Sila masuk

Tuesday, November 23, 2010

Larian Jambatan..it was awesome..!! :D


Pertama kali menyertai Larian Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang pada pagi Ahad lalu adalah suatu pengalaman yang amat menyeronokkan. Ia telah diadakan pada saban tahun semenjak tahun 1985 sebagai salah satu booster sektor pelancongan yang telah berjaya menarik peserta dari 69 buah negara. Penyertaan kali ini adalah lebih 23 ribu orang lebih meliputi 4 kategori iaitu full marathon (41 km), half marathon (21 km), 10 km dan fun run (10 km).

Penyertaan pertama kali aku kali ini adalah sekadar pada fun run. We run just for fun. :D plus menyedari tiada pengalaman dalam acara marathon ada baiknya bermula dari kategori yang terbawah. Bak kata orang..ukur baju di badan sendiri. Walau fun run...tapi bagi aku dan din...kami target untuk tamatkan larian dalam tempoh satu jam. Alhamdulillah berkat kesungguhan dan tekad walaupun mengalami kepenatan yang amat sangat di atas jambatan, aku berjaya jua menamatkan larian pada 1 jam 2 minit. Din lagi sempoi..55 minit.

InsyaAllah jika ada kesempatan..pada tahun-tahun yang akan, kami berhasrat untuk menyertainya lagi..sekadar utk mencari rekod terbaik buat diri sendiri.

Pengalaman menikmati pemandangan matahari terbit dari atas jambatan Pulau Pinang juga menarik. Namun sayang kamera tidak dibawa bersama ketika berlari memandangkan ia akan menambah beban. Sayang seribu kali sayang.

Suatu yang menarik untuk diambil perhatian ialah lebih kurang 80% peserta adalah berbangsa cina menggambarkan kesedaran mereka terhadap budaya hidup sihat adalah membanggakan berbanding bangsa Melayu dan bangsa-bangsa lain. Sama-sama kita fikirkan.

Tuesday, October 19, 2010

Hisab diri dari persepsi..

Gambar hiasan

"Biarkan apa orang nak cakap..asalkan kita rasa bahagia"
.

Kita biasa terdengar ungkapan sebegitu bila mana seseorang ingin mengabaikan pandangan orang ramai terhadap apa yang akan dilakukannya. Sesekali mungkin ia betul dan pada kali yang lain kemungkinan salah tetap ada kebarangkaliannya. Kerana pandangan orang ramai adalah persepsi. Persepsi adalah garapan didikan, persekitaran dan tabiat. Ia adalah ok pada kelompok A dan tak ok pada kelompok B.

Cuma bagi menilai persepsi mana yang ok dan yang mana tidak ok mungkin boleh dilihat pada kelompok majoriti. Majoriti yang berpendapat dan berpandangan dengan sesuatu pandangan mungkin merekalah yang betul, tepat dan ok.

"Ummatku tidak akan berkumpul di atas suatu kesalahan", satu ungkapan baginda S.A.W. yang boleh digunakan sebagai asas menilai persepsi mana yang tepat dan tidak.(Sumber hadis berkenaan tidak diingati).

Seseorang A yang menghadapi masalah yang sama dengan beberapa orang akan menimbulkan beberapa persepsi dari orang-orang tersebut terhadap si A. Persepsi itu kemungkinan pelbagai. Namun jika seseorang A menghadapi masalah dengan ramai orang pasti skop persepsi itu adalah lebih kecil dan ia mewujudkan satu pandangan sisi terhadap si A tersebut.

Oleh yang demikian, sekiranya kita menghadapi masalah dengan satu dua orang..mungkin kitalah yang betul. Namun jika kita menghadapi masalah dengan ramai orang..pasti dan sudah tentu ada sesuatu yang tak betul pada diri kita.

p/s: Semalam problem dengan seseorang yang menghadapi masalah dengan ramai orang. Soalan..adakah aku ada problem dengan orang lain jugak? insyaAllah tiada..

