Sila masuk

Sunday, May 20, 2012

Ia membawaku kepadaMu..

Gambar hiasan
Tanggal hari ke-21 pada tiap-tiap bulan bermakna genap sebulan lagi aku dan isteri berkongsi hati, jiwa, perasaan, kasih sayang dan segala-galanya. Meminjam ucapan isteriku "Happy monthasary", ia adalah tanda penghargaan untuk diingati setiap bulan. 

Tiada kata yang setanding untuk diungkap bagi menggambar betapa aku amat menghargai kehadirannya. Tiada nikmat yang setara untuk digandingkan bagi menggambarkan betapa aku amat mensyukuri ikatan ini. Tiada keamanan yang pernah dirasai bagi menggambar betapa tenangnya jiwaku saat ini meskipun kini kami berjauhan. Semua ini adalah kerana ia menuju kepada suatu.

Solatku lain, nafsu nakal jantanku entah hilang ke mana, fikiranku terurus..aduh..tenangnya..kotorannya mungkin telah disuci. Wahai Allah Tuhanku..aku bersyukur ikatan ini membawaku kepadamu.

Benarlah sabda kekasihmu kepada para pemuda bahawa pernikahan itu faktor yang 'menundukkan pandangan'. Pandanganlah membuatkan seseorang terkesan dengan sesuatu. Ia pintu yang mempengaruhi minda, jiwa dan kehidupan. Bersyukur aku dengan nikmat yang membawaku kepadamu wahai Tuhan.

Syukur padamu ya Allah, ku mohon bimbinganMu selama-lamanya dalam mengemudi bahtera ini. Moga Engkau wahai Tuhan merahmati kami kerana dia terbaik buatku. 

Wednesday, May 16, 2012

Moga Allah merahmati kalian..amin..



Pagi ini, rata-rata status kemaskini rakan-rakan facebook memaparkan ucapan-ucapan hari guru. Meriah. Ada ucapan yang pendek, ada yang panjang, ada yang panjang berjela, ada yang berkongsi ucapan bergambar, ada yang berkongsi cerita guru dan berbagai lagi. Ia terus menyedarkan..menyedarkan minda sedarku siapakah guru-guru yang pernah wujud dalam hidupku selama ini. Bukan aku tidak tahu 16 Mei adalah Hari Guru tetapi ia sekadar pengetahuan yang sudah lama tidak disegarkan kembali.

Aku mula berfikir dan mengingati satu persatu individu yang telah memberi kesan dalam hidupku semenjak kecil.

Bermula di Kg. Baru Sg. Kembal, sebuah kampung baru yang hanya dihuni sekitar 10 buah rumah namun pelopornya telah memikirkan kepentingan setempat dengan menyediakan surau dan tempat belajar kanak-kanak iaitu Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti). Bermula sekitar tahun 1988 dengan lebih kurang 10 kanak-kanak, kini Pasti tersebut telah berkembang menjadi Sekolah Rendah Islam Raudhatul Muslimin yang mengandungi lebih 300 orang pelajar. Di situlah aku mula mengenal huruf roman, nombor, doa-doa dan adab-adab islami. Justeru, di situ aku memperoleh pintu kepada ilmu pengetahuan berikutnya. Masih segar dalam ingatan, saat aku mula sedar yang aku boleh membaca. Peristiwa bersama Basir anak Paklah di Kembal Luar masih kejap sebagai saksi ingatan. Jika tidak kerana jasa guru di Pasti Kembal dan guru kelas Darjah 1 Mawar SK Tembak pasti gambaran peristiwa itu tidak wujud. Mereka ialah Ustazah Mah (anak arwah Paksu Chan), Ustazah Syam anak Maklong dan Cikgu Faridah Ibrahim. Terima kasih ustazah dan cikgu.

Awal dan segala-galanya ialah guru yang mengajarku huruf-huruf al-Quran. Bermula dari huruf-huruf tunggal, berbaris, bergabung, mengeja dan batang (membaca selepas mengeja satu persatu) sehinggalah aku mampu membaca sendiri. Peritnya mengaji setiap kali lepas maghrib. Kalau bukan telinga menjadi sasaran dipulas, penyapulah akan  hinggap di mana-mana yang dapat. Guru hebat itu ialah Siti Aminah ibuku sendiri. Rutin harian setiap hari selepas Maghrib tidak pernah gagal untuk dilaksanakan. Terima kasih mak.. :)

Kemudian, guru-guru formal membaca al-Quran dan mengenal hukum-hukamnya di SK Tembak seperti Ustazah Naemah, Ustazah Tumini dan Arwah Ustaz Salleh Ahmad. Terima kasih ustaz dan ustazah moga Allah membalas jasa kalian dan mengampunimu.

