Sila masuk

Sunday, March 11, 2012

Najis meleret-leret...doa pun terkurung



Kaki melangkah memasuki pondok kecil yang sudah beberapa bulan tidak dijenguk..iltizam istiqamah keciciran..azam untuk memakmurkan kurniaan pondok kecil itu tidak kesampaian..lantas ia dibiarkan.., pintu dikuak..berkeriuk bunyi..sawang ankabut menyerkap muka melekat di rambut..hujung jemari pantas menyekanya..kaki melangkah ke dalam..kelam..dedaun tingkap ditolak..dikuak..berkeriau bunyi..cahaya suria menerpa masuk..kelihatan zarah-zarah kecil meriah berterbangan di celah laluan cahaya seakan gembira kepulangan penghuninya..,bucu pondok kecil di cari..melegakan lelah badan buat seketika..tubuh menyandar..kaki melunjur..fikiran berselerak..memerah sel otak memikirkan beberapa karenah hidup sepanjang perjalanan tadi membawaku kepada suatu ketika..

Ketika aku tinggal di Kuala Lumpur beberapa..dilamar oleh seorang kenalan atas kenalan untuk mengajar mengaji kepada anak-anaknya pada setiap pagi Sabtu. Suatu ketika di kalangan sabtu-sabtu tersebut..seusai ayat terakhir ditamatkan..si ibu menghampiri dan mengajak aku untuk berbincang seketika di sudut rumah yang agak terpencil. Perbincangan berkisar kepada kedegilan anak-anak untuk solat dan melawan cakapnya. Si ibu bagaikan sudah habis cara bagaimana untuk memahamkan anak-anaknya tentang solat dan bercakap baik. Puas petua segala petua dari khazanah kutub diamalkan, begitu juga dengan panduan pedoman dari para guru dituntut dan dipraktiskan, tidak ketinggalan dan menjadi amal ialah doa pada setiap kali solat sejak bertahun-tahun dahulu..namun usaha bertahun-tahun tidak menemui jalan. Anak-anak kekal sebegitu..tidak sebati dengan solat dan bercakap baik terhadapnya dan suami. Buntu ialah konklusi keadaan si ibu.


Baru-baru ini..perkara serupa bertamu lagi. Seorang arkitek yang secara tidak sengaja menjadi teman bualan beberapa bulan lalu di satu program di Masjid Negeri dan kami bertemu beberapa kali selepas itu..menjemputku bertandang ke rumahnya yang terletak di sebuah kawasan eksklusif di Bayan Baru. Sejurus tiba dan baru hendak melabuhkan punggung di sofa empuk..tiba-tiba sang arkitek ini tergamam kerana anak lelakinya yang keempat yang baru berusia 3 tahun setengah kelihatan basah di kelangkang seluarnya dan cecair itu meleret-leret di lantai. "Adik nak kencing kenapa tak bagi tau papa", respon ringkas sang arkitek lantas ditinggalkan aku sendirian untuk dia menguruskan anaknya dahulu.

Beberapa ketika datang pembantu rumah membawakan mop dan leretan kencing anaknya sekadar dimopkan sahaja. Kemudian perbualan kami, berkisar kepada anak-anaknya yang lelaki dan perempuan yang degil walhal pelbagai usaha dan tunjuk ajar telah diusahakan. Pasrah dengan keadaan dirinya dan isteri, dia mempersoalkan perihal doanya yang tidak diperkenankan Tuhan.


Sama seperti sang arkitek..perihal si ibu tadi menguruskan najis di dalam rumah tidak sempurna. Beberapa ketika mengajar anak-anaknya mengaji..telah menarik perhatianku bagaimana di sibu menguruskan najis kencing yang berlaku di dalam rumah. Itu belum diperhalusi saat anak kecil dan besar kencing berdiri di bilik air..memercik kencing mengenai seluar.. mengenai kaki..tidak dibasuh dan terus melangkah keluar dari bilik air lalu membawa najis ke serata rumah kaki melangkah, antara pengamatanku sepanjang berada disitu. Fikiran lantas menghubungkan keadaan alpa pengurusan najis yang tidak sempurna dengan ratusan dozen doa kepada Allah yang dikatakan tidak didengari Tuhan.

