang.

Hati membuah tenang memandu di atas jambatan pada malam hari tanpa kesesakan. Kereta dipacu dilorong kanan pada had kelajuan dibenarkan. Hasrat hati untuk sampai ke destinasi pada masa yang dijanjikan. Lamunan dalam pemanduan terganggu oleh sebuah Honda Stream Putih yang sedang 'makan angin' di lorong kanan. Situasi yang terlalu biasa di atas Jambatan Pulau Pinang. "Kalau nak bawak slow..masuk la lorong kiri", getus hati menyinga.

Petang Jumaat yang lalu, jalan menuju ke Jeti Feri sangat sesak. Kesesakan tersebut agak luar biasa jika dibandingkan dengan kebiasaan pada petang-petang Jumaat. Kenderaan kecil dan besar berderet-deret hingga ke pelabuhan kapal mewa, Port Swettenham. Tidak bergerak-gerak. Mujur aku menggunakan kenderaan dua roda, dapatlah menyelit dicelahan deretan kenderaan yang panjang itu. Melewati Stesyen Minyak Shell Port Weld, kelihatan atap merah merentangi 1/4 jalan. Laluan yang dua lorong menjadi satu lorong. Sebuah rumah sembahan memasang atap tambahan sementara bagi meraikan satu keraian. Tanpa atap itu pun, laluan di Port Weld sentiasa memutik geram dek kerana kenderaan-kenderaan diletakkan di bahu jalan sesuka hati.

Itulah realiti kehidupan. Di mana-mana sahaja kita akan mudah dapati manusia yang mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan orang lain. Bertindak melakukan sesuatu tanpa mempunyai pertimbangan kewajaran dilaksanakan atau tidak. Kewajaran melaksanakan meliputi apakah ia sesuai..?Menyusahkan orang lain atau tidak..? Mengganggu emosi orang lain atau tidak..? Terlalu sedikit untuk mendapatkan manusia yang memiliki pertimbangan sebegitu. Lumrah, sekiranya sesuatu dilakukan..yang penting ia siap ataupun aku puas.

Indahnya kalau sikap tersebut berada di kedudukan ke-100 dalam diri individu. Harmoni dan damai..pasti individu akan lebih mengutamakan nilai-nilai positif dalam tingkah laku, kelakuan dan tindakan.

Bahagia terasa tatkala melihat anak muda mempelawa seorang tua untuk duduk ditempatnya tatkala lrt atau bas penuh sesak dengan orang ramai. Bahagia juga dirasai tatkala terpandang sebuah kereta dihentikan oleh pemandunya bagi memberi laluan kepada pejalan kaki melintas dan bahagia juga dinikmati tatkala melihat rakan-rakan sekerja mengorbankan wang ringgit bagi membantu rakan yang dalam kesusahan.

Inilah yang dinamakan ithar iaitu satu tindakan mengutamakan orang lain dari diri sendiri.

Sebuah kisah yang diriwayatkan dalam kitab-kitab tafsir ketika para mufassir menafsirkan ayat 9 dari Surah al-Hasyr yang menjadi sebab turunnya ayat tersebut, seorang sahabat dari kalangan ahli suffah ( sahabat muhajirin yang mendiami sekitar Masjid Nabawi) telah datang mengadu kepada baginda S.A.W. bahawa dia dalam keadaan tersangat lapar. Nabi S.A.W. bertanyakan kepada para isteri baginda apa yang mereka miliki dari makanan, namun yang mereka ada hanyalah air untuk diminum. Lantas Nabi S.A.W. bersabda kepada kalangan sahabat baginda: "Sesiapa yang menjadikan lelaki ini tetamu, nescaya Allah akan merahmatinya". Lalu bangun seorang sahabat dari kalangan Ansar (dikatakan ia adalah Thabit bin Qais) menyahut seruan Nabi tersebut. Pulanglah dia bersama tetamu tersebut ke rumahnya, lalu berpesan kepada isterinya: "Ini adalah tetamu Rasulullah, janganlah kamu sembunyikan apa-apa makanan untuknya", maka balas si isteri : " Demi Allah, kita tidak memiliki apa-apa melainkan sekadar cukup untuk anak-anak makan malam", si suami berkata: "Tidurkanlah anak-anak, padamkanlah lampu dan kita berpura-pura suap menyuapi", maka si isteri pun menurut. (Mereka berpura-pura menyuap satu sama lain di dalam samar malam ketika si tetamu sedang makan dan si tetamu menyangka mereka juga sedang makan). Keesokan harinya, selepas menunaikan solat Subuh bersama Rasulullah S.A.W. baginda bersabda: "Allah mengagumi dan merahmati seorang suami dan seorang isteri". Maka turunlah ayat:

"dan orang-orang Ansar yang mendiami negeri Madinah serta beriman sebelum meraka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka (muhajirin), dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan inginkan apa yang telah diberikan kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya"
(Al-Hasyr:9)

Ithar bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit, bahkan ia meliputi seluruh aspek kehidupan seperti tindakan dan kelakuan. Seandainya sikap ini diterap dan menjadi teraju jati diri individu, tiada lagi sikap kawan makan kawan atau sifat keakuan atau kekitaan.

Walaubagaimanapun, bagaimana pula dengan situasi orang ramai meletakkan kenderaan di tepi jalan untuk menunaikan solat Jumaat sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas. Apakah situasi ini tidak salah kerana semata-mata Islam adalah agama yang hak ataupun agama rasmi negara Malaysia? Teringat situasi ini amat biasa di hadapan masjid al-Rahman, Universiti Malaya menyebabkan pengguna yang menggunakan exit bangsar dari Federal Highway terpaksa bersesak-sesak dek kerana kenderaan diletakkan berlapis-lapis di atas jalan. Bukannya tidak ada ruang di dalam pagar universiti, cuma disitu adalah lebih mudah dan jaraknya dekat untuk masuk ke masjid.

Memiliki sifat pentingkan diri atau self-interested sekiranya oleh ramai orang dalam satu ketika yang sama menyebabkan situasi tersebut menjadi sangat teruk. Bagi pentadbir institusi atau rumah ibadat yang terletak di tepi jalan utama perlu memikirkan alternatif lain bagi menangani masalah sebegini agar institusi keagamaan tidak dianggap platform yang menyusahkan penganut agama lain. Perkara sama jualah yang terjadi di jalan Port Weld, Pulau Pinang dan diyakini terjadi juga di tempat-tempat lain.

Di jalan Port Weld, disitulah terdapatnya rumah sembahan dan gerai-gerai makanan cina. Situasi menjadi teruk apabila lori-lori ais hanya berhenti di atas jalan untuk menurunkan pesanan ais kiub tanpa mempedulikan deretan kenderaan lain di belakangnya. Pelanggan gerai-gerai makanan juga menunjukkan sikap yang sama. Ironinya, ia berlaku pada setiap hari tanpa terdetikkah bersalah di hati mereka?

Beberapa paparan contoh adalah sebagai peringatan buat kita yang mempunyai akal dan fikiran sebagai menjadi panduan dan pedoman dalam menjalani kehidupan.
p/s: Hidup bukan untuk menyusahkan orang lain.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...