Hisab diri

Monday, October 4, 2010

Mood..


Beberapa ketika dulu merasa girang ..
Namun kini seperti hilang.

Beberapa ketika dulu merasa berdebar
Namun kini ia sudah beredar

Beberapa ketika dulu merasa keriangan
Namun kini ia berganti keseorangan

Beberapa ketika dulu jua ia adalah ungkapan
Dan kini ia adalah tersemat didakapan menjadi azimat
Dan ia merupakan sebahagian dari perjalanan kepada sebuah harapan.

Wednesday, September 22, 2010

Bakal tenggang moden..


Pagi hari ini..

Seperti biasa ketika sedang bersiap-siap untuk ke office ..siaran Malaysia Hari ini menjadi teman. Sekali sekala..perbincangan mereka menerjah rongga telinga. Saat itu tajuk yang dibualkan ialah Tenggang Moden. Tetamunya ialah Datuk Khairul Anwar seorang pengamal undang-undang mengupas tajuk tersebut dari kaca mata undang-undang.

Suatu yang melekap dan memasuki rongga telinga ialah kata-kata beliau bahawa hubungan anak dan ibu dan bapa pada hari ini adalah berdasarkan material dan wang ringgit. Anak pulang ke kampung halaman hanya sehari dan seketika namun mengumpan jiwa ayah dan bonda dengan pemberian wang ringgit. Walhal ayah dan ibu tidaklah mengharapkan sangat umpanan sebegitu bahkan peruntukan masa yang agak lama adalah teramat memadai. Itu hanya sekelumit..berdozen-dozen lagi kisah ketidakperihatinan sang anak bahkan seumpama tenggang sering kita dengar pada hari ini.


Dua hari lepas..

Ketika sedang membayar pembelian beberapa jenis barangan di satu-satunya kedai runcit yang terdapat di Desa Pinang 2..seorang kanak-kanak dalam lingkungan umur 5-6 tahun meluru dengan membawa sekotak air yang diambil dari peti sejuk kedai sambil bertanyakan harga dengan suara yang tinggi.

"Seringgit lima kupang..ni tak cukup lagi lima kupang", jawab aunty berbangsa India si penjaga kedai.

"Haaaaaahh..daah tu yang mana yang seringgit..????!!", soal budak itu dengan nada kurang ajar. Terkejut aku dengan nada sebegitu dari seorang kanak-kanak.

Aunty tersebut berjalan ke peti sejuk dan mengambil minuman bertin yang berharga seringgit lalu menunjukkan kepada kanak-kanak tersebut.

"Ayaq tinnn..!! mana aku mauuu..!!Ahhhhhh..!! aku nak ayaq kotak..!!!", protes budak tersebut tidak bertempat sambil menampar-nampar pintu peti tersebut. Satu reflection yang tidak wajar tambahan penjaga kedai dan dia bukanlah saling kenal-mengenali.

Aku yang dari tadi asyik memerhati....merenungnya dan memandang aunty tersebut sambil menggeleng-gelengkan kepala sebagai makluman tingkah sebegitu adalah amat tidak wajar dilakukan oleh budak kurang ajar itu. Ikut kemahuan..mahu sahaja budak tu aku jerkah dan tak pasal-pasal tangan yang berkondisi biasa terketaq-ketaq.

Bermain di kotak fikiran..di manakah silapnya didikan anak kecil itu. Apakah di rumahnya, itulah jua contoh teladan ibu dan ayahnya? Sudah pasti karekter itu adalah hasil hadaman minda dan fikirannya semenjak lahir masakan dia boleh bertindak begitu.

Andai ibu dan ayahnya tidak peduli akan kekurangan tersebut dan membiarkan dia membesar dengan karakter itu sudah pasti ia akan mewujudkan lagi seorang tenggang dalam tempoh 10-15 tahun akan datang..sang tenggang moden.

