Sila masuk

Tuesday, March 30, 2010

Menyembunyikan doa


Seringkali kita terdengar dan diperdengarkan..
"Kami doakan awak bahagia hingga ke anak cucu".
"Saya doakan awak dapat dean's list semester nie".

"Awak tolong doakan saya ya..",
pinta A. "Awak jangan risau, saya selalu doakan awak", jawab B.

Kita terbiasa dengan ucapan memujuk sebegitu. Mungkin juga bagi menzahirkan keprihatinan kita di tahap tertinggi dan supaya sahabat tidak kecewa dengan kita. Tidak ada salahnya ungkapan sebegitu kalau dirasakan ia merupakan alternatif yang mengakrabkan hubungan sesama kita secara psikologi namun di sana ada suatu keutamaan yang menautkan keakraban melalui naluri yang dianjurkan oleh baginda Nabi S.A.W..

Sabda Nabi S.A.W :-
"Doa seorang muslim bagi saudaranya dengan cara zahrul ghaib adalah mustajab, di sisinya seorang malaikat yang mewakilinya, tatkala dia mendoakan saudaranya dengan suatu kebaikan, berkatalah malaikat tersebut: "Amin, bagimu juga sepertinya",".
(Riwayat Muslim)

Doa zahrul ghaib ialah mendoakan sesuatu yang baik tanpa pengetahuan orang yang didoakan atau menyembunyikan doa yang baik dari pengetahuan orang yang didoakan. Dalam ertikata mudah, sahabat kita tidak mengetahui bahawa kita sedang, sentiasa atau telah mendoakan untuk kebaikannya. Doa jenis ini merupakan salah satu doa yang mustajab (diperkenan Allah).

Mengetahui tanpa melalui sendiri pengalaman berkaitan kurang memberikan kesan. Mengetahui sesuatu disusuri pengalaman sebenar memberikan kesan yang berbekas.

Sebuah kisah yang diceritakan oleh seorang sahabat. Beberapa tahun dahulu, ketika dia dilemparkan Allah di bumi berkah- Misr-, ditempatkan serumah dengan seorang senior sekolah lama yang sudah 6 tahun di sana. Beliau merupakan seorang yang sangat bersemangat dalam hal agama namun dikurniakan kesederhanaan dalam kebolehan akademik. Diakui, walaupun pakar motivasi sering mengatakan yang membezakan kita hanya usaha, akal adalah sama. Namun hakikat sebenar yang tidak dinafikan akal kurniaan Allah pada setiap individu adalah tidak sama. Keadaan itulah yang menyebabkan kembaranya di bumi berkah berlanjutan agak panjang.

Beliau seorang yang baik hati dan bersifat mendidik. Kecekalan, istiqamah dan kegigihannya mengagumkan namun rezki untuk dia menghabiskan pengajian belum di hujung jalan. Tika itu beliau baru menaiki tahun 4. Mereka tinggal bersama menyebabkan pelbagai perkara dikongsi bersama seperti kekangan kewangan dan harapan menggunung orang tuanya untuk dia cepat menghabiskan pengajian. Perihal-perihal sebegitu amat menyentuh hati sang sahabat dan dititipkan doa tanpa pengetahuannya sedikit pun dengan pernyataan namanya disusuli frasa "berjaya dengan cemerlang pada tahun ini" berkekalan sehingga solat subuh pagi terakhir sebelum keluarnya keputusan peperiksaan akhir.

Dia berjaya memperolehi jayyid dan sofi (tanpa ada suatu subjek pun yang gagal). Pertama kali jayyid dan sofi amat mengejutkannya dan dalam nada yang insaf dia mengakui pasti ada rakan-rakan yang mendoakan keajaiban untuk dirinya.

Walaubagaimanapun, bukanlah menjadi suatu kesalahan meminta orang lain mendoakan kita bahkan amat digalakkan oleh baginda Nabi S.A.W. sebagai tanda rendah diri dan mengakui kelemahan. Namun sebagai orang yang dipinta mendoakan, perlu kita meraikannya dengan tutur yang berlapik agar tidak menzahirkan doa kita untuknya. Sekadar sebagai contoh: "InsyaAllah awak akan berjaya", "InsyaAllah moga Allah permudahkan awak" dan seumpamanya.

Samada berdoa secara zahril ghaib atau tidak ia adalah pilihan bukanlah suatu kewajipan. Satu point terakhir dari kalam Baginda S.A.W. di atas, seandainya kita menitikan doa secara zahril ghaib..dijanjikan oleh Nabi S.A.W. kita juga akan akan memperoleh seumpamanya sebagai satu reward atas suatu keikhlasan.

p/s: Sekadar satu perkongsian pengalaman dan amat pasti dia tidak akan membaca blog ini kerana tiada connection maya dengannya samada fb atau ym atau dengan rakan-rakan terdekatnya yang lain.




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...