Mungkin kita pernah mendengar hadis Nabi s.aw. yang berbunyi:

" Seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh, rambutnya kusut dan berdebu lalu menadahkan kedua tangannya ke langit seraya berdoa, Ya Rabb..ya Rabb..sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya dari haram, dicukupkan dari yang haram, maka bagaimana mungkin dikabulkan doanya".
(Riwayat Muslim)

Dalam matan hadis tersebut yang lengkap..Nabi s.a.w. bersabda terlebih dahulu:

"Wahai manusia, sesungguhnya Allah Taala adalah Maha Baik, tidak menerima kecuali yang baik dan sesungguhnya Allah memerintahkan para rasul dengan firmannya: "Wahai utusan-utusanku, makan dan minumlah yang baik baik-baik dan kerjakanlan amal yang soleh" (al-Mukminum:51) dan Allah berfirman " Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari rezeki yang baik-baik yang kami telah kurniakan"al-Baqarah:172)"
(Riwayat Muslim)

Makanan yang halal..pakaian yang diperolehi dari sumber rezki yang halal adalah asas utama penerimaan doa di sisi Allah s.w.t.. Namun suatu perihal yang jarang dititik berat oleh kita ialah penyediaan ruang yang bersih dan suci di dalam rumah dan halal untuk solat. Maka pengurusan najis di rumah menjadi soal. Ramai yang tidak ambil kisah. Keluar dari bilik air tanpa kaki dibasuh..kencing anak-anak yang dilepas di dalam rumah tidak dibasuh dengan sempurna..air mutlak yang tak jelas kefahamannya.

Apakah pengabaian kepada perkara-perkara tersebut menjadikan amal ibadah kita akan diterima atau secara khususnya doa kita diterima? Bukankah pengabaian perkara-perkara tersebut menjadikan telapak kaki kita melanggani najis? yang menyebabkannya menjadi haram untuk kita berdiri dan sujud di depan Allah lantas ia menjadikan amal ibadah kita sia-sia. Maka sewajarnya kita menjadikan ia agenda utama sepertimana kita memastikan sumber untuk diisi perut adalah dari sumber yang halal. Moga-moga kita beroleh keberkatan dalam hidup. Amienn.

p/s: Situasi yang berlaku di rumah si ibu dan arkitek mungkin hanyalah salah satu sebab dari sebab-sebab yang hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui,

a

Thursday, October 13, 2011

Ukuran sebenar adalah pandangan Tuhanmu



Ketika sedang menikmati sarapan pagi seorang diri di Astaka, berhadapan dengan pelabuhan kapal-kapal persiaran mewah di Port Swettenham, hati diulit dengan perasaan ralat tatkala ungkapan seorang kawan masih terngiang-ngiang di corong telinga.


"Si A**** tu, gaji tak seberapa, tetapi pakai kereta macam gred 52...bila dah accident..kan dah pening nak repair"

Walaupun, ungkapan itu berbaur umpatan, namun sisi-sisi positif cuba ditelan oleh minda segar pada pagi itu sebagai muhasabah pada diri. Memikirkan bilamana baju diukur, kenapa ia tidak diukur pada badan sendiri. Bahkan ia diukur pada susuk lain. Apakah ukurannya itu sehingga sesuatu yang dilihat mencengkam kehidupan, masih dan sanggup diharungi sekalipun terpaksa mengikat perut dan menjerut leher. Ukuran itu juga seakan ukuran yang menatijahkan kepuasan diri. Kemungkinan si dia itu mampu, namun hakikat sebenar kemampuan hariannya sudah dihidu oleh rakan-rakan. Kelompongan asas dalam menentukan pilihan hidup, menatijahkan sengsara dan perit pada kemudian hari.

Kita juga biasa mendengar, ramai yang melakukan pinjaman kewangan peribadi bagi melangsungkan perkahwinan. Pinjaman yang berjumlah 30k, mengambil masa 10-15 tahun untuk dilangsaikan. Maka ungkapan sinis dilemparkan "kalau short 3 4 bulan tak bayar, kalau kereta.. bank mai tarik kereta, kalau kahwin, bank mai tarik bini kah?'. Satu lagi, budaya dan cara kehidupan masa kini yang tidak lagi menggunapakai perumpamaan "ukur baju di badan sendiri". Boleh jadi, ada yang berhujah, kemampuan membayar secara bulanan pada jumlah yang dipersetujui adalah salah satu mekanisme kemampuan. Boleh jadi benar.

Namun, sekalipun ia benar, ada sisi lain yang perlu dilihat.Sisi itu ialah sisi berkat. Apakah perkara ibadat yang boleh jadi wajib atau sunnat yang mana redha dan keberkatan Tuhan menjadi matlamat perlu sehingga berhutang piutang semata-mata untuk kelihatan mewah dan hebat. Sudah pasti ia kelihatan sudah tergelincir dari landasan sebenar melaksanakan syariat Tuhan kerana dalam ibadat khusus pun dituntut bersederhana, apatah lagi ibadat am, inikan pula untuk memperlihatkannya kepada manusia.