Wednesday, September 8, 2010

Syawal dirai...syariat didakapi..


Aidilfitri 1431 dijangka pada lusa, Jumaat. Keadaan di pejabat lengan kerana kakitangan sudah mula bercuti. Esok apatah lagi, suasana raya sudah "memakan" suasana meriahnya Ramadhan. Hangat Ramadhan sudah suam-suam kuku. Tiada Lagi ghairah berkejar ke masjid. Tiada lagi dalam kepala dengan apa nak berbuka hari ini. Tiada lagi edaran bumbur lambuk. Kebanyakan masjid dan surau sudah tiada lagi majlis berbuka puasa..suram. Promosi bufet Ramadhan juga telah senyap. Masjid yang melimpah ruah juga telah surut. Semuanya kerana Aidilfitri bakal menjelma sehinggakan kemeriahan bazar Ramadhan pun sudah malap dek kerana deretan perniagaan sudah berlompang-lompang. Semalam aku ke bazar Ramadhan Taman Tun Sardon..boleh dikira mereka yang masih berniaga. Sewaktu di Gombak beberapa tahun dahulu, seminggu menjelang raya adalah saat paling sukar mencari makan sahur dan berbuka. Majoriti pengusaha kedai makan sudah balik ke Kelantan atau Selatan Siam. Semuanya kerana Aidilfitri bakal menjelma. Lusa mungkin..

Ramadhan bulan ibadah bakal berlalu..bukan bererti berlalunya tempoh ta`abbudiyah terus memasuki tempoh melalaikan. Aidilfitri yang disyariatkan pada tahun kedua hijrah ini..bukanlah tempoh bersuka ria yang mutlak bahkan ia merupakan keraian yang masih dalam lingkup kawalan syara'. Bererti kita keluar dari tempoh ta`abbudiyyah tetapi akan masuk kembali ke dalamnya. Tetapi bagaimana? Aidilfitri disyariatkan berserta dengan adab-adab keutamaan bagi meneruskan kesinabungan ibadah dalam Ramadhan yang berlalu. Sewajarnya kita merai dan mengutamakan perkara-perkara berikut:


1- Memperbanyakkan takbir (membesarkan Allah)

"dan supaya kamu menyempurnakan tempoh (puasa), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana dikurniakan petunjuk"
al-Baqarah: 185

Asal usul takbir raya adalah ketika Nabi Ibrahim a.s. ingin melaksanakan perintah Allah dengan mengorbankan anaknya Saidina Ismail a.s...tatkala pisau diletakkan dileher..dengan penuh kekuatan baginda bertakbir "Allahu akbar Allahu akbar Allahu akbar..!!", menggambarkan betapa beratnya perintah yang dilaksanakan itu namun kerana kebesaran dan ketinggian Allah..perintah itu dilaksanakan jua, tatkala itu..datang malaikat Jibril dengan membawa gantian menyahut.."Lailahaillallahu huwa Allahu akbar..!!, dan bilamana baginda selesai menyembelih dan mendapati yang disembelihnya itu adalah seekor kibas..baginda melafazkan "Allahu akbar wa lillahil hamd", sebagai mensyukuri atas pemberian gantian itu.

Maka kita pada hari raya, disunatkan bertakbir di mana-mana jua sama ada salam berkumpulan atau seorang diri.

2- Membersihkan diri, memakai pakaian baru dan wangi-wangian.

Disunatkan untuk membersihkan diri dengan memotong kuku, bulu-bulu dan mandi sunat aidilfitri atau aidiladha. Sekalipun bagi kanak-kanak, disunatkan si bapa atau ibu memandikannya. Selain itu, disunatkan juga memakai pakaian baru dan berwangi-wangian.

