Sila masuk

Monday, September 6, 2010

Selfish a.k.a. self-interest


Senangnya hati tatkala kelihatan dari jauh satu ruang kosong. Namun apabila didekati ternyata ruangnya tinggal 3/4 sahaja lantaran Toyota Vios Grey itu telah melebihi border line petak parking bersebelahannya. Sakitnya hati bukan kepalang.

Hati membuah tenang memandu di atas jambatan pada malam hari tanpa kesesakan. Kereta dipacu dilorong kanan pada had kelajuan dibenarkan. Hasrat hati untuk sampai ke destinasi pada masa yang dijanjikan. Lamunan dalam pemanduan terganggu oleh sebuah Honda Stream Putih yang sedang 'makan angin' di lorong kanan. Situasi yang terlalu biasa di atas Jambatan Pulau Pinang. "Kalau nak bawak slow..masuk la lorong kiri", getus hati menyinga.

Petang Jumaat yang lalu, jalan menuju ke Jeti Feri sangat sesak. Kesesakan tersebut agak luar biasa jika dibandingkan dengan kebiasaan pada petang-petang Jumaat. Kenderaan kecil dan besar berderet-deret hingga ke pelabuhan kapal mewa, Port Swettenham. Tidak bergerak-gerak. Mujur aku menggunakan kenderaan dua roda, dapatlah menyelit dicelahan deretan kenderaan yang panjang itu. Melewati Stesyen Minyak Shell Port Weld, kelihatan atap merah merentangi 1/4 jalan. Laluan yang dua lorong menjadi satu lorong. Sebuah rumah sembahan memasang atap tambahan sementara bagi meraikan satu keraian. Tanpa atap itu pun, laluan di Port Weld sentiasa memutik geram dek kerana kenderaan-kenderaan diletakkan di bahu jalan sesuka hati.

Itulah realiti kehidupan. Di mana-mana sahaja kita akan mudah dapati manusia yang mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan orang lain. Bertindak melakukan sesuatu tanpa mempunyai pertimbangan kewajaran dilaksanakan atau tidak. Kewajaran melaksanakan meliputi apakah ia sesuai..?Menyusahkan orang lain atau tidak..? Mengganggu emosi orang lain atau tidak..? Terlalu sedikit untuk mendapatkan manusia yang memiliki pertimbangan sebegitu. Lumrah, sekiranya sesuatu dilakukan..yang penting ia siap ataupun aku puas.

Indahnya kalau sikap tersebut berada di kedudukan ke-100 dalam diri individu. Harmoni dan damai..pasti individu akan lebih mengutamakan nilai-nilai positif dalam tingkah laku, kelakuan dan tindakan.

Bahagia terasa tatkala melihat anak muda mempelawa seorang tua untuk duduk ditempatnya tatkala lrt atau bas penuh sesak dengan orang ramai. Bahagia juga dirasai tatkala terpandang sebuah kereta dihentikan oleh pemandunya bagi memberi laluan kepada pejalan kaki melintas dan bahagia juga dinikmati tatkala melihat rakan-rakan sekerja mengorbankan wang ringgit bagi membantu rakan yang dalam kesusahan.

Inilah yang dinamakan ithar iaitu satu tindakan mengutamakan orang lain dari diri sendiri.

Sebuah kisah yang diriwayatkan dalam kitab-kitab tafsir ketika para mufassir menafsirkan ayat 9 dari Surah al-Hasyr yang menjadi sebab turunnya ayat tersebut, seorang sahabat dari kalangan ahli suffah ( sahabat muhajirin yang mendiami sekitar Masjid Nabawi) telah datang mengadu kepada baginda S.A.W. bahawa dia dalam keadaan tersangat lapar. Nabi S.A.W. bertanyakan kepada para isteri baginda apa yang mereka miliki dari makanan, namun yang mereka ada hanyalah air untuk diminum. Lantas Nabi S.A.W. bersabda kepada kalangan sahabat baginda: "Sesiapa yang menjadikan lelaki ini tetamu, nescaya Allah akan merahmatinya". Lalu bangun seorang sahabat dari kalangan Ansar (dikatakan ia adalah Thabit bin Qais) menyahut seruan Nabi tersebut. Pulanglah dia bersama tetamu tersebut ke rumahnya, lalu berpesan kepada isterinya: "Ini adalah tetamu Rasulullah, janganlah kamu sembunyikan apa-apa makanan untuknya", maka balas si isteri : " Demi Allah, kita tidak memiliki apa-apa melainkan sekadar cukup untuk anak-anak makan malam", si suami berkata: "Tidurkanlah anak-anak, padamkanlah lampu dan kita berpura-pura suap menyuapi", maka si isteri pun menurut. (Mereka berpura-pura menyuap satu sama lain di dalam samar malam ketika si tetamu sedang makan dan si tetamu menyangka mereka juga sedang makan). Keesokan harinya, selepas menunaikan solat Subuh bersama Rasulullah S.A.W. baginda bersabda: "Allah mengagumi dan merahmati seorang suami dan seorang isteri". Maka turunlah ayat:

