Sila masuk

Wednesday, March 3, 2010

Satu nikmat pada suatu malam


Haba panas bermaharajalela menguasai seluruh ruang rumah. Kipas dengan kelajuan di tahap 5 pun tidak mampu mengusirnya. Liat bagaikan melekat dengan ruang-ruang udara yang berkisar. Malam-malam sepanjang Februari di kediaman di sepanjang pesisir pantai Macallum bukan lagi menyamankan bahkan memeritkan. Manaka tidak, seusai matahari berlabuh, haba meneruskan legasi penguasaan matahari. Sehinggakan titisan embun di luaran tidak berpengaruh menempiaskan dingin ke dalam. Malam di Pulau Pinang bagaikan kemarau embun.

Namun semalam..

"Penatnya aku, nasib baiklah baju sudah iron", mengeluh mengenangkan bebanan kerja di pejabat selepas 2 minggu tidak berada di pejabat.

Jam menunjukkan 12.15 malam sejurus aku offlinekan facebook dan ym. Dilanda kepenatan yang amat sangat menyebabkan aku diruntun untuk melabuhkan kelopak mata awal. Aku terus hanyut. Tidur dalam haba ditemani angin dari kipas yang berbahang.

"Sssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssss...!!!", bunyi bising kedengaran.

Sayup-sayup kedengaran housemate menjerit-jeritkan alhamdulillah berkali-kali.

"Ahhhhhhhhhh..hujan..!!! lebat...!!!", aku terjaga dan bingkas bangun untuk menikmati pandangan hujan menimpa bumi selepas beberapa lama ia kegersangan.

"Alhamdulillah..", terbit kalimat pujian mensyukuri atas nikmat itu selepas beberapa lama tidak menikmatinya.

Hujan merupakan suatu aturan yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T. tatkala mengaturkan perjalanan bumi. kadang-kadang ada ribut, ada panas, ada kemarau dan ada hujan. Semuanya ini ialah aturan Allah (sunnatullah) bagi menyempurnakan kehidupan hamba dan makhluk ciptaannya. Bagi sesetengah orang, tempat dan keadaan, kejadian hujan kadang-kadang diingini dan kadang-kadang tidak.

Namun apakah pendirian al-Quran dalam hal ini. Apakah hujan itu dikira sebagai musibah atau nikmat? Jika musibah apa ciri-cirinya? Jika nikmat pula apa ciri-cirinya?

Dalam Bahada Arab, al-mator (dengan kata dasarnya ialah mim to' dan ro') ialah hujan. Terdapat sekitar sedozen tempat dalam al-Quran menggunakaan perkataan dari kata dasar ini.

Antaranya ketika Allah membicarakan perihal balasan bagi kaum Lut:


وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِمْ مَطَرًا فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُجْرِمِيْنَ

Dan kami telah hujankan mereka dengan hujan batu, maka lihatlah bagaimanakah balasan bagi orang-orang yang melakukan dosa.
Al-'Araf ayat 83


Antaralain perihal perkampungan kaum Lut yang ditimpa musibah:

وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهَا حِجَارَةً مِنْ سِجِّيْلٍ مَنْضُوْضٍ

Dan Kami telah hujankan ke atas perkampungan itu dengan batu-batu yang berlapis-lapis.
Hud ayat 82

Antara lain perihal kedegilan kaum musyrikin Mekah:

وَإِذْ قَالُوا اللَّهُمَّ إِنْ كَانَ مِنْ هَذَا هُوَا الْحَقُّ مِنْ عِنْدِكَ فَأَمْطِرْ عَلَيْنَا حِجَارَةً مِنَ السَّمَاءِ

أَوِ ائْتِنَا بِعَذَابٍ أَلِيْمٍ

Dan ketika mereka (kaum musyrikin) berkata: Ya Allah sekiranya apa yang dibawa oleh Muhammad ini adalah benar darimu, hujanilah kami dengan batu-batu dari langit atau datangkan kami dengan azab yang pedih.
Al'Anfal ayat 32

Ironinya kesemua sedozen ayan yang menggunakan perkataan mim to' dan ro' itu mengisyaratkan kepada hujan-hujan yang berbentuk seksaan, ancaman dan balasan daripada Allah kepada kaum-kaum terdahulu yang ingkar dan ia bukan ayat yang berbentuk nikmat, berkat dan rahmat.


Dalam merujuk kepada hujan yang bersifat rahmat, Allah S.W.T. menggunakan perkataan air iaitu mim alif dan hamzah ( ماء) yang digabungkan dengan perkataan turun. Seperti dalam firman Allah:

اَلَّذِيْ جَعَلَ لَكُمُ الأًرْضَ فِرَاشًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِزْقًا لَكُمْ

Dia yang menjadikan untuk kamu bumi sebagai hamparan dan langit sebagai binaan dan langit sebagai binaan dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, maka Dia mengeluarkan darinya tumbuh-tumbuhan sebagai rezki untuk kamu.
Al-Baqarah ayat 22


وَهُوَ الَّذِيْ أَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجْنَا بِهِ نَبَاتَ كُلِّ شَيْئ

Dialah yang telah menurunkan air (hujan) dari langit maka Kami keluarkan tumbuh-tumbuhan yang pelbagai.
Al-An'am ayat 99


إِذْ يُغَشِّيْكُمُ النُّعَاسَ أَمَنَةً مِنْهُ وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُمُ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً لِيُطهِّرُكُمْ بِهِ

Ketika Dia menyelubungi kamu dengan mengantuk untuk merehatkan kamu dengan aman dan menurunkan daripada langit air (hujan) agar kamu dapat menyucikan diri dengannya.
Al-Anfal ayat 11

Terdapat puluhan ayat yang kesemuanya menggunakan perkataan air bagi merujuk kepada kejadian hujan tanpa ada satu pun yang menggunakan perkataan hujan itu sendiri bagi merujuk kepada kejadian hujan yang bersifat nikmat, rahmat dan berkat. Ta'bir disebalik hikmah kebijaksanaan Allah itu ialah kerana hujan secara umumnya merujuk kepada kepelbagaian jenis kejadian hujan seperti hujan batu, hujan panas, hujan yang membawa angin ribut dan seumpamanya. Namun penggunaan kalimah menurunkan air dari langit sebagai ta'biran hujan adalah untuk memcerminkan tiadanya andaian lain melainkan hujan yang mengembirakan, menenangkan dan mendamaikan kerana air itu sendiri pada zatnya merupakan suatu yang mendamaikan dan mendinginkan.

Bagiku, turunnya hujan malam semalam selepas beberapa lama diselubungi hawa panas merupakan satu nikmat yang amat berharga yang mana akhirnya ia dapat melampiaskan kedinginan malam ke dalam 1-11-17 Desa Pinang 7, Jelutong.


p/s: Alhamdulillah semalam dapt tidur dengan nyaman sekali :-)



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...