Seterusnya cikgu Matematik yang tinggi, segak, namun tegas dan garang. Pipi mulus beberapa kali merasai hayutan tapak tangannya namun ia tidak didendami kerana diri sedar ia adalah akibat sesuatu. Beliau ialah Cikgu Malek. Terima kasih cikgu namun maaf cikgu kerana hasratmu mahu diri ini ke sekolah  berasrama penuh tidak dipenuhi lantaran borang yang diedarkan pun tidak diambil kerana diri ini nekad untuk ke sekolah agama.

Fasa pengajian awal berakhir dan beberapa nama telah memberi kesan dalam hidupku hingga kini moga Allah merahmati kalian.

Ketika hati sedang merindu dendam rumah yang ditinggalkan, mak dan ayah yang tiada di depan mata, pandangan mata menerobos tingkap menatap jalan raya yang kelihatan dari kelas  di tingkat 2 dek kerana homesick tinggal di sekolah asrama, namun ada satu pengubat yang amat ditunggu. Kelas Nahu. Kelibat Ustazah Husna yang berniqab, berkaca mata bulat, berjubah besar satu warna  sedang menuju ke kelas..menggirangkan aku. Manakan tidak, kehendak untuk mengetahui mengapa akhir sesuatu  kalimah arab dibaca fathah atau kasrah atau dhommah sangat membuak-buak. Beliaulah guruku yang pertama dalam Nahu. Melalui beliaulah aku mula kenal mubtada' khabar dan maf`ulum bih. Beliau terlalu baik. Kebaikan beliau  menyebabkan kelas yang terdapat lebih kurang 40 pelajar itu 'cerah'. Hanya beberapa orang sahaja yang setia mendengar. Dua tahun beliau menjadi guru Nahu.. melengkapkan asas Bahasa Arabku. Terima kasih ustazah.

Ketika di tingkatan 3, pengajian nahu sorof semakin menarik. Para pelajar didedahkan dengan kaedah i`rab yang tidak pernah dipelajari ketika di tingkatan 1 dan 2. Pengajarannya  berselang seli dengan cerita Sibawaih dan sebagainya. Suara lantang dengan slanga arab mencelikkan mata kami. Dua tahun beliau bersama..mengkayakan kami dengan khazanah ilmu beliau yang sangat banyak. Beliau yang tidak pernah penat itu bernama Zurin..Ustaz Zurin. Terima kasih ustaz.

Kemudian ketika di Tingkatan 5, guru Bahasa Arab yang paling senior mengambil giliran. Lahjah Arabnya sedap, tuturnya lemah lembut namun tegas. Aku kerap menjadi sasaran dan perhatian beliau. Beliau banyak berdiplomasi dengan kami pelajar yang meningkat naik dan beliau seorang yang sabar. Malangnya, tahun itu aku akhirkan dengan 'derhaka' kepadanya. 'Budak baru nak naik' rasa dialah betul segala-galanya. Namun selepas 2 tahun, Aidilfitri itu aku bertandang ke rumahnya, memohon maaf dan aku kembali dikurniakan jiwa yang tenang. Terima kasih Ustaz Taqiuddin atas ilmu dan mohon dihalalkan segalanya.


Selepas itu fasa pengajian tinggi bermula, semakin banyak dan mendalam pembelajaran-pembelajaran diharungi. Allah Yang Maha Kaya telah mengurniakanku guru-guru yang hebat dan merendah diri. Moga Allah memberkati mereka semua. Terima kasih Ustaz Aqli, Ustaz Lah Isa, Ustaz Man Tajwid, Ustazah Syarifah Fatimah dan guru-guruku yang lain yang tidak mampu untuk disebutkan di sini kesemuanya. Moga Allah merahmati kalian. Amin..


p/s: nak tulis semua sampai habis ngaji tak larat dah. Btw biar di mana pun diri ini berada mereka yang pernah wujud dalam hidupku sebagai guru akan tetap ku kenang dan ingati.




Tuesday, May 15, 2012

Kesiannya kita..baru ja nak kaya..

