Sila masuk

Monday, January 3, 2011

"Tertawa"


Selepas lulus daripada institut pengajian tinggi, seorang pemuda mengalami kesukaran untuk mendapatkan kerja yang bersesuaian dengan kelulusannya.

Pemuda itu tiada pilihan melainkan memohon apa sahaja pekerjaan di merata-rata tempat. Akhirnya dia diterima bekerja di sebuah zoo. Walaupun tidak begitu sesuai dengan kelayakannya, namun oleh kerana tubuhnya yang tegap, pengurus zoo tersebut bercadang memberinya satu tugasan.

"Saudara tahu di sini ada beberapa jenis haiwan yang popular, antaranya ialah seekor gorila. Sayang sekali, gorila tersebut yang kami datangkan dari Afrika beberapa tahun dahulu telah mati semalam. Sekiranya kami berikan kepada saudara pakaian khas, mahukan saudara meniru tingkah laku gorila itu untuk beberapa hari?", tanya pengurus zoo tersebut.

Oleh kerana terdesak dengan keperluan hidup yang menghimpit, pemuda itu bersetuju menyamar sebagai gorila. Sebelum memulakan tugas barunya itu, die terlebih dahulu diajar mengenai tingkah laku gorila supaya kelakuannya sama dengan tingkah laku gorila yang sebenar.

Apabila tiba hari minggu, maka ramailah pengunjung yang berkumpul mengelilingi kandang gorila bagi melihat gorila yang popular tersebut. Tidak lama kemudian, keluarlah 'gorila' yang dinanti-nantikan. Pengunjung yang tidak tahu cerita sebenarnya, terpegun melihat gorila yang gagah dan aksinya itu.

Gorila samaran itu mula berjalan-jalan mengelilingi kandangnya sambil melompat ke sana ke mari. Mereka kagum melihat tingkah laku "gorila" yang cerdas itu. Oleh kerana terlalu asyik berjalan-jalan dan melompat-lompat, si 'gorila' tidak menghiraukan pagar penghadang di antara kandangnya dan kandang singa di sebelahnya. 'Gorila' itu lalu terjerumus masuk ke dalam kandang singa itu.

Melihat seekor 'gorila' masuk ke kandangnya, si singa terkejut lalu mendekati 'gorila'. Ini sudah tentu membuatkan gorila samaran itu menjadi begitu takut. Dia berfikir dia pasti mati diterkam singa, kerana singa tentu boleh menghidu bau manusia di sebalik baju gorila yang dipakainya.

Sementara itu, pengunjung-pengunjung yang sejak dari tadi memerhatikan drama itu, mula bergerak ke kandang singa bagi melihat pergelutan yang bakal terjadi di antara singa dan gorila itu. 'Gorila' berasa semakin takut melihat singa yang semakin menghampirinya dan mula menghidu-hidu dirinya. Apakah dia perlu berteriak minta tolong dan melarikan diri daripada kandang itu. Biarlah pengunjung semua berasa kecewa apabila tahu yang dia hanyalah gorila samaran. Tetapi, dia juga tidak mahu mengecewakan pengurus zoo itu, yang memberikannya kerja dan gaji. Namun, demi keselamatan diri, masa depan dan nyawanya, dia mengambil keputusan untuk menjerit minta tolong.

Pada masa yang sama, singa yang sedang memerhatikan gerak geri itu mula kelihatan panik. Alangkah terkejutnya singa itu apabila gorila tiba-tiba menjerit. Jeritan sayup gorila benar-benar membuatkan si raja hutan terperanjat dan juga marah. Dengan pantas, singa itu menerkam gorila dan dengan mudah gorila itu dapat ditumbangkan oleh sang singa. Ketika berada dalam keadaan inilah, mulut sang singa mendekati telinga gorila. Dengan suara perlahan, sang singa berkata, " Diamlah bodoh..!! Kamu nak diberhentikan kerja kah?!"

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~//////~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Cerita di atas membuatkan kita ketawa ataupun tersenyum keseorangan atau juga membuatkan kita sekadar mengerutkan dahi. Kita boleh membuat pilihan sama ada hendak senyum, ketawa atau sekadar mengerutkan dahi mengikut pilihan hati kita sendiri. Tetapi, sekiranya kita memilih untuk ketawa, maka sebenarnya kita sedang meneutralkan ketegangan yang sedang berlaku.

Pepatah kata bijak pandai ada berbunyi, "Sekiranya masih boleh ketawa dalam sehari, menunjukkan kita masih hidup. Sekiranya kita ketawa dua kali sehari, bererti masalah dapat di atasi. Manakala, sekiranya kita ketawa tiga kali sehari, ia menunjukkan harapan dan optimisme, sekiranya empat kali sehari memberi isyarat pada kemampuan bagi mengatasi masalah dengan baik. Akhirnya, sekiranya kita ketawa lima kali sehari, maka itu membuatkan kita lebih panjang umur".

Di antara segala mahkluk ciptaan Tuhan, hanya manusia yang diberi anugerah untuk ketawa. Tetapi sekiranya diamati dengan lebih mendalam, ternyata ada ramai manusia yang begitu sukar untuk ketawa, namun ada juga manusia yang ketawa tanpa sebab.

Ketawa sebenarnya menunjukkan kemampuan psikologi seseorang bagi menyeimbangkan bebanan-bebanan yang ada. Ketawa juga menunjukkan optimisme dan perencanaan kesihatan mental yang berpatutan. Malah Herm Albright mengatakan "Ketawa 100 kali sehari menghasilkan latihan otot sama dengan 10 minit mendayung".

Bagi sesorang pemimpin, ketawa adalah salah satu seni dalam kepimpinan. Pat Williams berkata "Seorang pemimpin yang tidak ceria, sentiasa bermasam muka, kaku dan tidak mempunyai daya humor adalah seorang pemimpin yang membosankan"

Dalam Islam pula, kita selalu terbiasa dengan ungkapan hadis "Senyum itu sedekah". Malahan ia diumpamakan seperti sedekah kerana ia mampu menyenangkan hati orang yang menerima pemberian sedekah.

Dalam satu hadis lain Nabi S.A.W. bersabda

" Janganlah kamu membanyakkan ketawa. Sesungguhnya banyak ketawa itu mematikan hati"
(Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Penting kita untuk mengambil jalan tengah di antara kelebihan dan keburukan ketawa dengan menyederhanakannya berbanding dengan tidak langsung mengukirkan senyuman atau menzahirkan gelak tawa.

Ketawa dan senyum adalah pilihan hidup. Masalah tidak selesai sekiranya kita diliputi dengan kemurungan dan penyesalan berterusan. Hati yang gembira dan kemampuan untuk ketawa dan senyum akan membuka cakerawala penyelesaian masalah yang ada dan mengurangkan tekanan yang timbul. Justeru..ketawalah..senyumlah..supaya fizikal dan mental kita kekal berada dalah keadaan sihat.

p/s: Dipetik, diolah dan ditokok tambah dari buku Setengah Berisi Setengah Kosong terbitan PTS Millennia Sdn. Bhd.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...