Sila masuk

Showing posts with label Diari. Show all posts
Showing posts with label Diari. Show all posts

Sunday, May 20, 2012

Ia membawaku kepadaMu..

Gambar hiasan
Tanggal hari ke-21 pada tiap-tiap bulan bermakna genap sebulan lagi aku dan isteri berkongsi hati, jiwa, perasaan, kasih sayang dan segala-galanya. Meminjam ucapan isteriku "Happy monthasary", ia adalah tanda penghargaan untuk diingati setiap bulan. 

Tiada kata yang setanding untuk diungkap bagi menggambar betapa aku amat menghargai kehadirannya. Tiada nikmat yang setara untuk digandingkan bagi menggambarkan betapa aku amat mensyukuri ikatan ini. Tiada keamanan yang pernah dirasai bagi menggambar betapa tenangnya jiwaku saat ini meskipun kini kami berjauhan. Semua ini adalah kerana ia menuju kepada suatu.

Solatku lain, nafsu nakal jantanku entah hilang ke mana, fikiranku terurus..aduh..tenangnya..kotorannya mungkin telah disuci. Wahai Allah Tuhanku..aku bersyukur ikatan ini membawaku kepadamu.

Benarlah sabda kekasihmu kepada para pemuda bahawa pernikahan itu faktor yang 'menundukkan pandangan'. Pandanganlah membuatkan seseorang terkesan dengan sesuatu. Ia pintu yang mempengaruhi minda, jiwa dan kehidupan. Bersyukur aku dengan nikmat yang membawaku kepadamu wahai Tuhan.

Syukur padamu ya Allah, ku mohon bimbinganMu selama-lamanya dalam mengemudi bahtera ini. Moga Engkau wahai Tuhan merahmati kami kerana dia terbaik buatku. 

Wednesday, May 16, 2012

Moga Allah merahmati kalian..amin..



Pagi ini, rata-rata status kemaskini rakan-rakan facebook memaparkan ucapan-ucapan hari guru. Meriah. Ada ucapan yang pendek, ada yang panjang, ada yang panjang berjela, ada yang berkongsi ucapan bergambar, ada yang berkongsi cerita guru dan berbagai lagi. Ia terus menyedarkan..menyedarkan minda sedarku siapakah guru-guru yang pernah wujud dalam hidupku selama ini. Bukan aku tidak tahu 16 Mei adalah Hari Guru tetapi ia sekadar pengetahuan yang sudah lama tidak disegarkan kembali.

Aku mula berfikir dan mengingati satu persatu individu yang telah memberi kesan dalam hidupku semenjak kecil.

Bermula di Kg. Baru Sg. Kembal, sebuah kampung baru yang hanya dihuni sekitar 10 buah rumah namun pelopornya telah memikirkan kepentingan setempat dengan menyediakan surau dan tempat belajar kanak-kanak iaitu Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti). Bermula sekitar tahun 1988 dengan lebih kurang 10 kanak-kanak, kini Pasti tersebut telah berkembang menjadi Sekolah Rendah Islam Raudhatul Muslimin yang mengandungi lebih 300 orang pelajar. Di situlah aku mula mengenal huruf roman, nombor, doa-doa dan adab-adab islami. Justeru, di situ aku memperoleh pintu kepada ilmu pengetahuan berikutnya. Masih segar dalam ingatan, saat aku mula sedar yang aku boleh membaca. Peristiwa bersama Basir anak Paklah di Kembal Luar masih kejap sebagai saksi ingatan. Jika tidak kerana jasa guru di Pasti Kembal dan guru kelas Darjah 1 Mawar SK Tembak pasti gambaran peristiwa itu tidak wujud. Mereka ialah Ustazah Mah (anak arwah Paksu Chan), Ustazah Syam anak Maklong dan Cikgu Faridah Ibrahim. Terima kasih ustazah dan cikgu.

Awal dan segala-galanya ialah guru yang mengajarku huruf-huruf al-Quran. Bermula dari huruf-huruf tunggal, berbaris, bergabung, mengeja dan batang (membaca selepas mengeja satu persatu) sehinggalah aku mampu membaca sendiri. Peritnya mengaji setiap kali lepas maghrib. Kalau bukan telinga menjadi sasaran dipulas, penyapulah akan  hinggap di mana-mana yang dapat. Guru hebat itu ialah Siti Aminah ibuku sendiri. Rutin harian setiap hari selepas Maghrib tidak pernah gagal untuk dilaksanakan. Terima kasih mak.. :)

Kemudian, guru-guru formal membaca al-Quran dan mengenal hukum-hukamnya di SK Tembak seperti Ustazah Naemah, Ustazah Tumini dan Arwah Ustaz Salleh Ahmad. Terima kasih ustaz dan ustazah moga Allah membalas jasa kalian dan mengampunimu.