Manusia itu miskin dan papa kedana. Namun, beruntunglah mereka kerana Tuhan mereka Maha Pemurah dan amat luas kasih sayangNya. Justeru, setiap kebaikan yang dilakukan akan dibalas dengan sepuluh kali ganjaran. Sekalipun kebaikan tidak tercapai untuk dilaksanakan, sekadar terdetik niat di pelusuk hati, tetap dikurniakan satu ganjaran sebagai balasan. Betapa pemurahnya Allah Tuhanmu demi mengkayakan hamba yang miskin. Namun ia ada syarat iaitu ikhlas.

Laba yang baru hendak menimbun, kadang-kadang ranap sekelip mata.

Sedang aku dan beberapa rakan menjamah makan tengah hari beberapa hari lepas, muncul Ahmad (bukan nama sebenar) untuk menyertai kami.

"Bukan hang dah beli makan ka tadi", sapa Hamid (bukan nama sebenar).

"Aku kesian dengan orang yang dok kat tangga tadi, dia kata dia tak dak duit nak beli makan, aku bagi nasi tu kat dia", jawab Ahmad.

Jawapan yang kelihatan murni namun peruntuh kebajikan yang baru sahaja beberapa ketika malaikat mempersembahkannya kepada Allah. 

Suatu ketika di suatu petang, ketika si suami sedang menghirup minuman petang bersama si isteri. Tidak semena-mena...

Si suami bersuara, "Isyhh..tadi kesianlah abg tengok sorang makcik ni kat masjid..baju koyak rabak, abg bagi lah 50 ringgit".


Rasa hendak bercerita tentang kebaikan yang dilakukan sering datang tanpa sedar atau spontan. Kebiasaannya ia disusuli dengan justifikasi seperti; supaya orang lain ambik iktibar dan turut melakukan perkara serupa. Walhal pertimbangan lain juga perlu diambil kira seperti; sekiranya aku cerita hal ini..sejauh mana sesuatu iktibar itu dimanfaatkan oleh orang lain. Seandainya benar..kita katakan alhamdulillah. Namun jika sebaliknya..alangkah indahnya jika kita diam dan melatih diri untuk menjadi seperti 'tangan kanan memberi tangan kiri tidak tahu'.

Hukamak ada menitip pesan, "Antara tanda seseorang memiliki ilmu bermanfaat yang sempurna ialah ia rasa memadai pengetahuan Allah (Allah tau) dan pandangan Allah".

Namun kesiannya manusia, apabila melakukan sesuatu kebaikan, dia merasa tidak puas sekiranya orang lain tidak tahu. Manusia akan berusaha untuk menjustifikasikan bahawa tindakannya itu wajar namun hakikatnya tindakan itu telah memiskinkannya semula selepas dia baru ja nak kaya. Kesian kita...

p/s: Peringat diri..perbanyakkan istighfar







Wednesday, April 18, 2012

Kita siapa nak besar diri??

Semalam, selepas tamat waktu pejabat, deretan kenderaan akibat kesesakan di Jalan Pengkalan Weld luar dari kebiasaan. Pergerakan kenderaan hampir tiada kemajuan. Fuh!! pasti memenatkan.

Sebaik sahaja turun dari pejabat, aku terus bergegas mencapai 'kuda kriss' milikku bagi melihat apakah gerangan kejadian sehingga menyebabkan kesesakan yang sebegitu teruk.


Bahagianya aku yang bermotosikal mencelah dan menyelit.

Sejurus melepasi Stesyen MInyak Shell Pengkalan Weld, kelihatan seorang lelaki melayu dan cina sedang rancak berbual di bahu jalan, bertepuk bahu dan bergelak tawa di tepi sebuah Mercedess Benz E-Class dan sebuah Golf GTI yang menghalang sama sekali laluan kiri dari dilalui kenderaan sekalipun motosikal. Tidak kelihatan jelas, logo apakah di plat kenderaan. Namun pakaian dan kenderaan menceritakan mereka orang berkedudukan. Dengusan dan riak muka orang ramai langsung tidak menyentuh jiwa mereka. Hebat bukan?

Minggu lepas..

Menjadi kelaziman pada waktu tengah hari di restoran-restoran mamak dalam bandar George Town, orang ramai akan berbaris panjang untuk mendapatkan "isi perut". Namun tengahari tersebut, di Restoran Merlin, Lebuh Union, kelihatan 4 orang lelaki melayu pertengahan umur yang segak bergaya, bertali leher, rambut yang rapi, tanpa menyertai barisan yang panjang terus memesan nasi dan lauk tanpa mengendahkan orang ramai yang taat dan hormat untuk beratur. Hebat jugakkan mereka?

