Sila masuk

Monday, August 22, 2011

Ramadhan kali ini..'si miskin' yang untung atau rugi?


Dari Abu Hurairah r.a. ia berkata; Rasulullah s.a.w. bersabda: "Celakalah seseorang, yang apabila aku disebut-sebut di depannya dan ia tidak mengucapkan selawat kepadaku, dan celakalah seseorang yang apabila bulan Ramadhan menemuinya kemudian berlalu sebelum dia mendapatkan keampunan, dan celakalah seseorang yang apabila kedua orang tuanya telah berusia lanjut namun kedua orangtuanya tidak dapat memasukkannya ke dalam syurga (kerana kebaktiannya)."

(Riwayat Tirmidzi : hadis 3468)

Adakah kita akan tergolong di kalangan orang yang rugi? Ramadhan datang dengan rahmat yang sangat luas. Tawaran ampunan Tuhan berada di setiap saat Ramadhan. Tiada yang lebih hebat dari Tuhan melainkan tawaran harga runtuh untuk mengampunkan dosa hamba-hambanya. Tawaran hebat ini berlangsung hanya setahun sekali.

Sombong bukan kita, tatkala Allah Sang Tuhan bermurah sifatnya dan wasi` rahmatnya melebar luaskan rahmatnya kepada kita sang hamba untuk mengampunkan tiap dosa, namun kita sang hamba mengambil sifat tuhan untuk menyombongkan diri tidak mengendahkan tawaran ampunan tersebut, seolah-olah kita pula tuhan merasakan diri terkaya dari sesuatu sedang hanya Allah yang terkaya dan tidak berhajat kepada sesuatu. Kita sang hambalah yang sehinanya berhajat kepada sesuatu iaitu berhajat dan memerlukan Dia. Tiada usaha luar biasa dilakukan untuk mendapatkan ampunan Tuhan.


Sedangkan Nabi s.a.w. yang sudah memperoleh kemuliaan di sisi Allah pun beristighfar seratus kali sehari, inikan pula kita, istighfar tidak menjadi rutin sang lidah berzikir. Kalau ada pun sekadar menjadi adat selepas solat. Makna dan tuntutan fahamnya tidak diambil kisah. Soalnya..bagaimanakah dosa setimbun gunung hendak diampunkan Tuhan?

Perbanyakkanlah istighfar dengan menyertakan faham tiap katanya dan mohonlah keampunan dari Tuhan dengan mengenal dosa yang telah dilakukan pada baki-baki hari bulan hebat ini..moga-moga kita tidak tergolong di kalangan orang 'miskin' yang rugi.


Monday, August 15, 2011

Durja

Gambar hiasan

Menanggisi kelaku alpa
menghitung kira akibat alpa
merenung diri apa laba
tiada laba melainkan sengsara bahkan bencana
hati dara dan teruna jadi seksa

Hati mulus si dara
dirobek kelaku teruna durjana
dihiris halus tiada perimanusia
dihempasa badai..dilambung ombak..dipukul angin buatan teruna buta

Badai berlabuh..ombak berdesir..angin mengalun
pantai terhakis dalam..pepohon mematah-matah..
dedaun rumpai meranap..daratan mengukur padang jarak
teruna melutut..menanggisi sesal..meratapi bahana kelaku sial
merayu 'alam' berjasa memberinya waktu
membina kembali 'alam' yang hampir hilang
kerana itulah satu-satunya 'alam' yang dia punyai.

Thursday, August 11, 2011

Selubung hati


Hati diselubung selimut kesal

Penyedar alpa menyerapi

Zikir pengampunan membasahi

Meruntuni kelaku yang tanpa tuju

Menguraikan titis jernih

Atas kelaku yang menggores hati suci

Hati suci lembut yang mengasihi

Hati suci lembut yang menyayangi

Hati suci lembut yang sesuci titis-titis embun

Hati suci lembut selembut baldu syurga

Tidak melantuni keras walau hati lara

Tidak menembak nista walau hati luka

Tidak menitip derhaka sekalipun hati sengsara

Monday, January 3, 2011

"Tertawa"


Selepas lulus daripada institut pengajian tinggi, seorang pemuda mengalami kesukaran untuk mendapatkan kerja yang bersesuaian dengan kelulusannya.

Pemuda itu tiada pilihan melainkan memohon apa sahaja pekerjaan di merata-rata tempat. Akhirnya dia diterima bekerja di sebuah zoo. Walaupun tidak begitu sesuai dengan kelayakannya, namun oleh kerana tubuhnya yang tegap, pengurus zoo tersebut bercadang memberinya satu tugasan.

"Saudara tahu di sini ada beberapa jenis haiwan yang popular, antaranya ialah seekor gorila. Sayang sekali, gorila tersebut yang kami datangkan dari Afrika beberapa tahun dahulu telah mati semalam. Sekiranya kami berikan kepada saudara pakaian khas, mahukan saudara meniru tingkah laku gorila itu untuk beberapa hari?", tanya pengurus zoo tersebut.

