Sila masuk

Wednesday, September 8, 2010

Syawal dirai...syariat didakapi..


Aidilfitri 1431 dijangka pada lusa, Jumaat. Keadaan di pejabat lengan kerana kakitangan sudah mula bercuti. Esok apatah lagi, suasana raya sudah "memakan" suasana meriahnya Ramadhan. Hangat Ramadhan sudah suam-suam kuku. Tiada Lagi ghairah berkejar ke masjid. Tiada lagi dalam kepala dengan apa nak berbuka hari ini. Tiada lagi edaran bumbur lambuk. Kebanyakan masjid dan surau sudah tiada lagi majlis berbuka puasa..suram. Promosi bufet Ramadhan juga telah senyap. Masjid yang melimpah ruah juga telah surut. Semuanya kerana Aidilfitri bakal menjelma sehinggakan kemeriahan bazar Ramadhan pun sudah malap dek kerana deretan perniagaan sudah berlompang-lompang. Semalam aku ke bazar Ramadhan Taman Tun Sardon..boleh dikira mereka yang masih berniaga. Sewaktu di Gombak beberapa tahun dahulu, seminggu menjelang raya adalah saat paling sukar mencari makan sahur dan berbuka. Majoriti pengusaha kedai makan sudah balik ke Kelantan atau Selatan Siam. Semuanya kerana Aidilfitri bakal menjelma. Lusa mungkin..

Ramadhan bulan ibadah bakal berlalu..bukan bererti berlalunya tempoh ta`abbudiyah terus memasuki tempoh melalaikan. Aidilfitri yang disyariatkan pada tahun kedua hijrah ini..bukanlah tempoh bersuka ria yang mutlak bahkan ia merupakan keraian yang masih dalam lingkup kawalan syara'. Bererti kita keluar dari tempoh ta`abbudiyyah tetapi akan masuk kembali ke dalamnya. Tetapi bagaimana? Aidilfitri disyariatkan berserta dengan adab-adab keutamaan bagi meneruskan kesinabungan ibadah dalam Ramadhan yang berlalu. Sewajarnya kita merai dan mengutamakan perkara-perkara berikut:


1- Memperbanyakkan takbir (membesarkan Allah)

"dan supaya kamu menyempurnakan tempoh (puasa), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana dikurniakan petunjuk"
al-Baqarah: 185

Asal usul takbir raya adalah ketika Nabi Ibrahim a.s. ingin melaksanakan perintah Allah dengan mengorbankan anaknya Saidina Ismail a.s...tatkala pisau diletakkan dileher..dengan penuh kekuatan baginda bertakbir "Allahu akbar Allahu akbar Allahu akbar..!!", menggambarkan betapa beratnya perintah yang dilaksanakan itu namun kerana kebesaran dan ketinggian Allah..perintah itu dilaksanakan jua, tatkala itu..datang malaikat Jibril dengan membawa gantian menyahut.."Lailahaillallahu huwa Allahu akbar..!!, dan bilamana baginda selesai menyembelih dan mendapati yang disembelihnya itu adalah seekor kibas..baginda melafazkan "Allahu akbar wa lillahil hamd", sebagai mensyukuri atas pemberian gantian itu.

Maka kita pada hari raya, disunatkan bertakbir di mana-mana jua sama ada salam berkumpulan atau seorang diri.

2- Membersihkan diri, memakai pakaian baru dan wangi-wangian.

Disunatkan untuk membersihkan diri dengan memotong kuku, bulu-bulu dan mandi sunat aidilfitri atau aidiladha. Sekalipun bagi kanak-kanak, disunatkan si bapa atau ibu memandikannya. Selain itu, disunatkan juga memakai pakaian baru dan berwangi-wangian.

3- Makan dahulu sebelum pergi solat sunat Aidilfitri

Berbeza dengan Aidiladha, pada pagi Aidilfitri, kaum muslimin dan muslimat disunatkan mengisi perut sebelum pergi menunaikan solat sunat Aidilfitri. Manakala pada pagi Aidiladha disunatkan pergi solat dengan perut kosong sebagai meraikan jamuan ibadah korban. Ia selari dengan tuntutan agar solat sunat Aidilfitri dilewatkan sedikit berbbanding Aidiladha.

4-Menunaikan tuntutan zakat fitrah.

Tempoh terakhir untuk menunaikan tuntutan ini ialah sehingga imam mengangkat takbiratul ihram.

5-Pergi masjid berjalan kaki dengan menggunakan jalan yang jauh dan pulang dengan jalan lebih dekat.

Ia adalah merupakan sunnah Rasul S.A.W. pada setiap kali hari raya. Ini kerana ketika berjalan pergi..baginda S.A.W. suka menggunakan jalan yang jauh bertujuan agar bertemu dengan lebih ramai faqir untuk baginda bersedekah

6- Mengucapkan tahniah

Ucapan tahniah atas kejayaan melaksanakan perintah Allah dengan apa jua perkataan seperti contoh "Moga-moga Allah menerima amalan kita".

7-Keharusan berhibur yang tidak melampaui.

Dari Aisyah r.a., dia telah berkata: "Telah masuk Abu Bakar kepada kami dan di sisiku dua orang hamba dari kalangan Ansar sedang menyanyi", Aisyah berkata lagi: "Mereka berdua bukan penyanyi", maka berkata Abu Bakar r.a.: "Apakah ada bunyi-bunyian syaitan di dalam rumah Rasulullah S.A.W. pada hari raya??", Maka Rasulullah S.A.W. bersabda: "Wahai Abu Bakar, bagi setiap kaum ada hari raya, ini adalah hari raya kami".
(Riwayat al-Bukhari)

Keharusan di sini adalah pada kata kunci kenyataan Aisyah "Mereka berdua bukanlah penyanyi". Berdasarkan kenyataan para ulamak yang dimaksudkan itu ialah dua orang hamba itu bukanlah penyanyi dalam erti kata penyanyi sebenar yang menzahirkan aurat dan perhiasan dan membangkitkan perkara maksiat dan mungkar, mereka sekadar "menyebut nyanyian di mulut" bagi menzahirkan kegembiraan. Oleh yang demikian itulah, Nabi S.A.W. tidak melarang mereka, baginda sekadar memalingkan mukanya dari tingkah mereka berdua sambil menyebut "bagi setiap kaum itu ada perayaan dan ini adalah perayaan kami". Oleh yang demikian, sewajarnyalah kita menyederhanakan hiburan dengan tidak mengutamakannya bahkan memenuhi sambutan dengan kunjung mengunjungi dan ziarah mensiarahi.

Moga kegembiraan Syawal dirai dalam kepatuhan kepada syariat

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...