"dan orang-orang Ansar yang mendiami negeri Madinah serta beriman sebelum meraka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka (muhajirin), dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan inginkan apa yang telah diberikan kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya"
(Al-Hasyr:9)

Ithar bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit, bahkan ia meliputi seluruh aspek kehidupan seperti tindakan dan kelakuan. Seandainya sikap ini diterap dan menjadi teraju jati diri individu, tiada lagi sikap kawan makan kawan atau sifat keakuan atau kekitaan.

Walaubagaimanapun, bagaimana pula dengan situasi orang ramai meletakkan kenderaan di tepi jalan untuk menunaikan solat Jumaat sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas. Apakah situasi ini tidak salah kerana semata-mata Islam adalah agama yang hak ataupun agama rasmi negara Malaysia? Teringat situasi ini amat biasa di hadapan masjid al-Rahman, Universiti Malaya menyebabkan pengguna yang menggunakan exit bangsar dari Federal Highway terpaksa bersesak-sesak dek kerana kenderaan diletakkan berlapis-lapis di atas jalan. Bukannya tidak ada ruang di dalam pagar universiti, cuma disitu adalah lebih mudah dan jaraknya dekat untuk masuk ke masjid.

Memiliki sifat pentingkan diri atau self-interested sekiranya oleh ramai orang dalam satu ketika yang sama menyebabkan situasi tersebut menjadi sangat teruk. Bagi pentadbir institusi atau rumah ibadat yang terletak di tepi jalan utama perlu memikirkan alternatif lain bagi menangani masalah sebegini agar institusi keagamaan tidak dianggap platform yang menyusahkan penganut agama lain. Perkara sama jualah yang terjadi di jalan Port Weld, Pulau Pinang dan diyakini terjadi juga di tempat-tempat lain.

Di jalan Port Weld, disitulah terdapatnya rumah sembahan dan gerai-gerai makanan cina. Situasi menjadi teruk apabila lori-lori ais hanya berhenti di atas jalan untuk menurunkan pesanan ais kiub tanpa mempedulikan deretan kenderaan lain di belakangnya. Pelanggan gerai-gerai makanan juga menunjukkan sikap yang sama. Ironinya, ia berlaku pada setiap hari tanpa terdetikkah bersalah di hati mereka?

Beberapa paparan contoh adalah sebagai peringatan buat kita yang mempunyai akal dan fikiran sebagai menjadi panduan dan pedoman dalam menjalani kehidupan.
p/s: Hidup bukan untuk menyusahkan orang lain.

Friday, September 3, 2010

Bersyukur kita ada segalanya..

Gambar hiasan

"Sreeeehhh srehhh srehhh srehhhh...!!", bunyi yang sudah biasa didengari pada saat dan ketika yang sama. Bunyi yang diselangi dengan seretan kasut itu makin menghampiri bilikku.

Kelihatan susuk tubuh makcik
janitor berbaju kurung kusam dan tudung lusuh sedang asyik menyapu sambil pandangannya terpaku ke bawah, tidak dipanggung menggambarkan ketekunannya menjalankan tugas, perlahan geraknya membayangkan tenaga yang dimilikinya sudah tidak seberapa. Seorang wanita lebih separuh abad yang ku kira seusia ibuku itu baru memulakan tugasnya di jabatanku pada awal Ramadhan ini selepas syarikat pencuci lama tamat tempoh perkhidmatan mereka.

Pintu yang sudah sedia terbuka diketuk...