Oleh kerana terdesak dengan keperluan hidup yang menghimpit, pemuda itu bersetuju menyamar sebagai gorila. Sebelum memulakan tugas barunya itu, die terlebih dahulu diajar mengenai tingkah laku gorila supaya kelakuannya sama dengan tingkah laku gorila yang sebenar.

Apabila tiba hari minggu, maka ramailah pengunjung yang berkumpul mengelilingi kandang gorila bagi melihat gorila yang popular tersebut. Tidak lama kemudian, keluarlah 'gorila' yang dinanti-nantikan. Pengunjung yang tidak tahu cerita sebenarnya, terpegun melihat gorila yang gagah dan aksinya itu.

Gorila samaran itu mula berjalan-jalan mengelilingi kandangnya sambil melompat ke sana ke mari. Mereka kagum melihat tingkah laku "gorila" yang cerdas itu. Oleh kerana terlalu asyik berjalan-jalan dan melompat-lompat, si 'gorila' tidak menghiraukan pagar penghadang di antara kandangnya dan kandang singa di sebelahnya. 'Gorila' itu lalu terjerumus masuk ke dalam kandang singa itu.

Melihat seekor 'gorila' masuk ke kandangnya, si singa terkejut lalu mendekati 'gorila'. Ini sudah tentu membuatkan gorila samaran itu menjadi begitu takut. Dia berfikir dia pasti mati diterkam singa, kerana singa tentu boleh menghidu bau manusia di sebalik baju gorila yang dipakainya.

Sementara itu, pengunjung-pengunjung yang sejak dari tadi memerhatikan drama itu, mula bergerak ke kandang singa bagi melihat pergelutan yang bakal terjadi di antara singa dan gorila itu. 'Gorila' berasa semakin takut melihat singa yang semakin menghampirinya dan mula menghidu-hidu dirinya. Apakah dia perlu berteriak minta tolong dan melarikan diri daripada kandang itu. Biarlah pengunjung semua berasa kecewa apabila tahu yang dia hanyalah gorila samaran. Tetapi, dia juga tidak mahu mengecewakan pengurus zoo itu, yang memberikannya kerja dan gaji. Namun, demi keselamatan diri, masa depan dan nyawanya, dia mengambil keputusan untuk menjerit minta tolong.

Pada masa yang sama, singa yang sedang memerhatikan gerak geri itu mula kelihatan panik. Alangkah terkejutnya singa itu apabila gorila tiba-tiba menjerit. Jeritan sayup gorila benar-benar membuatkan si raja hutan terperanjat dan juga marah. Dengan pantas, singa itu menerkam gorila dan dengan mudah gorila itu dapat ditumbangkan oleh sang singa. Ketika berada dalam keadaan inilah, mulut sang singa mendekati telinga gorila. Dengan suara perlahan, sang singa berkata, " Diamlah bodoh..!! Kamu nak diberhentikan kerja kah?!"

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~//////~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Cerita di atas membuatkan kita ketawa ataupun tersenyum keseorangan atau juga membuatkan kita sekadar mengerutkan dahi. Kita boleh membuat pilihan sama ada hendak senyum, ketawa atau sekadar mengerutkan dahi mengikut pilihan hati kita sendiri. Tetapi, sekiranya kita memilih untuk ketawa, maka sebenarnya kita sedang meneutralkan ketegangan yang sedang berlaku.

Pepatah kata bijak pandai ada berbunyi, "Sekiranya masih boleh ketawa dalam sehari, menunjukkan kita masih hidup. Sekiranya kita ketawa dua kali sehari, bererti masalah dapat di atasi. Manakala, sekiranya kita ketawa tiga kali sehari, ia menunjukkan harapan dan optimisme, sekiranya empat kali sehari memberi isyarat pada kemampuan bagi mengatasi masalah dengan baik. Akhirnya, sekiranya kita ketawa lima kali sehari, maka itu membuatkan kita lebih panjang umur".

Di antara segala mahkluk ciptaan Tuhan, hanya manusia yang diberi anugerah untuk ketawa. Tetapi sekiranya diamati dengan lebih mendalam, ternyata ada ramai manusia yang begitu sukar untuk ketawa, namun ada juga manusia yang ketawa tanpa sebab.

Ketawa sebenarnya menunjukkan kemampuan psikologi seseorang bagi menyeimbangkan bebanan-bebanan yang ada. Ketawa juga menunjukkan optimisme dan perencanaan kesihatan mental yang berpatutan. Malah Herm Albright mengatakan "Ketawa 100 kali sehari menghasilkan latihan otot sama dengan 10 minit mendayung".

Bagi sesorang pemimpin, ketawa adalah salah satu seni dalam kepimpinan. Pat Williams berkata "Seorang pemimpin yang tidak ceria, sentiasa bermasam muka, kaku dan tidak mempunyai daya humor adalah seorang pemimpin yang membosankan"

Dalam Islam pula, kita selalu terbiasa dengan ungkapan hadis "Senyum itu sedekah". Malahan ia diumpamakan seperti sedekah kerana ia mampu menyenangkan hati orang yang menerima pemberian sedekah.