Fikiran terbang menerawang mencari individu-individu yang dilihat hidupnya penuh dengan keberkatan. Terbang dan singgah di kampung berdekatan kampung sendiri rupanya. Seorang pencen kerajaan yang kehidupannya adalah sederhana dan tidak pernah ketinggalan dari solat berjamaah di masjid. Memiliki anak yang ramai, yang kesemuanya dibiayai pengajian secara sendiri hingga ke luar negara. Tiada dari kalangan anak-anaknya yang mendapat pembiayaan kerajaan atau seumpamanya.Bahkan, perkahwinan hampir kesemua anaknya juga ditaja dengan biayanya sendiri secara ala kadar dan sederhana. Bertuah anak-anaknya,terus dilangsungkan perkahwinan sekalipun kantung belum berisi lantaran baru tamat pengajian. Alasannya mudah, membantu anak-anak untuk suatu ibadah juga merupakan ibadah. Halobanya dia dengan pahala. Walhal ketika perkhidmatannya dalam kerajaan, aku andaikan gajinya tidak lah seberapa bahkan gred 27 pada ketika ini pun lebih besar gajinya. Sudah pastilah juga, bayaran pencennya hanya separuh dari itu, dan dia mampu dengan izin Allah meneruskan kelangsungan dan mengasaskan beberapa kehidupan sehingga ke hari ini. Bahkan anak-anaknya dengan izin Tuhan menjadi manusia. "Moga Allah terus memberkatinya".

Jelas ia adalah petanda keberkatan yang berpunca dari mana sesuatu tindakan ukuran baju itu diambil. Kalau ukurannya adalah pandangan manusia, pasti ia hanya akan memperoleh pandangan, pujian dan sanjungan manusia dan ia bukanlah kejayaan yang sebenar. Namun sekiranya ukurannya ialah pandangan Allah, pasti ia memperoleh pandangan, pujian dan sanjungan Allah dan manusia bersama yang mana ia adalah hakikat kejayaan yang sebenar-benarnya.

Susah bukan untuk mengabaikan rasa tidak perlu pada pujian, sanjungan dan pandangan manusia? Namun ia adalah persimpangan untuk berjaya atau gagal.

Monday, August 22, 2011

Ramadhan kali ini..'si miskin' yang untung atau rugi?


Dari Abu Hurairah r.a. ia berkata; Rasulullah s.a.w. bersabda: "Celakalah seseorang, yang apabila aku disebut-sebut di depannya dan ia tidak mengucapkan selawat kepadaku, dan celakalah seseorang yang apabila bulan Ramadhan menemuinya kemudian berlalu sebelum dia mendapatkan keampunan, dan celakalah seseorang yang apabila kedua orang tuanya telah berusia lanjut namun kedua orangtuanya tidak dapat memasukkannya ke dalam syurga (kerana kebaktiannya)."

(Riwayat Tirmidzi : hadis 3468)

Adakah kita akan tergolong di kalangan orang yang rugi? Ramadhan datang dengan rahmat yang sangat luas. Tawaran ampunan Tuhan berada di setiap saat Ramadhan. Tiada yang lebih hebat dari Tuhan melainkan tawaran harga runtuh untuk mengampunkan dosa hamba-hambanya. Tawaran hebat ini berlangsung hanya setahun sekali.

Sombong bukan kita, tatkala Allah Sang Tuhan bermurah sifatnya dan wasi` rahmatnya melebar luaskan rahmatnya kepada kita sang hamba untuk mengampunkan tiap dosa, namun kita sang hamba mengambil sifat tuhan untuk menyombongkan diri tidak mengendahkan tawaran ampunan tersebut, seolah-olah kita pula tuhan merasakan diri terkaya dari sesuatu sedang hanya Allah yang terkaya dan tidak berhajat kepada sesuatu. Kita sang hambalah yang sehinanya berhajat kepada sesuatu iaitu berhajat dan memerlukan Dia. Tiada usaha luar biasa dilakukan untuk mendapatkan ampunan Tuhan.


Sedangkan Nabi s.a.w. yang sudah memperoleh kemuliaan di sisi Allah pun beristighfar seratus kali sehari, inikan pula kita, istighfar tidak menjadi rutin sang lidah berzikir. Kalau ada pun sekadar menjadi adat selepas solat. Makna dan tuntutan fahamnya tidak diambil kisah. Soalnya..bagaimanakah dosa setimbun gunung hendak diampunkan Tuhan?