3- Makan dahulu sebelum pergi solat sunat Aidilfitri

Berbeza dengan Aidiladha, pada pagi Aidilfitri, kaum muslimin dan muslimat disunatkan mengisi perut sebelum pergi menunaikan solat sunat Aidilfitri. Manakala pada pagi Aidiladha disunatkan pergi solat dengan perut kosong sebagai meraikan jamuan ibadah korban. Ia selari dengan tuntutan agar solat sunat Aidilfitri dilewatkan sedikit berbbanding Aidiladha.

4-Menunaikan tuntutan zakat fitrah.

Tempoh terakhir untuk menunaikan tuntutan ini ialah sehingga imam mengangkat takbiratul ihram.

5-Pergi masjid berjalan kaki dengan menggunakan jalan yang jauh dan pulang dengan jalan lebih dekat.

Ia adalah merupakan sunnah Rasul S.A.W. pada setiap kali hari raya. Ini kerana ketika berjalan pergi..baginda S.A.W. suka menggunakan jalan yang jauh bertujuan agar bertemu dengan lebih ramai faqir untuk baginda bersedekah

6- Mengucapkan tahniah

Ucapan tahniah atas kejayaan melaksanakan perintah Allah dengan apa jua perkataan seperti contoh "Moga-moga Allah menerima amalan kita".

7-Keharusan berhibur yang tidak melampaui.

Dari Aisyah r.a., dia telah berkata: "Telah masuk Abu Bakar kepada kami dan di sisiku dua orang hamba dari kalangan Ansar sedang menyanyi", Aisyah berkata lagi: "Mereka berdua bukan penyanyi", maka berkata Abu Bakar r.a.: "Apakah ada bunyi-bunyian syaitan di dalam rumah Rasulullah S.A.W. pada hari raya??", Maka Rasulullah S.A.W. bersabda: "Wahai Abu Bakar, bagi setiap kaum ada hari raya, ini adalah hari raya kami".
(Riwayat al-Bukhari)

Keharusan di sini adalah pada kata kunci kenyataan Aisyah "Mereka berdua bukanlah penyanyi". Berdasarkan kenyataan para ulamak yang dimaksudkan itu ialah dua orang hamba itu bukanlah penyanyi dalam erti kata penyanyi sebenar yang menzahirkan aurat dan perhiasan dan membangkitkan perkara maksiat dan mungkar, mereka sekadar "menyebut nyanyian di mulut" bagi menzahirkan kegembiraan. Oleh yang demikian itulah, Nabi S.A.W. tidak melarang mereka, baginda sekadar memalingkan mukanya dari tingkah mereka berdua sambil menyebut "bagi setiap kaum itu ada perayaan dan ini adalah perayaan kami". Oleh yang demikian, sewajarnyalah kita menyederhanakan hiburan dengan tidak mengutamakannya bahkan memenuhi sambutan dengan kunjung mengunjungi dan ziarah mensiarahi.

Moga kegembiraan Syawal dirai dalam kepatuhan kepada syariat

Tuesday, September 7, 2010

Hari itu hari raya...



Beberapa hari lagi hari lebaran bakal menjelma. Tanpa mengira usia, semuanya girang. Meraikan kemenangan di dunia selepas berjaya menunaikan kewajipan berpuasa.

Menjelang 1 syawal sekitar 20 tahun dahulu..

Meriahnya bermain bunga api di halaman sehingga terbakar lalang. Cepat-cepat adik beradik ambil air untuk dipadamkan api yang sedang terbakar..takut nanti arwah Ustaz Salleh tau. Bunga api sebagai rewards dari mak dibeli dari pekan Khamis Parit Panjang. Mercun tak dibenarkan sama sekali. 10 hari menjelang hari raya..semua ada tugas masing-masing.Tolong mak buat kuih raya. Selepas berbuka masing-masing menyelinap ke dapur menggonggong kuih semut. Bila raya tiba kuih semut tinggal sedikit. Nak kuih siput..masing-masing kena gentel sejak pukul 10 pagi. Menjelang petang baru siap..perit terasa.

