Sila masuk

Wednesday, April 7, 2010

Hidup hendaklah memberi


Rasulullah S.A.W. bersabda:"Orang-orang yang berkasih sayang..ar-Rahman tabaraka wa taala akan mengasihi mereka, kasihilah apa-apa yang di atas muka bumi nescaya mereka yang di langit akan mengasihi kamu".
(Hadis hasan riwayat Ahmad)
Tiba-tiba hadis ini menarik pandanganku tatkala membelek-belek buku kecil Pilihan Hadis-hadis Mulia oleh Habib Umar bin Muhammad bin Salim pagi tadi sejurus tiba di office. Selalu terdengar ungkapan hadis ini di corong-corong radio.

Manusia begitu lesu dalam melakukan kebaikan. Pilihan melakukan kebaikan sering terbatas dengan beberapa kepentingan peribadi. Kebaikan yang kecil diaanggap tidak penting dan tumpuan lebih kepada kebaikan yang bersifat gempak dan mendapat liputan. Saat itu nilaian emas di sisi Tuhan terus bertukar menjadi abu-abu yang berterbangan.


Kebaikan-kebaikan kecil seperti senyuman, bersapa, tutur yang menyenangkan diabaikan. Kita lebih mengutamakan emosi apa kita hari ini lantas muka mencerminkan segalanya. Kita lebih mengutamakan kedudukan dan jawatan, aku atau engkaukah yang lebih tinggi, lantas budi dalam tutur tidak diambil peduli membekaskan amarah pada yang 'kecil'. Walhal tatkala jasad dikandung tanah, apa-apa lagi tidak berguna melainkan amal dan kebajikan.

Jika adanya musibah di jalanan, pasti terpacul dahulu dari mulut cinakah dia,melayukah dia atau indiakah dia walhal tuntutan untuk membantu tidak langsung dibataskan oleh Baginda Nabi S.A.W. sama ada batasan agama atau bangsa.

Kehidupan orang yang kedekut melakukan kebaikan adalah sempit dan sesak manakala mereka yang pemurah dan baik hati terbayang ombak-ombak kepuasan pada raut wajah mereka.Kerana itulah kita sering melihat kepuasan pada riak wajah orang-orang yang secara sukarela membuka rumah-rumah kebajikan dan mengutip kucing-kucing buangan. Hati mereka dirasakan dipenuhi sesuatu yang sukar ditakrifkan. Yang pasti ia adalah kepuasan.

Makhluk-makhluk dilangit tidak pernah lekang mendoakan mereka sebagai imbalan memperhambakan kehidupan untuk memberi.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...