"Ustaz...ada apa nak sapu dak?", pertanyaan biasa setiap kali pintu bilikku dikuak sekitar jam 8.45 pagi. "Takpalah makcik..tak payah lah hari ini", balasku menyahut pertanyaannya.

"Tiap-tiap hari tarik..sampai tak dak apa nak sapu noo", dia mengiyakan apa yang di dalam hatiku bahawa lantai bilik masih seperti semalam.

"Makcik raya di mana?", aku memulakan sapaan mesra bersifat peribadi.
"Perak..rumah anak makcik,", jawabnya tersenyum.
"Ohh..cuti banyak hari lah kot makcik dah raya di Perak".
"Hari Rabu makcik dah cuti, depa bagi 2 hari",
merujuk kepada pentadbiran syarikatnya.

Diam seketika..dan dia masih menyapu di hadapan bilikku dengan pintu yang terbuka luas. Aku bingkas bangun mendekati dan memerhatinya yang masih tekun.

"Makcik nama apa?,"
satu soalan yang menzahirkan keinginanku untuk mengenali dirinya dengan lebih dekat. Sudah beberapa minggu, itulah kesempatan yang aku ada untuk berkenalan dengannya, kebetulan tiada siapa-siapa di sekitar. Sekadar bertegur sapa di laluan tidak mendekatkan diriku dengan apa yang ada disebalik susuk tubuhnya. Aku ada dengar-dengar dihujung telinga tentang kehidupannya yang serba kekurangan.

"Jamilah", jawabnya dengan lemparan senyuman sambil menghentikan seketika sapuan.
"Dah lama ka makcik keja?".


"Ehh..dah 15 tahun...lama dah makcik keja..dulu dekat CIMB Komtar..la depa hantaq mai sini pulak..makcik jenis tak leh dok umah..kalau dok rumah tak tau nak buat apa",
jawabnya meleret.

"Oooo..lama dah tuh..umoq makcik berapa?", soalku lagi.

"59..".

Tepat sangkaanku wanita ini usianya sudah melebihi setengah abad. Terbayang beberapa individu yang ku kenali seusia begitu yang kehidupan mereka sekarang adalah di rumah, surau, berehat, melakukan kerja-kerja ringan di rumah, sakit-sakit badan dan kadang-kadang melayan kegembiraan anak-anak dan cucu-cucu. Namun wanita ini masih bekerja, membanting tulang seawal jam 8 pagi hingga 4 petang.

"Makcik tak sakit badan ka?", soalan bodoh namun sengaja diajukan bagi mendapatkan butiran sendiri dari mulutnya. Pernah sekali aku melihat dia mengangkat dua plastik sampah yang sarat terisi sehingga berkeriut mukanya. Gigih sekali..segigih dia menunggu bas seawal 6 pagi dan menukar bas lain untuk sampai ke Lebuh Pantai dari Bukit Gedong, Bayan Lepas.

"Memanglah sakit..lengan..bahu..paha..kaki..", sambil menepuk-nepuk anggota badannya itu.. tapi kalau makcik tak keja makcik nak makan apa..anak-anak pun semua perempuan..sorang ja laki..yang laki tu pulak x lah gaji besaq..tapi dia dok bagi jugak lah", semakin panjang perkongsian Makcik Jamilah namun bersyukur kerana anak yang ada masih peduli dengan dirinya walaupun tidak seberapa.

"Makcik ada 6 anak..4 perempuan 2 lelaki..lelaki yang bongsu bagi dekat orang..sebab suami makcik masa tu susah..dia janji dengan orang tanpa pengetahuan makcik..bila anak dah keluar anak tu pejam mata macam tak mau tengok muka makcik..macam dia tau yang makcik nak bagi dia dekat orang..tapi bila dok kat riba orang tu..dia celik luas sangat..",
katanya mengimbau saat-saat tersebut. Agaknya imbauan itu pasti selalu bermain di kotak fikirannya.

"Sampai la dah lama tak jumpa..kalau ada pun umoq dia dah 14..besaq dah..teringattt..."
, perlahan nadanya berkongsi bagi melepaskan sesak yang mungkin telah lama membuku di dada.