10 hari menjelang raya..baju raya diambil dari rumah Cik Pah. Sepesen kaler dan jenis aku dan abang. Seingat aku sehingga habis sekolah rendah..baju raya kami masih sama. Kasut raya juga sama..kadang-kadang dibeli di Pekan Baling..dan kadang-kadang dibeli di pekan sehari Kuala Ketil..tidak pernah menyoal berapa harganya..mahal atau murah yang tahu hanya pilih, nak dan dapat..

10 hari menjelang raya..kad-kad raya makin banyak..ada untuk ayah..ada untuk mak..ada untuk abang dan kak tapi tiada untuk aku kerana aku masih kanak-kanak. Saat itu, girang sekali melihat kad-kad raya yang pelbagai dan gaya kreatif penulisan si penghantar..kad-kad mereka dicuri baca. Kini tinggal 2 hari lagi hari raya..tiada langsung kad raya bertandang.

Beberapa hari menjelang raya.. arwah Paksu pulang dari pekan Khamis membawa bersama daun palas. Dia pandai memilih daun palas yang elok.

Esok hari raya..turut kalut menyibuk di dapur. Menjaga api kayu merebus ketupat. Arwah Cu bertandang..berkongsi modal dan tenaga membuat ketupat. Indahnya akrab kejiranan. Kini Paksu dan Cu tiada lagi.

Esok pagi hari raya..malam mengikut ayah ke Pondok Lanai. Mencari si penerima beras fitrah. Sudah sayup jam 11..namun laungan takbir mengagungkan ilahi masih berkumandang di corong pembesar suara oleh penuntut pondok. Menunggu ayah berbual..lena bertandang. Sedar-sedar sudah di rumah.

Pagi ini pagi raya...bangun dari tidur girang sekali..baju baru..kasut baru..kopek baru. Girang kanak-kanak menanti raya setahun sekali. Dimandikan ayah mandi sunat aidilfitri..diajar niat dan dijirus. Mak didapur masih sibuk menyiapkan mee kuah..hidangan wajib ketika itu pada setiap hari raya.

Berjalan beriringan dengan abang ke masjid..sekali sekali berlari anak tidak sabar melihat kemeriahan orang ramai di sana. Khutbah terlalu lama..hingga tertidur..sedar-sedar orang sudah bangun hendak bersurai. Terpinga-pinga bangun mencari barisan rakan sebaya berbaris. Menanti duit raya dari orang masjid. 20 sen diterima..suka sekali.



Berkumpulan menjelajah kampung..sehujung rumah Pakcik Awang hingga sampai keluar rumah Haji Rasyid..ke bawah rumah Paklong 'Id hingga ke atas rumah Kak Milah memungut kemestian pemberian setiap kali raya. Kumpulan lain memberitahu rumah arwah Pakcik Ali bagi 5 kupang..bila sampai yang dapat hanya 2 kupang. Mendengus hati "kedekut betul dia ni ..dah la kaya". Ada yang bagi sekupang ada yang bagi 2 kupang. 5 kupang jarang sekali apatah lagi seringgit..5 ringgit jauh sekali.

Baju menjerut peluh..matahari terpacak namun tenaga masih seperti tidak susut demi kegembiraan duit raya. Menjelang pukul 3 baru pulang ke rumah. Poket memberat dengan syiling-syiling. Kopek baru tidak lagi muat diisi. Dikira..sekitar 40 ringgit..jumlah lazim yang dipungut. Mula berkira-kira apa yang boleh dibeli dengan jumlah itu. Puas teramat sangat.

Namun kini..tiada lagi erti memungut pada hari raya..satu rasa baru menyelinap di setiap inci hati..erti tanggungjawab dan berkongsi. Namun hari itu hari raya pasti menjadi kenangan yang mengundang senyum di kala sendirian.

p/s: Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin. Moga Ramdhan yang bakal berlalu..memadam dosa yang pernah dilakukan. Amin..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...