Sila masuk

Monday, March 22, 2010

Tujuan perkahwinan Nabi S.A.W.

Beberapa minggu lalu kita dikejutkan dengan laporan perkahwinan seorang lelaki berumur dengan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun. Mengejutkan bukan?? Seperti dilaporkan, dakwaan lelaki itu tindakan sedemikian adalah untuk menuruti sunnah.
"Kelu, tergamak seseorang mendakwa tindakannya itu adalah sebagai sunnah".
"Persis bagaikan orang 'lapar' sunnah, apakah sunnah-sunnah lain yang jumlahnya ialah ribuan sudah dilakukan kesemuanya".

Sekarang apa yang perlu kita jawab?? Nabi S.A.W. sendiri mengahwini Saidatina Aisyah ketika umurnya baru berusia 10 tahun. Sememangnya terdapat pelbagai cercaan oleh orientalis barat terhadap Baginda S.A.W. seperti gila seks dan gilakan kanak-kanak.

Aku sendiri sememangnya tercari-cari hujah akademik yang patut dijawab terhadap soalan sedemikian walaupun isu itu bukanlah isu baru. Ingat-ingat tapi macam tak ingat. Namun apa yang berlaku di Kelantan itu menggerakkan aku untuk mencari satu hujah akademik yang betul-betul meyakinkan untuk dijawab bila diajukan soalan sedemikian.

Nabi S.A.W. mengahwini 11 orang wanita. Kesemua perkahwinan ini bukanlah atas kehendak atau keinginan peribadi Nabi S.A.W. , namun kesemua perkahwinan ini adalah kerana ia merupakan perintah Allah S.W.T.. Namun apakah rahsia dan hikmah atau tujuan perkahwinan Nabi S.A.W. dengan kesebelas wanita-wanita ini? Secara umumnya, perkahwinan-perkahwinan ini adalah demi kepentingan gerakan dakwah yang dipacu oleh Nabi S.A.W. untuk menegakkan agama Allah S.W.T..

Perlu dijelaskan disini, dalam 11 orang isteri Baginda S.A.W. itu hanya Aisyah seorang yang anak dara. 10 orang yang lain ialah merupakan janda-janda. Bahkan terdapat di kalangan mereka yang sudah monopaus iaitu Ummu Saudah. Secara relatifnya, apakah tujuan mengahwini seorang yang sudah putus haid jika matlamat perkahwinan ialah untuk memenuhi tuntutan batin sedangkan sudah pasti ia tidak akan dipenuhi. Ternyata perkahwinan itu mempunyai sesuatu tujuan yang menjadi perintah Allah S.W.T..

Ummu Saudah isteri Baginda S.A.W. yang kedua selepas Saidatina Khadijah. Perkahwinan yang berlangsung sebelum peristiwa hijrah ini adalah disebabkan kerana Ummu Saudah kehilangan tempat bergantung selepas kematian suaminya. Hidup tanpa suami tersayang dalam lingkaran saudara mara yang masih musyrik menjadi cabaran yang besar bagi Ummu Saudah. Setiap hari ajakan-ajakan agar kembali kepada anutan asal bertandang ke telinganya. Sesudah menjadi pengetahuan Rasulullah S.A.W., baginda menghantar Khaulah binti Hakim untuk melamarnya bagi pihak baginda. Perkahwinan Baginda S.A.W. dengan Ummu Saudah adalah demi menjaga iman dan akidahnya.

Perdebatan hangat oleh orientalis barat adalah mengenai perkahwinan Rasulullah S.A.W. dengan Saidatina Aisyah. Bapanya Saidina Abu Bakar menerima lamaran untuk puterinya itu untuk Rasulullah S.A.W. ketika usianya ialah 6 tahun. Ia adalah sebelum peristiwa hijrah waktu yang sama ketika baginda melamar untuk Ummu Saudah. Namun pernikahan mereka ialah ketika usia Aisyah ialah 9 tahun, ketika peristiwa hijrah sudah berlaku dalam ertikata lain pernikahan tersebut berlaku di Madinah. Persoalannya mengapa Aisyah yang baru berusia 9 tahun?

Dua jawapan yang dititipkan disini dikira menjadi suatu jawapan yang amat menyakinkan insyaAllah.

Pertamanya ialah kerana demi memperkukuh erat hubungan baginda dengan sahabat yang utama yang paling dipercayai iaitu Saidina Abu Bakar. Perlu diingatkan, dalam sesuatu gerakan atau perjuangan kepercayaan ialah suatu asas utama. Abu Bakar merupakan orang yang paling dipercayai baginda. Beliaulah yang menjadi teman saat sukar dan genting penghijrahan dari Mekah ke Madinah. Tiada rahsia antara mereka berdua. Bahkan Abu Bakar jualah yang menggantikan Baginda S.A.W. mengimami solat ketika baginda sakit. Bahkan Abu Bakar jualah yang dilantik meneruskan legasi Rasulullah selepas kewafatan baginda. Semua ini adalah disebabkan keakraban dan saling percaya-mempercayai sesama mereka terutamanya selepas terjalinnya hubungan kekeluargaan antara mereka. Keadaan yang sama juga terjadi bagi Khalifah Islam yang kedua, ketiga dan keempat. Umar mengahwini anaknya Hafsah dengan baginda S.A.W., Saidina Usman mengahwini dua puteri Rasulullah manakala Saidina Ali juga mengahwini puteri Rasulullah S.A.W.

Keduanya, perkahwinan dengan Saidatina Aisyah adalah demi satu legasi keilmuan. Umum mengetahui bahawa Saidatina Aisyah telah mewarisi dari Nabi S.A.W. satu lautan ilmu yang tidak terdapat pada orang lain. Walaupun beliau ialah wanita, sahabat-sahabat lelaki tidak kekok untuk bertanya tentang perihal agama dari beliau sepertimana diriwayatkan dari Abu Musa al-Asy`ari :

"Alangkah rumitnya kami sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. sesuatu perkara, maka kami bertanya Aisyah melainkan kami dapati darinya suatu ilmu".
Dari Masruq beliau berkata:

" Kami bersumpah dengan nama Allah, sesungguhnya kami melihat sahabat-sahabat besar Rasulullah S.A.W. bertanyakan Aisyah tentang faraid".
Saidatina Aisyah meninggal dunia 40 tahun selepas kewafatan Nabi S.A.W.. Usianya yang remaja ketika berkahwin dengan Rasulullah S.A.W. merupakan tempoh umur yang sangat ideal untuk seseorang mempelajari atau merakamkan sesuatu dengan akal yang segar dan kemudianya menjadi penyelesai sesuatu masalah pula selepas kewafatan Rasulullah S.A.W..Sekiranya semua isteri-isteri baginda seusia baginda atau tua dari baginda, sudah pasti legasi keilmuan tidak berlaku dengan sempurna. Tambahan pula terdapat isu-isu "dalam selimut" yang hanya diketahui oleh Aisyah dan isteri-isteri Baginda S.A.W..Beliaulah rujukan para sahabat besar.
Ternyata perkahwinan Baginda S.A.W. mempunyai tujuan tertentu demi khidmat terhadap penegakkan syariat Allah. Amatlah tidak wajar seseorang beralasankan sunnah dengan mengahwini kanak-kanak kerana tiada apa kelebihan dirinya untuk kanak-kanak tersebut mewarisi darinya.
p/s: Antara contoh orang lapar sunnah ialah beralasankan Nabi mengamalkan poligami untuk dia juga berkahwin lagi. Nak amalkan sunnah?? Banyak lagi sunnah-sunnah lain..dah habis amalkan ke?


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...