"Last makcik jumpa pun masa dia umoq 3 tahun..depa dok di Kuala Lumpo..lepas tu keluarga tu tak bagi makcik pi jumpa dah..depa kata nak bagi dia tumpu pada pelajaran..,tapi makcik habaq jugak lah..bawalah mai sekali sebelum makcik tutup mata", sambungnya berkongsi tanpa dipinta sambil mengakui anak tersebut adalah milik dan hak mereka sepenuhnya.

Hasrat untuk sekadar mengenali bertukar menjadi satu sesi yang menghadiahkanku simpati berganda terhadapnya. Kekurangan bertambah lagi selepas kematian suami 8 tahun lalu. Hidup tanpa keceriaan dan keseronokan.

Kehidupan dijalani dengan serba kekurangan bukan hanya material namun ingatan terhadap anak kandung yang mungkin tidak tertunai merupakan penderitaan dalaman seorang ibu yang melahirkan menginsafkanku betapa ku miliki segala-galanya..ibu..ayah..abang..kakak..adik..saudara mara dan kehidupan. Namun sejauh mana semua itu disyukuri mendorong untuk melakukan satu perhitungan buat diri.

Kehidupannya segala-galanya kurang namun tidak bagi kita.

Makcik Jamilah berlalu meminta diri untuk bergerak ke tempat lain risau kerjanya tidak siap dalam tempoh sepatutnya dengan senyuman yang terbungkam duka dalam riak ketabahan.

Moga Aidilfitri yang bakal menjelma..sedikit sebanyak dapat mengembirakannya.

Saturday, August 28, 2010

Hukum bukan Islam masuk masjid dan fleksibiliti Agama Islam


Pagi yang hening sejurus menunaikan solat Subuh pada pagi cuti umum sempena Nuzul Quran.. Mata yang tidak seperti kebiasaan..segar..tidak meminta bantal sebagai teman, lantas dicapai Sang Toshiba bagi meninjau apa perkembangan negara untuk hari ini. Seperti biasa portal berita online yang paling digemari-Utusan Online- dilayari. Membelek-belek berita utamanya...kejutan dirasai.."Tindakan tegas jemput bukan Islam-JAIS". Dengan penuh minat..paparan laporan itu dihabiskan.

Rupa-rupanya ia berkaitan seorang ahli parliman bukan Islam wanita memasuki sebuah surau di Serdang dan menyampaikan ucapan di ruang solat utama. Dalam pada masa sama, laporan itu juga menyebut beberapa blog yang melaporkan perkara tersebut. Habis semua ku jelajahi. Menariknya pada salah satu blog tersebut ada memetik sebuah ayat al-Quran yang dikatakan sebagai larangan orang bukan Islam memasuki masjid. Sekadar memetik dan penjelasan simple yang teramat kabur, kepuasan untuk diri sendiri demi kefahaman yang sebenar ku dapatkan melalui Maktabah Syamilah yang sedia ada pada Sang Toshiba.

Ayat 28 dari Surah at-Taubah berbunyi:
Wahai orang yang beriman, sesungguhnya orang musyrik itu adalah najis, maka janganlah mereka itu menghampiri Masjidil Haram..

Terdapat beberapa tafsiran apakah yang dimaksudkan oleh Allah sebagai najis. Antaranya ialah kerana

1-mereka tidak pernah melakukan penyucian hadas besar.
2- kekufuran. Kufur disifatkan sebagai antara najis terbesar yang hanya dapat disucikan dengan kalimah tauhid.

Walaubagaimanapun hukum mereka memasuki masjid adalah berbeza sama sekali berbanding muslim yang berhadas besar.Berikut ialah kesimpulan hukum bukan Islam memasuki masjid yang diperolehi dari tafsir ayat tersebut dalam Tafsir Zadul Masir oleh Imam Ibnu Jauzi (seorang ulamak syafie yang muktabar)


1- Ulamak sepakat bahawa individu bukan Islam haram memasuki Masjidil Haram di Mekah.

2-Walaubagaimanapun, para ulamak berbagai-bagai pendapat terhadap individu bukan Islam memasuki masjid selain Masjidil Haram:

a) Ditegah melainkan ada hajat (Imam Malik)
b)Harus (Imam Syafie)
c)Harus bagi mereka masuk Masjidil Haram dan masjid-masjid lain. (Imam Abu Hanifah)

Walaubagaimanapun, pendapat Imam Abu Hanifah adalah tertolak sama sekali kerana bercanggah dengan zahir ayat di atas. Begitu juga, selepas dirujuk pada Tafsir ar-Razi oleh Imam Fakhrurazi (juga merupakan ulamak muktabar dalam mazhab Syafie) menemukan penemuan yang serupa.