Mereka menzahirkan kesombongan atas kedudukan yang mereka rasa tinggi. Namun tidak pasti berapa sen nilai kedudukan tersebut di sisi Tuhan.

Apa reaksi orang ramai yang mengalami dua situasi di atas? Pasti tidak ada seorang pun yang melihatnya dengan kemuliaan dan ketinggian bahkan masing-masing akan melihatnya dengan jelek, sinis dan meluat.

Mengapa?

Kerana mereka mengambil sifat Allah lalu memakaikannya pada diri mereka. Perbuatan itu sekalipun kelihatan gah dan hebat namun ia jelik pada pandangan manusia apatah lagi di sisi Allah s.w.t.. Sifat yang dimaksudkan itu ialah al-Mutakabbir. Allah s.w.t. berfirman:

"Dialah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan dia, Yang Maha Menguasai (alam), Yang Maha Suci (dari kekurangan), Yang Maha Sejahtera (dari kekurangan dan kecacatan), Yang Maha Pemberi Keamanan, Yang Maha Mengawasi, Yang Maha Kuasa, Yang Maha Gagah, Yang Maha Meninggi (al-Mutakabbir), maha suci Allah dari apa yang mereka sekutukan"
(Al-Hasyr:23)


Maka sifat-sifat itu selayaknya bagi Allah s.w.t. bagi menzahirkan kekuasaan, kehebatan dan ketinggianNya sebagai pentadbir alam dan pemuktamad kehidupan bukan untuk kita yang hanya merupakan seorang hamba!





Sunday, March 11, 2012

Najis meleret-leret...doa pun terkurung



Kaki melangkah memasuki pondok kecil yang sudah beberapa bulan tidak dijenguk..iltizam istiqamah keciciran..azam untuk memakmurkan kurniaan pondok kecil itu tidak kesampaian..lantas ia dibiarkan.., pintu dikuak..berkeriuk bunyi..sawang ankabut menyerkap muka melekat di rambut..hujung jemari pantas menyekanya..kaki melangkah ke dalam..kelam..dedaun tingkap ditolak..dikuak..berkeriau bunyi..cahaya suria menerpa masuk..kelihatan zarah-zarah kecil meriah berterbangan di celah laluan cahaya seakan gembira kepulangan penghuninya..,bucu pondok kecil di cari..melegakan lelah badan buat seketika..tubuh menyandar..kaki melunjur..fikiran berselerak..memerah sel otak memikirkan beberapa karenah hidup sepanjang perjalanan tadi membawaku kepada suatu ketika..

Ketika aku tinggal di Kuala Lumpur beberapa..dilamar oleh seorang kenalan atas kenalan untuk mengajar mengaji kepada anak-anaknya pada setiap pagi Sabtu. Suatu ketika di kalangan sabtu-sabtu tersebut..seusai ayat terakhir ditamatkan..si ibu menghampiri dan mengajak aku untuk berbincang seketika di sudut rumah yang agak terpencil. Perbincangan berkisar kepada kedegilan anak-anak untuk solat dan melawan cakapnya. Si ibu bagaikan sudah habis cara bagaimana untuk memahamkan anak-anaknya tentang solat dan bercakap baik. Puas petua segala petua dari khazanah kutub diamalkan, begitu juga dengan panduan pedoman dari para guru dituntut dan dipraktiskan, tidak ketinggalan dan menjadi amal ialah doa pada setiap kali solat sejak bertahun-tahun dahulu..namun usaha bertahun-tahun tidak menemui jalan. Anak-anak kekal sebegitu..tidak sebati dengan solat dan bercakap baik terhadapnya dan suami. Buntu ialah konklusi keadaan si ibu.


Baru-baru ini..perkara serupa bertamu lagi. Seorang arkitek yang secara tidak sengaja menjadi teman bualan beberapa bulan lalu di satu program di Masjid Negeri dan kami bertemu beberapa kali selepas itu..menjemputku bertandang ke rumahnya yang terletak di sebuah kawasan eksklusif di Bayan Baru. Sejurus tiba dan baru hendak melabuhkan punggung di sofa empuk..tiba-tiba sang arkitek ini tergamam kerana anak lelakinya yang keempat yang baru berusia 3 tahun setengah kelihatan basah di kelangkang seluarnya dan cecair itu meleret-leret di lantai. "Adik nak kencing kenapa tak bagi tau papa", respon ringkas sang arkitek lantas ditinggalkan aku sendirian untuk dia menguruskan anaknya dahulu.