Dalam satu hadis lain Nabi S.A.W. bersabda

" Janganlah kamu membanyakkan ketawa. Sesungguhnya banyak ketawa itu mematikan hati"
(Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Penting kita untuk mengambil jalan tengah di antara kelebihan dan keburukan ketawa dengan menyederhanakannya berbanding dengan tidak langsung mengukirkan senyuman atau menzahirkan gelak tawa.

Ketawa dan senyum adalah pilihan hidup. Masalah tidak selesai sekiranya kita diliputi dengan kemurungan dan penyesalan berterusan. Hati yang gembira dan kemampuan untuk ketawa dan senyum akan membuka cakerawala penyelesaian masalah yang ada dan mengurangkan tekanan yang timbul. Justeru..ketawalah..senyumlah..supaya fizikal dan mental kita kekal berada dalah keadaan sihat.

p/s: Dipetik, diolah dan ditokok tambah dari buku Setengah Berisi Setengah Kosong terbitan PTS Millennia Sdn. Bhd.

Tuesday, November 23, 2010

Larian Jambatan..it was awesome..!! :D


Pertama kali menyertai Larian Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang pada pagi Ahad lalu adalah suatu pengalaman yang amat menyeronokkan. Ia telah diadakan pada saban tahun semenjak tahun 1985 sebagai salah satu booster sektor pelancongan yang telah berjaya menarik peserta dari 69 buah negara. Penyertaan kali ini adalah lebih 23 ribu orang lebih meliputi 4 kategori iaitu full marathon (41 km), half marathon (21 km), 10 km dan fun run (10 km).

Penyertaan pertama kali aku kali ini adalah sekadar pada fun run. We run just for fun. :D plus menyedari tiada pengalaman dalam acara marathon ada baiknya bermula dari kategori yang terbawah. Bak kata orang..ukur baju di badan sendiri. Walau fun run...tapi bagi aku dan din...kami target untuk tamatkan larian dalam tempoh satu jam. Alhamdulillah berkat kesungguhan dan tekad walaupun mengalami kepenatan yang amat sangat di atas jambatan, aku berjaya jua menamatkan larian pada 1 jam 2 minit. Din lagi sempoi..55 minit.

InsyaAllah jika ada kesempatan..pada tahun-tahun yang akan, kami berhasrat untuk menyertainya lagi..sekadar utk mencari rekod terbaik buat diri sendiri.

Pengalaman menikmati pemandangan matahari terbit dari atas jambatan Pulau Pinang juga menarik. Namun sayang kamera tidak dibawa bersama ketika berlari memandangkan ia akan menambah beban. Sayang seribu kali sayang.

Suatu yang menarik untuk diambil perhatian ialah lebih kurang 80% peserta adalah berbangsa cina menggambarkan kesedaran mereka terhadap budaya hidup sihat adalah membanggakan berbanding bangsa Melayu dan bangsa-bangsa lain. Sama-sama kita fikirkan.

Tuesday, October 19, 2010

Hisab diri dari persepsi..

Gambar hiasan

"Biarkan apa orang nak cakap..asalkan kita rasa bahagia"
.

Kita biasa terdengar ungkapan sebegitu bila mana seseorang ingin mengabaikan pandangan orang ramai terhadap apa yang akan dilakukannya. Sesekali mungkin ia betul dan pada kali yang lain kemungkinan salah tetap ada kebarangkaliannya. Kerana pandangan orang ramai adalah persepsi. Persepsi adalah garapan didikan, persekitaran dan tabiat. Ia adalah ok pada kelompok A dan tak ok pada kelompok B.

Cuma bagi menilai persepsi mana yang ok dan yang mana tidak ok mungkin boleh dilihat pada kelompok majoriti. Majoriti yang berpendapat dan berpandangan dengan sesuatu pandangan mungkin merekalah yang betul, tepat dan ok.

"Ummatku tidak akan berkumpul di atas suatu kesalahan", satu ungkapan baginda S.A.W. yang boleh digunakan sebagai asas menilai persepsi mana yang tepat dan tidak.(Sumber hadis berkenaan tidak diingati).

Seseorang A yang menghadapi masalah yang sama dengan beberapa orang akan menimbulkan beberapa persepsi dari orang-orang tersebut terhadap si A. Persepsi itu kemungkinan pelbagai. Namun jika seseorang A menghadapi masalah dengan ramai orang pasti skop persepsi itu adalah lebih kecil dan ia mewujudkan satu pandangan sisi terhadap si A tersebut.

Oleh yang demikian, sekiranya kita menghadapi masalah dengan satu dua orang..mungkin kitalah yang betul. Namun jika kita menghadapi masalah dengan ramai orang..pasti dan sudah tentu ada sesuatu yang tak betul pada diri kita.

p/s: Semalam problem dengan seseorang yang menghadapi masalah dengan ramai orang. Soalan..adakah aku ada problem dengan orang lain jugak? insyaAllah tiada..

Hisab diri
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...