Perbanyakkanlah istighfar dengan menyertakan faham tiap katanya dan mohonlah keampunan dari Tuhan dengan mengenal dosa yang telah dilakukan pada baki-baki hari bulan hebat ini..moga-moga kita tidak tergolong di kalangan orang 'miskin' yang rugi.


Monday, August 15, 2011

Durja

Gambar hiasan

Menanggisi kelaku alpa
menghitung kira akibat alpa
merenung diri apa laba
tiada laba melainkan sengsara bahkan bencana
hati dara dan teruna jadi seksa

Hati mulus si dara
dirobek kelaku teruna durjana
dihiris halus tiada perimanusia
dihempasa badai..dilambung ombak..dipukul angin buatan teruna buta

Badai berlabuh..ombak berdesir..angin mengalun
pantai terhakis dalam..pepohon mematah-matah..
dedaun rumpai meranap..daratan mengukur padang jarak
teruna melutut..menanggisi sesal..meratapi bahana kelaku sial
merayu 'alam' berjasa memberinya waktu
membina kembali 'alam' yang hampir hilang
kerana itulah satu-satunya 'alam' yang dia punyai.

Thursday, August 11, 2011

Selubung hati


Hati diselubung selimut kesal

Penyedar alpa menyerapi

Zikir pengampunan membasahi

Meruntuni kelaku yang tanpa tuju

Menguraikan titis jernih

Atas kelaku yang menggores hati suci

Hati suci lembut yang mengasihi

Hati suci lembut yang menyayangi

Hati suci lembut yang sesuci titis-titis embun

Hati suci lembut selembut baldu syurga

Tidak melantuni keras walau hati lara

Tidak menembak nista walau hati luka

Tidak menitip derhaka sekalipun hati sengsara

Monday, January 3, 2011

"Tertawa"


Selepas lulus daripada institut pengajian tinggi, seorang pemuda mengalami kesukaran untuk mendapatkan kerja yang bersesuaian dengan kelulusannya.

Pemuda itu tiada pilihan melainkan memohon apa sahaja pekerjaan di merata-rata tempat. Akhirnya dia diterima bekerja di sebuah zoo. Walaupun tidak begitu sesuai dengan kelayakannya, namun oleh kerana tubuhnya yang tegap, pengurus zoo tersebut bercadang memberinya satu tugasan.

"Saudara tahu di sini ada beberapa jenis haiwan yang popular, antaranya ialah seekor gorila. Sayang sekali, gorila tersebut yang kami datangkan dari Afrika beberapa tahun dahulu telah mati semalam. Sekiranya kami berikan kepada saudara pakaian khas, mahukan saudara meniru tingkah laku gorila itu untuk beberapa hari?", tanya pengurus zoo tersebut.

Oleh kerana terdesak dengan keperluan hidup yang menghimpit, pemuda itu bersetuju menyamar sebagai gorila. Sebelum memulakan tugas barunya itu, die terlebih dahulu diajar mengenai tingkah laku gorila supaya kelakuannya sama dengan tingkah laku gorila yang sebenar.

Apabila tiba hari minggu, maka ramailah pengunjung yang berkumpul mengelilingi kandang gorila bagi melihat gorila yang popular tersebut. Tidak lama kemudian, keluarlah 'gorila' yang dinanti-nantikan. Pengunjung yang tidak tahu cerita sebenarnya, terpegun melihat gorila yang gagah dan aksinya itu.

Gorila samaran itu mula berjalan-jalan mengelilingi kandangnya sambil melompat ke sana ke mari. Mereka kagum melihat tingkah laku "gorila" yang cerdas itu. Oleh kerana terlalu asyik berjalan-jalan dan melompat-lompat, si 'gorila' tidak menghiraukan pagar penghadang di antara kandangnya dan kandang singa di sebelahnya. 'Gorila' itu lalu terjerumus masuk ke dalam kandang singa itu.

Melihat seekor 'gorila' masuk ke kandangnya, si singa terkejut lalu mendekati 'gorila'. Ini sudah tentu membuatkan gorila samaran itu menjadi begitu takut. Dia berfikir dia pasti mati diterkam singa, kerana singa tentu boleh menghidu bau manusia di sebalik baju gorila yang dipakainya.