Beberapa ketika datang pembantu rumah membawakan mop dan leretan kencing anaknya sekadar dimopkan sahaja. Kemudian perbualan kami, berkisar kepada anak-anaknya yang lelaki dan perempuan yang degil walhal pelbagai usaha dan tunjuk ajar telah diusahakan. Pasrah dengan keadaan dirinya dan isteri, dia mempersoalkan perihal doanya yang tidak diperkenankan Tuhan.


Sama seperti sang arkitek..perihal si ibu tadi menguruskan najis di dalam rumah tidak sempurna. Beberapa ketika mengajar anak-anaknya mengaji..telah menarik perhatianku bagaimana di sibu menguruskan najis kencing yang berlaku di dalam rumah. Itu belum diperhalusi saat anak kecil dan besar kencing berdiri di bilik air..memercik kencing mengenai seluar.. mengenai kaki..tidak dibasuh dan terus melangkah keluar dari bilik air lalu membawa najis ke serata rumah kaki melangkah, antara pengamatanku sepanjang berada disitu. Fikiran lantas menghubungkan keadaan alpa pengurusan najis yang tidak sempurna dengan ratusan dozen doa kepada Allah yang dikatakan tidak didengari Tuhan.

Mungkin kita pernah mendengar hadis Nabi s.aw. yang berbunyi:

" Seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh, rambutnya kusut dan berdebu lalu menadahkan kedua tangannya ke langit seraya berdoa, Ya Rabb..ya Rabb..sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya dari haram, dicukupkan dari yang haram, maka bagaimana mungkin dikabulkan doanya".
(Riwayat Muslim)

Dalam matan hadis tersebut yang lengkap..Nabi s.a.w. bersabda terlebih dahulu:

"Wahai manusia, sesungguhnya Allah Taala adalah Maha Baik, tidak menerima kecuali yang baik dan sesungguhnya Allah memerintahkan para rasul dengan firmannya: "Wahai utusan-utusanku, makan dan minumlah yang baik baik-baik dan kerjakanlan amal yang soleh" (al-Mukminum:51) dan Allah berfirman " Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari rezeki yang baik-baik yang kami telah kurniakan"al-Baqarah:172)"
(Riwayat Muslim)

Makanan yang halal..pakaian yang diperolehi dari sumber rezki yang halal adalah asas utama penerimaan doa di sisi Allah s.w.t.. Namun suatu perihal yang jarang dititik berat oleh kita ialah penyediaan ruang yang bersih dan suci di dalam rumah dan halal untuk solat. Maka pengurusan najis di rumah menjadi soal. Ramai yang tidak ambil kisah. Keluar dari bilik air tanpa kaki dibasuh..kencing anak-anak yang dilepas di dalam rumah tidak dibasuh dengan sempurna..air mutlak yang tak jelas kefahamannya.

Apakah pengabaian kepada perkara-perkara tersebut menjadikan amal ibadah kita akan diterima atau secara khususnya doa kita diterima? Bukankah pengabaian perkara-perkara tersebut menjadikan telapak kaki kita melanggani najis? yang menyebabkannya menjadi haram untuk kita berdiri dan sujud di depan Allah lantas ia menjadikan amal ibadah kita sia-sia. Maka sewajarnya kita menjadikan ia agenda utama sepertimana kita memastikan sumber untuk diisi perut adalah dari sumber yang halal. Moga-moga kita beroleh keberkatan dalam hidup. Amienn.

p/s: Situasi yang berlaku di rumah si ibu dan arkitek mungkin hanyalah salah satu sebab dari sebab-sebab yang hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui,

a

Thursday, October 13, 2011

Ukuran sebenar adalah pandangan Tuhanmu



Ketika sedang menikmati sarapan pagi seorang diri di Astaka, berhadapan dengan pelabuhan kapal-kapal persiaran mewah di Port Swettenham, hati diulit dengan perasaan ralat tatkala ungkapan seorang kawan masih terngiang-ngiang di corong telinga.