Oleh yang demikan, ia memperlihatkan kepada kita betapa ulamak-ulamak silam pun tidak rigid pemikiran mereka dan menunjukkan keanjalan dalam pemahaman hukum tersebut. Berbanding kita khususnya melihat ia suatu perkara yang perlu ditentang habis-habisan
.

Adalah sesuatu yang amat malang, keterbukaan Agama Islam dari disukai oleh bukan Islam di Malaysia terhalang kerana dua faktor: a) Penganut Islam dan b) Pentadbiran Agama. Penganut Islam amat tidak menunjukkan roh Islam yang sebenar dan terbawa-bawa dengan emosi buta. Manakala faktor pentadbiran adalah kerana ia telah ditetapkan oleh pihak atasan sebagaimana apa yang telah berlaku dalam isu penggunaan kalimah Allah dan doa untuk bukan Islam.

Adalah amat penting pentadbiran Agama Islam di Malaysia menzahirkan keanjalan dan fleksibiliti Islam demi kepentingan dakwah dalam melunakkan hati dan jiwa mereka. Janganlah kita bersikap atau mengeluarkan pendapat dengan pendapat atau sikap yang "ala-ala taliban", nescaya Agama Islam pasti dijauhi dan tidak akan dilihat sebagai sebuah agama yang rahmat.

p/s: Wallahua'alam .. ..

Friday, August 20, 2010

Nama Guan Eng ganti Agong????? dan Kenyataan Media YB Abdul Malik Exco Agama Penang





"Guan Eng ganti Agong???", terkejut besar aku tatkala memasuki laman sesawang Utusan Malaysia sejurus selesai menunaikan solat subuh pagi tadi. Sejurus selesai membaca tulisan muka depan utusan tersebut.. "Mustahil ada dasar sebegitu dalam urusan pentadbiran agama Negeri Pulau Pinang", telah hatiku. Sementelah pula hari-hari sebelumnya tiada langsung desir-desir angin berkaitan. Pagi yang tenang sejurus aku tiba di pejabat. Tiada perbualan berkaitan, kemungkinan sudah lali dengan serangan sedemikian. Tidak seperti isu perarakan Maulidur Rasul beberapa bulan yang lepas. Melainkan di Bahagian Dakwah- Bahagian yang bertanggungjawab dalam penyediaan teks khutbah Jumaat- kelihatan beberapa kakitangan berkumpul. Aku berlalu sambil melemparkan senyuman. Bagiku, kenyataan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu adalah merupakan satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab yang bertujuan mencetuskan kemarahan orang melayu sementelah isu penggunaaan gambar Sultan Johor oleh pihak tidak bertanggungjawab masih hangat. Walhal, hakikatnya ia bukanlah dasar pentadbiran Agama di Negeri Pulau Pinang dan tidak ada langsung arahan dari CM Guan Eng untuk nama beliau digantikan dengan nama Yang Dipertuan Agong dan ia tidak wujud sama sekali.

Wednesday, July 28, 2010

Kesian blog nie..


"Simpatinya..!!", getus sang hati tatkala tergerak untuk melawat "rumah" sendiri. Bagaikan tidak bertuan..ditinggalkan tanpa diselenggara..rumput rampai meninggi..debu berinci bertebaran ditampar..pohon malar menjalar dinding..papan kering merekah..lantai berlumut..sawang merajai ruang meragut raut muka..tikus mericik bunyi..daunan kering meratai..,
mungkinkah tuannya sudah meninggal..terlantar sakit atau dihalau dari kampung halaman sendiri. Mungkin itulah gerak rasa hati sekiranya melihat sesebuah rumah atau pondok usang. Simpati bukan??

Ke mana tuannya? Apa jadi dengan tuannya? Sakitkah dia? Persoalan yang menerawang ke dalam benak minda.