Sementara itu, pengunjung-pengunjung yang sejak dari tadi memerhatikan drama itu, mula bergerak ke kandang singa bagi melihat pergelutan yang bakal terjadi di antara singa dan gorila itu. 'Gorila' berasa semakin takut melihat singa yang semakin menghampirinya dan mula menghidu-hidu dirinya. Apakah dia perlu berteriak minta tolong dan melarikan diri daripada kandang itu. Biarlah pengunjung semua berasa kecewa apabila tahu yang dia hanyalah gorila samaran. Tetapi, dia juga tidak mahu mengecewakan pengurus zoo itu, yang memberikannya kerja dan gaji. Namun, demi keselamatan diri, masa depan dan nyawanya, dia mengambil keputusan untuk menjerit minta tolong.

Pada masa yang sama, singa yang sedang memerhatikan gerak geri itu mula kelihatan panik. Alangkah terkejutnya singa itu apabila gorila tiba-tiba menjerit. Jeritan sayup gorila benar-benar membuatkan si raja hutan terperanjat dan juga marah. Dengan pantas, singa itu menerkam gorila dan dengan mudah gorila itu dapat ditumbangkan oleh sang singa. Ketika berada dalam keadaan inilah, mulut sang singa mendekati telinga gorila. Dengan suara perlahan, sang singa berkata, " Diamlah bodoh..!! Kamu nak diberhentikan kerja kah?!"

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~//////~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Cerita di atas membuatkan kita ketawa ataupun tersenyum keseorangan atau juga membuatkan kita sekadar mengerutkan dahi. Kita boleh membuat pilihan sama ada hendak senyum, ketawa atau sekadar mengerutkan dahi mengikut pilihan hati kita sendiri. Tetapi, sekiranya kita memilih untuk ketawa, maka sebenarnya kita sedang meneutralkan ketegangan yang sedang berlaku.

Pepatah kata bijak pandai ada berbunyi, "Sekiranya masih boleh ketawa dalam sehari, menunjukkan kita masih hidup. Sekiranya kita ketawa dua kali sehari, bererti masalah dapat di atasi. Manakala, sekiranya kita ketawa tiga kali sehari, ia menunjukkan harapan dan optimisme, sekiranya empat kali sehari memberi isyarat pada kemampuan bagi mengatasi masalah dengan baik. Akhirnya, sekiranya kita ketawa lima kali sehari, maka itu membuatkan kita lebih panjang umur".

Di antara segala mahkluk ciptaan Tuhan, hanya manusia yang diberi anugerah untuk ketawa. Tetapi sekiranya diamati dengan lebih mendalam, ternyata ada ramai manusia yang begitu sukar untuk ketawa, namun ada juga manusia yang ketawa tanpa sebab.

Ketawa sebenarnya menunjukkan kemampuan psikologi seseorang bagi menyeimbangkan bebanan-bebanan yang ada. Ketawa juga menunjukkan optimisme dan perencanaan kesihatan mental yang berpatutan. Malah Herm Albright mengatakan "Ketawa 100 kali sehari menghasilkan latihan otot sama dengan 10 minit mendayung".

Bagi sesorang pemimpin, ketawa adalah salah satu seni dalam kepimpinan. Pat Williams berkata "Seorang pemimpin yang tidak ceria, sentiasa bermasam muka, kaku dan tidak mempunyai daya humor adalah seorang pemimpin yang membosankan"

Dalam Islam pula, kita selalu terbiasa dengan ungkapan hadis "Senyum itu sedekah". Malahan ia diumpamakan seperti sedekah kerana ia mampu menyenangkan hati orang yang menerima pemberian sedekah.

Dalam satu hadis lain Nabi S.A.W. bersabda

" Janganlah kamu membanyakkan ketawa. Sesungguhnya banyak ketawa itu mematikan hati"
(Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Penting kita untuk mengambil jalan tengah di antara kelebihan dan keburukan ketawa dengan menyederhanakannya berbanding dengan tidak langsung mengukirkan senyuman atau menzahirkan gelak tawa.

Ketawa dan senyum adalah pilihan hidup. Masalah tidak selesai sekiranya kita diliputi dengan kemurungan dan penyesalan berterusan. Hati yang gembira dan kemampuan untuk ketawa dan senyum akan membuka cakerawala penyelesaian masalah yang ada dan mengurangkan tekanan yang timbul. Justeru..ketawalah..senyumlah..supaya fizikal dan mental kita kekal berada dalah keadaan sihat.

p/s: Dipetik, diolah dan ditokok tambah dari buku Setengah Berisi Setengah Kosong terbitan PTS Millennia Sdn. Bhd.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...