"Si A**** tu, gaji tak seberapa, tetapi pakai kereta macam gred 52...bila dah accident..kan dah pening nak repair"

Walaupun, ungkapan itu berbaur umpatan, namun sisi-sisi positif cuba ditelan oleh minda segar pada pagi itu sebagai muhasabah pada diri. Memikirkan bilamana baju diukur, kenapa ia tidak diukur pada badan sendiri. Bahkan ia diukur pada susuk lain. Apakah ukurannya itu sehingga sesuatu yang dilihat mencengkam kehidupan, masih dan sanggup diharungi sekalipun terpaksa mengikat perut dan menjerut leher. Ukuran itu juga seakan ukuran yang menatijahkan kepuasan diri. Kemungkinan si dia itu mampu, namun hakikat sebenar kemampuan hariannya sudah dihidu oleh rakan-rakan. Kelompongan asas dalam menentukan pilihan hidup, menatijahkan sengsara dan perit pada kemudian hari.

Kita juga biasa mendengar, ramai yang melakukan pinjaman kewangan peribadi bagi melangsungkan perkahwinan. Pinjaman yang berjumlah 30k, mengambil masa 10-15 tahun untuk dilangsaikan. Maka ungkapan sinis dilemparkan "kalau short 3 4 bulan tak bayar, kalau kereta.. bank mai tarik kereta, kalau kahwin, bank mai tarik bini kah?'. Satu lagi, budaya dan cara kehidupan masa kini yang tidak lagi menggunapakai perumpamaan "ukur baju di badan sendiri". Boleh jadi, ada yang berhujah, kemampuan membayar secara bulanan pada jumlah yang dipersetujui adalah salah satu mekanisme kemampuan. Boleh jadi benar.

Namun, sekalipun ia benar, ada sisi lain yang perlu dilihat.Sisi itu ialah sisi berkat. Apakah perkara ibadat yang boleh jadi wajib atau sunnat yang mana redha dan keberkatan Tuhan menjadi matlamat perlu sehingga berhutang piutang semata-mata untuk kelihatan mewah dan hebat. Sudah pasti ia kelihatan sudah tergelincir dari landasan sebenar melaksanakan syariat Tuhan kerana dalam ibadat khusus pun dituntut bersederhana, apatah lagi ibadat am, inikan pula untuk memperlihatkannya kepada manusia.

Fikiran terbang menerawang mencari individu-individu yang dilihat hidupnya penuh dengan keberkatan. Terbang dan singgah di kampung berdekatan kampung sendiri rupanya. Seorang pencen kerajaan yang kehidupannya adalah sederhana dan tidak pernah ketinggalan dari solat berjamaah di masjid. Memiliki anak yang ramai, yang kesemuanya dibiayai pengajian secara sendiri hingga ke luar negara. Tiada dari kalangan anak-anaknya yang mendapat pembiayaan kerajaan atau seumpamanya.Bahkan, perkahwinan hampir kesemua anaknya juga ditaja dengan biayanya sendiri secara ala kadar dan sederhana. Bertuah anak-anaknya,terus dilangsungkan perkahwinan sekalipun kantung belum berisi lantaran baru tamat pengajian. Alasannya mudah, membantu anak-anak untuk suatu ibadah juga merupakan ibadah. Halobanya dia dengan pahala. Walhal ketika perkhidmatannya dalam kerajaan, aku andaikan gajinya tidak lah seberapa bahkan gred 27 pada ketika ini pun lebih besar gajinya. Sudah pastilah juga, bayaran pencennya hanya separuh dari itu, dan dia mampu dengan izin Allah meneruskan kelangsungan dan mengasaskan beberapa kehidupan sehingga ke hari ini. Bahkan anak-anaknya dengan izin Tuhan menjadi manusia. "Moga Allah terus memberkatinya".

Jelas ia adalah petanda keberkatan yang berpunca dari mana sesuatu tindakan ukuran baju itu diambil. Kalau ukurannya adalah pandangan manusia, pasti ia hanya akan memperoleh pandangan, pujian dan sanjungan manusia dan ia bukanlah kejayaan yang sebenar. Namun sekiranya ukurannya ialah pandangan Allah, pasti ia memperoleh pandangan, pujian dan sanjungan Allah dan manusia bersama yang mana ia adalah hakikat kejayaan yang sebenar-benarnya.

Susah bukan untuk mengabaikan rasa tidak perlu pada pujian, sanjungan dan pandangan manusia? Namun ia adalah persimpangan untuk berjaya atau gagal.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...