Blog yang usang pula memuakkan si pengikut yang setia lantas tidak lagi dikunjungi...ditinggal setelah tiada lagi perkongsian menarik diperbaharui.., menyampahkan benak hati si pelawat setia.., lantas sang tuan terfikir rumah yang usang bukan bererti rumah tersebut tiada lagi nilai..,seandainya lalang yang panjang dipotong..,debu berinci dibersihkan.., papan yang merekah diganti kembali..ruang dalam yang dirajai sawang dicuci dan didekorasikan dengan material dan pencahayaan pasti rumah tersebut kembali dinikmati pemberiannya dan kembali dikunjungi..

Itulah perjalanan dan hasrat sang tukang tayar tubeless..insyaAllah..

Wednesday, May 26, 2010

Nikmat kembali dinikmati

Hujung mingguku yang lalu dihabiskan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Setelah menjalani rawatan dan pemeriksaan sejak awal tahun ini, abangku (down syndrome) telah dengan jayanya -dengan izin Allah- menjalani pembedahan mata akibat katarak. Perasaan yang bercampur baur sebelum pembedahan dan semasa pembedahan dijalankan, berbaloi dengan kegembiraan dia dapat melihat dengan baik semula. Manakan tidak, kataraknya yang sudah masak memungkinkan bag asal kanta sudah tidak dapat digunakan lagi dan tiada pilihan melainkan kanta tiruan perlu diletakkan di depan pupil menggusarkan kami sekeluarga. Bermakna dia perlu menggunakan ubat mengurangkan tekanan mata seumur hidupnya. Pendek kata, sekalipun dia dapat melihat dengan baik semula matanya sudah tidak lagi normal. Plus pembedahan serentak kedua-dua belah matanya plus lagi dia down syndrome- tidak pandai bercerita tekanan ke ape ke- membuatkan kami gelisah. Hanya doa dan harapan dipanjatkan ke hadrat Tuhan Pencipta Alam.

11.00 am Ahad 23 Mei 2010
Riak-riak gelisah susah kelihatan di wajah setiap orang. Sudah 3 jam Bi di dalam dewan pembedahan. Sedangkan doktor mengatakan pembedahan hanya mengambil masa tidak kurang setengah jam untuk sebelah mata. Gelisah, muka tidak keruan, dada yang berdegup kencang. "Ada apa-apakah yang terjadi" antara permainan nakal sang hati namun diletakkan kebergantungan sepenuhnya kepadaNya.

11.30 am
"Paklang dah siap", kata nurse dengan wajah riang memecahkan keheningan penantian.
"Alhamdulillah", spontan kalimah syukur sejurus menilai wajah riang nurse tanda tiada apa-apa berlaku.

Tidak berapa lama kemudia Bi dibawa keluar dengan matanya dibandagekan. Kedengaran dia mengeluh dan merintih-rintih kerana pening akibat kesan bius. "Bius habis, oklah nanti", kata nurse tersebut.

Selepas 5 jam..

Dia masih merintih-rintih dan menjerit memanggil doktor minta dibukakan bandage mata tersebut. Puas dinasihati belum masa untuk dibukakan namun semua nasihat dan kata-kata tidak dipakai. Mungkin dia tidak selesa atau gelabah kerana matanya kelam. Tersangatlah penat menangani situasi genting tersebut. Tidak berapa lama kemudian, dia diminta untuk dibawa menemui doktor di Wad 6. Sejurus bandage mata dibuka, bagaikan keajaiban dia dapat mengenal pasti siapa yang di hadapannya. Sebak. Baju yang dipakai dan tangannya dibelek-belek. Satu anugerah Tuhan yang amat bernilai kini dapat dinikmati semula.

Petang tersebut, kami menerima ramai pelawat dari kalangan keluarga kak iparku. Keriangan jelas terbayang pada riak wajah kami terutama ibuku yang semenjak setahun kebelakangan ini menguruskan segala-gala keperluan Bi. Syukur atas keluasan ilmumu wahai Tuhan.

Juga setinggi-tinggi penghargaan kepada Dr. Hamzah (pakar bedah) dan semua nurse di Wad 7B Bunga Raya, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Moga jasa kalian dikira oleh Allah sebagai amal kebajikan untuk ditebus pada hari kebangkitan nanti

Risau-risau pun terlena jugak



Berakhir sudah satu penantian.

Tengah mogok..semua orang tak mau tolong buka bandage mata.. =p



Lepas dah buka..terus lena dengan nyenyaknya..hahaha
.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...