Sila masuk

Friday, January 2, 2009

Keresahan kematian mengejut...

Jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi hari kedua 2009. Mataku masih tidak dapat melelapkan mata. Sudah satu jam setengah berpusing ke kiri dan ke kanan, entah berapa darjah pusingan-pusingan itu namun sang mata belum lagi mahu menggelapkan pandangan. Mungkin kerana siangnya sudah puas ia bergelap, lalu terlalu awal untuk dia berehat kembali. Tetapi aku perlu tidur awal kerana keesokannya aku perlu pergi ke sekolah kerana membuat persiapan untuk penggal persekolahan baru. 8.30 pagi dikehendaki semua berada di sana bermakna 7.30 pagi aku sudah bertolak dan bermakna juga sebelum 6.30 pagi juga aku terpaksa bangun. Iron baju, memanaskan enjin kereta dan sarapan di warung sahaja mengambil masa 1 jam. Nak iron awal tapi malas.

Sedang aku mengelamun, tiba-tiba..!! satu rasa yang tak pernah dirasai mengejutkan hati dan perasaanku. Langsung dengan segera terus ku catatkan dalam handphoneku nilai hutang dan kepada siapa aku berhutang yang belum dilangsaikan dengan harapan sekiranya keesokan harinya jika aku sedar dan sudah berada di alam lain, akan ada sesiapa yang menemui catitanku itu. Sayup-sayup aku merasai penyesalan yang teramat sangat, amalanku tergantung tidak diangkat kepada Tuhan kerana hutang yang tidak dilangsaikan walhal tiada lagi perantara untuk aku memberitahu mereka yang berada di atas muka bumi.

Terus aku merasai ketakutan dan keresahan yang amat sangat sekiranya aku tidak lagi dapat menyedup udara pagi hari kedua 2009. "Ya Allah..menakutkan..aku belum bersedia..dosa-dosa lalu pun belum disesali sepenuhnya..permohonan keampunanku terlalu sedikit..aku tidak mahu mati dalam keadaan mengejut", dititipkan dalam hasrat berdoa kepada Yang Maha Memati dan Menghidupkan. Resah dan gelisah.

Lalu teringat semasa di Kusza, Ustazah Syarifah Hamadiah pernah memberiku doa agar Allah tidak mematikan kita dengan mengejut kerana kebiasaannya orang-orang soleh kematian mereka bukan dengan cara mengejut. Mereka diberikan tempoh sakit beberapa ketika sebelum dimatikan kerana ketika sakit itulah mereka sempat bertaubat dan berbanyak memohon keampunan dari Allah. Puas direfresh..namun matan doa tersebut tidak juga aku ingat. Kalau sahaja aku ingat..mahu sahaja dibacanya beratus-ratus kali sebelum terlelap agar fajar yang menyinsing keesokan hari masih dapat ku nikmati. Matan doa tersebut tidak juga muncul dalam kepalaku. Lalu dionkan kembali komputer meja untuk mencarinya di internet. Namun hampa kerana yang ku temui adalah satu doa yang disandarkan kepada Nabi tetapi batil dan palsu. Rekaan orang yang tidak bertanggungjawab. Doa yang aku maksudkan itu tidak juga ku temui. Seingat aku ia adalah terlalu ringkas mengandungi sekitar 5 perkataan sahaja.

Hampir 1 jam mencarinya di internet namun hampa jua yang datang. Dioffkan komputer meja memandangkan aku mesti juga tidur agar keesokan harinya aku tidak kelesuan. Satu ketika aku mengambil keputusan untuk tidak mahu tidur. Takut punya pasal. Namun itu bukan jalan terbaik kerana kalau ajal..tiada jalan untuk lari darinya.

Akhirnya aku hanyut selepas mengelumitkan beberapa doa lain dan penyaksian Allah sebagai Tuhanku serta Muhammad sebagai pesuruh-Nya dengan penuh kesungguhan.

"Zzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzz......................".

"Bayang sesuatu..!! Ah..Jaid rupanya..", getus hatiku separuh sedar. Dia seperti biasa memasuki bilikku untuk iron baju. Rupa-rupanya kegelisahan semalam sudah menyelimuti hatiku sehingga terbawa-bawa rasa sebegitu. Melihat jam di handhone menunjukkan pukul 6.27 pagi. "Alhamdulillahillazi ahyaa na wa amaatana wa ilaihin nusyur", ku titipkannya selepas terlalu lama aku cuai untuk bersyukur dengan nikmat kehidupan selepas tidur.

Tatkala memandu selepas menjamah sarapan di warung Kak Ros satu-satunya warung melayu di kawasan Bukit Teratai, fikiranku menerawang memikirkan apa yang terjadi semalam. Tidak pernah ku rasa begini. Teringat beberapa orang-orang baik yang ku kenali yang kematian mereka adalah selepas beberapa ketika jatuh sakit. Tuan Guru Haji Omar Zuhdi pengasas Pondok Lanai pondok tersohor di Daerah Baling, jatuh sakit selepas menjalani pembedahan mata. Kemudian meninggal dunia. Ustaz Saleh Hj Ahmad, seorang ustaz di kampungku yang mana taburan ilmunya bermula semenjak jalan-jalan utama di Daerah Baling masih lagi belum berturap juga meninggal dunia selepas berbulan-bulan jatuh sakit. Ustaz Fadhil Nor pun kematiannya selepas jatuh sakit. Nabi Muhammad pun..!!! wafatnya adalah selepas jatuh sakit selama satu bulan.

Nyatalah, kematian dengan sebab jatuh sakit adalah merupakan anugerah Allah kepada orang-orang yang soleh kerana tatkala sakit tenat mereka menggunakan peluang itu untuk banyak beristighfar kepada Allah S.W.T. Namun orang-orang yang fasik mereka mengabaikan peluang itu untuk banyak beristighfar lalu kesudahan kematian mereka hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui.

p/s: Semoga kesudahan ajal kita bukan bukan dengan mengejut..Aminnn Ya Rabb...

2 comments:

oozing87 said...

post y baek skali
teruskan menulis=)

tayartubeless said...

thank you..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...