Seterusnya cikgu Matematik yang tinggi, segak, namun tegas dan garang. Pipi mulus beberapa kali merasai hayutan tapak tangannya namun ia tidak didendami kerana diri sedar ia adalah akibat sesuatu. Beliau ialah Cikgu Malek. Terima kasih cikgu namun maaf cikgu kerana hasratmu mahu diri ini ke sekolah  berasrama penuh tidak dipenuhi lantaran borang yang diedarkan pun tidak diambil kerana diri ini nekad untuk ke sekolah agama.

Fasa pengajian awal berakhir dan beberapa nama telah memberi kesan dalam hidupku hingga kini moga Allah merahmati kalian.

Ketika hati sedang merindu dendam rumah yang ditinggalkan, mak dan ayah yang tiada di depan mata, pandangan mata menerobos tingkap menatap jalan raya yang kelihatan dari kelas  di tingkat 2 dek kerana homesick tinggal di sekolah asrama, namun ada satu pengubat yang amat ditunggu. Kelas Nahu. Kelibat Ustazah Husna yang berniqab, berkaca mata bulat, berjubah besar satu warna  sedang menuju ke kelas..menggirangkan aku. Manakan tidak, kehendak untuk mengetahui mengapa akhir sesuatu  kalimah arab dibaca fathah atau kasrah atau dhommah sangat membuak-buak. Beliaulah guruku yang pertama dalam Nahu. Melalui beliaulah aku mula kenal mubtada' khabar dan maf`ulum bih. Beliau terlalu baik. Kebaikan beliau  menyebabkan kelas yang terdapat lebih kurang 40 pelajar itu 'cerah'. Hanya beberapa orang sahaja yang setia mendengar. Dua tahun beliau menjadi guru Nahu.. melengkapkan asas Bahasa Arabku. Terima kasih ustazah.

Ketika di tingkatan 3, pengajian nahu sorof semakin menarik. Para pelajar didedahkan dengan kaedah i`rab yang tidak pernah dipelajari ketika di tingkatan 1 dan 2. Pengajarannya  berselang seli dengan cerita Sibawaih dan sebagainya. Suara lantang dengan slanga arab mencelikkan mata kami. Dua tahun beliau bersama..mengkayakan kami dengan khazanah ilmu beliau yang sangat banyak. Beliau yang tidak pernah penat itu bernama Zurin..Ustaz Zurin. Terima kasih ustaz.

Kemudian ketika di Tingkatan 5, guru Bahasa Arab yang paling senior mengambil giliran. Lahjah Arabnya sedap, tuturnya lemah lembut namun tegas. Aku kerap menjadi sasaran dan perhatian beliau. Beliau banyak berdiplomasi dengan kami pelajar yang meningkat naik dan beliau seorang yang sabar. Malangnya, tahun itu aku akhirkan dengan 'derhaka' kepadanya. 'Budak baru nak naik' rasa dialah betul segala-galanya. Namun selepas 2 tahun, Aidilfitri itu aku bertandang ke rumahnya, memohon maaf dan aku kembali dikurniakan jiwa yang tenang. Terima kasih Ustaz Taqiuddin atas ilmu dan mohon dihalalkan segalanya.


Selepas itu fasa pengajian tinggi bermula, semakin banyak dan mendalam pembelajaran-pembelajaran diharungi. Allah Yang Maha Kaya telah mengurniakanku guru-guru yang hebat dan merendah diri. Moga Allah memberkati mereka semua. Terima kasih Ustaz Aqli, Ustaz Lah Isa, Ustaz Man Tajwid, Ustazah Syarifah Fatimah dan guru-guruku yang lain yang tidak mampu untuk disebutkan di sini kesemuanya. Moga Allah merahmati kalian. Amin..


p/s: nak tulis semua sampai habis ngaji tak larat dah. Btw biar di mana pun diri ini berada mereka yang pernah wujud dalam hidupku sebagai guru akan tetap ku kenang dan ingati.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...